fb fb fb fb fb

Meniti usia emas: Ke mana kita suatu hari nanti?

Foto hiasan/Bernama

SAUDARA PENGARANG

Usia emas adalah usia dalam fasa kehidupan yang pasti tiba bagi setiap insan yang diberi rezeki umur panjang. Ketika tubuh semakin lemah, minda tidak lagi sekuat dahulu dan keupayaan menguruskan diri mulai pudar. Warga emas amat memerlukan sokongan emosi, fizikal dan sosial. Cabaran kehidupan moden telah membawa kepada pelbagai senario apabila segelintir warga emas tidak lagi tinggal bersama anak-anak, sebaliknya memilih untuk menetap di rumah orang tua atau pondok pengajian.

Warga Emas dan Perubahan Struktur Sosial

Warga emas merupakan golongan individu yang telah mencapai fasa lanjut usia dan cenderung mengalami penurunan daripada aspek kekuatan fizikal, keupayaan mental dan daya tahan. Walaupun definisi warga emas mungkin berbeza mengikut konteks dan budaya, secara umum di Malaysia, ia merujuk kepada individu yang berumur 60 tahun ke atas.

Perubahan struktur keluarga dan sosial yang pesat telah mengubah cara masyarakat menjaga warga emas. Dalam era tradisional, warga emas dihormati dan dijaga oleh anak-anak sebagai tanggungjawab keluarga.

Namun, pada masa kini, tanggungjawab terhadap ibu bapa semakin dirasai generasi muda yang terpaksa bergelut dengan kesibukan kerja dan tuntutan ekonomi yang semakin mencabar. Akibatnya, terdapat segelintir warga emas memilih untuk tinggal di rumah orang tua atau pusat penjagaan bagi mengelakkan diri daripada menjadi beban kepada anak-anak.

Rumah orang tua di Malaysia kini bukan sahaja menawarkan tempat tinggal, malah turut menyediakan perkhidmatan seperti penjagaan kesihatan, aktiviti sosial dan terapi diri. Walaupun kemudahan ini memberi jaminan keselamatan dan keselesaan kepada warga emas, ia juga mencerminkan hakikat bahawa hubungan kekeluargaan mungkin tidak lagi seperti dahulu.

Pondok Pengajian Warga Emas: Pilihan bagi Muslim

Bagi warga emas Muslim, pondok pengajian menjadi salah satu pilihan yang semakin popular. Pondok ini bukan sekadar tempat tinggal, tetapi juga pusat untuk mendalami ilmu agama, beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Ramai warga emas Muslim kini memilih untuk menetap di pondok pengajian bagi menghabiskan sisa-sisa kehidupan dengan lebih bermakna. Warga emas yang berada di sini dapat menikmati suasana tenang sambil mendalami pengajian al-Quran, hadith dan ilmu tasawuf. Kehidupan di pondok ini biasanya diiringi oleh suasana kekeluargaan yang harmoni, di mana penghuni saling menyokong dan menemani antara satu sama lain.

Pusat Penjagaan Bertaraf Lima Bintang: Pilihan Golongan T20

Bagi golongan T20 yang berkemampuan, pusat penjagaan warga emas bertaraf lima bintang menjadi pilihan. Pusat sebegini menawarkan fasiliti dan infrastruktur yang serba lengkap, termasuk penginapan mewah, penjagaan kesihatan profesional, kemudahan rekreasi dan aktiviti yang dirancang khas bagi memenuhi keperluan fizikal dan mental warga emas. Dengan bayaran bertaraf premium ini, penghuni dapat menikmati gaya hidup yang selesa dan bebas daripada kebimbangan.

Namun, persoalan timbul sama ada kemewahan ini dapat menggantikan kasih sayang dan perhatian yang hanya dapat diberikan oleh ahli keluarga. Walaupun pusat penjagaan ini menyediakan persekitaran yang kondusif, ia mungkin tidak mampu menampung kekosongan emosi yang dialami oleh warga emas apabila berjauhan dengan anak cucu cicit mereka.

Cabaran dan Dilema Warga Emas

Ke mana sahaja pilihan mereka, warga emas tetap berhadapan dengan cabaran tertentu. Isu kesunyian, tahap kesihatan yang semakin merosot dan keperluan menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu adalah antara masalah yang perlu dihadapi. Selain itu, stigma sosial terhadap warga emas yang tinggal di rumah orang tua atau pusat penjagaan menjadi isu yang perlu ditangani.

Bagi warga emas yang tinggal bersama anak-anak, cabaran lain turut dihadapi seperti konflik berbeza generasi termasuklah kesukaran menyesuaikan diri dengan gaya hidup moden. Sokongan emosi dan komunikasi yang baik antara ahli keluarga adalah kunci bagi memastikan warga emas dapat menikmati kehidupan yang harmoni, tidak kira di mana mereka berada.

Masa Depan Penjagaan Warga Emas di Malaysia

Peningkatan populasi warga emas di Malaysia memerlukan kemudahan penjagaan yang lebih baik. Polisi dan inisiatif kerajaan perlu memberi tumpuan kepada penyediaan perkhidmatan penjagaan yang berkualiti dan mampu milik untuk semua golongan. Program-program komuniti yang melibatkan warga emas perlu diperbanyakkan bagi memastikan mereka dapat terus aktif menyumbang kepada masyarakat.

Pendidikan tentang tanggungjawab menjaga ibu bapa perlu diterapkan kepada generasi muda. Anak-anak perlu diberikan pemahaman bahawa menjaga ibu bapa adalah suatu amanah yang penting dan tidak boleh dianggap sebagai beban. Islam juga mengajarkan bahawa keberkatan hidup bergantung kepada bagaimana seseorang memperlakukan ibu bapanya, terutama ketika mereka sudah lanjut usia. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra’, ayat 23-24:

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka janganlah sekali-kali kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka, dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang baik.”

Ayat ini menekankan kepentingan berbuat baik kepada ibu bapa, termasuk menjaga mereka dengan penuh kasih sayang. Hidup sebagai warga emas adalah perjalanan yang penuh dengan cabaran, tetapi ia juga merupakan peluang menikmati ketenangan selepas bertahun-tahun berhempas-pulas mencari rezeki bagi menyara keluarga.

Sama ada memilih untuk tinggal di rumah orang tua atau pondok pengajian atau pusat penjagaan, setiap pilihan membawa kelebihan dan kekurangannya tersendiri. Sokongan kasih sayang dan perhatian daripada keluarga tetap menjadi tunggak utama dalam memastikan kebahagiaan warga emas.

Sebagai masyarakat, kita perlu bersama-sama mencari jalan untuk memastikan semua warga emas dapat menjalani kehidupan yang bermaruah, bermakna dan penuh kasih sayang. Suatu hari nanti, kita juga akan meniti usia emas, dan persoalan yang sama akan terlintas di benak fikiran kita: ke manakah kita akan pergi suatu hari nanti?

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR NORZIAH OTHMAN
Dr. Norziah Othman
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Kuantitatif
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor.

PROF MADYA DR. NORADHA AB HAMID
Prof. Madya Dr. Nor’adha Ab Hamid
Pengarah Pusat Pengajian Siswazah
Professor Madya Fakulti Syariah dan Undang-Undang
Universiti Islam Selangor

MAT YUNUS BIN SABRI