fb fb fb fb fb

Survival jenama kecil dalam era pasaran digital

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Dalam landskap pasaran yang satu demi satu berubah kepada digital, ramai peniaga tradisional kini berdepan tekanan untuk menyertai era pasaran digital. Namun, bagi mereka yang selama ini bergantung kepada cara jualan konvensional seperti di pasar atau kedai kecil, beralih ke dunia digital terasa seperti mendaki gunung tinggi. Membuka akaun di “marketplace” seperti Shopee atau Lazada pun nampak susah, apatah lagi memahami istilah seperti “SEO”, “traffic” atau “ads boost”.

Terdapat segelintir daripada kita merasa tertekan namun hakikatnya, perubahan ini tidak dapat dielakkan. Persoalannya, bagaimana peniaga tradisional ini boleh berhadapan dengan cabaran hidup sebegini?

Cabaran Dunia Pasaran Digital

Peniaga tradisional sering kali menghadapi tekanan demi menyesuaikan diri dengan teknologi baharu. Sebelum ini mereka hanya menjawab panggilan telefon pelanggan, kini mereka perlu berurusan dengan platform “marketplace” yang kelihatan terlalu kompleks.

Bagi ramai peniaga tradisional, istilah seperti "marketplace," "dashboard," dan "ads manager" adalah sesuatu yang asing. Keadaan ini membuatkan mereka berasa rendah diri dan tidak yakin untuk mencuba.

Selain itu, kebanyakan peniaga kecil bekerja seorang diri. Mereka tiada masa untuk belajar teknologi baharu dan kos mengupah orang yang berkemahiran adalah terlalu mahal.

Ini menyebabkan mereka merasa terkebelakang dan tidak mampu bersaing. Apabila melihat peniaga lain berjaya di platform digital, kesulitan untuk mengikut arus perubahan ini menjadikan mereka lebih tertekan.

Apa Peniaga Tradisional Boleh Lakukan?

Tidak perlu terus melompat ke ‘marketplace’ yang rumit sebaliknya mulakan dengan platform mudah seperti “WhatsApp Business”. Platform ini sangat mesra pengguna dan mudah untuk digunakan. Peniaga boleh mencipta katalog produk, membalas mesej pelanggan dan mengatur pesanan dengan lebih cepat.

“Facebook Marketplace” juga mudah digunakan dan lebih intuitif. Hanya muat naik gambar produk dengan keterangan ringkas, pelanggan boleh menghubungi penjual secara langsung.

Ramai peniaga tradisional tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya mempunyai 'pakar' teknologi di rumah mereka sendiri. Anak-anak dan cucu-cucu adalah generasi digital.

Minta mereka membantu membuat akaun di platform seperti Shopee atau Lazada. Tawarkan sedikit upah atau token berupaya memotivasikan mereka membantu menguruskan akaun secara sambilan.

Diingatkan jangan cuba buat semuanya sekali gus. Fokus kepada jualan produk utama dahulu, seperti produk paling laris atau popular dan pastikan gambar produk terang dan keterangannya jelas. Telefon pintar biasa sudah memadai untuk mengambil gambar produk yang menarik.

Peniaga boleh memanfaatkan aktiviti berbentuk latihan percuma atau yuran rendah yang dianjurkan oleh komuniti sekitar berkaitan pemasaran secara digital. Banyak bengkel atau kelas dalam talian dianjurkan agensi kerajaan seperti MDEC atau komuniti perniagaan tempatan.

Selain itu, terdapat banyak video tutorial di “YouTube” dalam bahasa Melayu atau bahasa yang mudah difahami berkaitan bagaimana teknologi ini boleh diaplikasi dalam perniagaan.

Perkhidmatan logistik seperti J&T Express atau Pos Laju yang terintegrasi dengan platform digital menawarkan pengambilan barang dari rumah. Peniaga juga boleh membeli label penghantaran terus dari platform “marketplace” seperti Shopee, tanpa perlu ke pejabat pos.

Paling penting adalah jangan malu untuk bertanya dan belajar. Tiada siapa yang baharu dilahirkan menjadi terus pandai. Mulakan dengan bertanya kepada rakan atau jiran yang sudah berjaya dalam pasaran digital. Jangan takut untuk buat kesilapan kecil. Ini adalah sebahagian daripada proses pembelajaran.

Tiada Istilah terlambat. Peniaga tradisional mungkin berasa tertekan untuk berubah, tetapi pasaran digital bukan suatu pengalaman hidup yang menakutkan. Mulakan dengan langkah kecil, gunakan platform yang mudah dan dapatkan bantuan daripada ahli keluarga atau komuniti.

                     "Kalau takut pada perubahan,                                              Asal tak putus semangat juang,
                      Usaha kecil jadi taruhan.                                                     Pasti berjaya, kejayaan datang."
,
Ingat, dunia digital adalah peluang untuk berkembang, bukan penghalang. Mulakan hari ini, dan jadikan perniagaan sendiri relevan untuk masa depan!

JUNAINAH IDRIS
Junainah Idris
Pensyarah Jabatan Pengurusan dan Perniagaan
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor

DR NORZIAH OTHMAN
Dr. Norziah Othman
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Kuantitatif
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor

MAT YUNUS BIN SABRI