SAUDARA PENGARANG
Serangan Israel ke atas Palestin merupakan tragedi kemanusiaan yang besar bagi abad ke-21 Masihi.
Motif serangan ini adalah bagi memperluaskan kawasan jajahan di Palestin khususnya Gaza dan memusnahkan penguasaan Hamas, di samping penguasaan kawasan rizab gas yang besar di lautan Gaza.
Mereka bebas membunuh orang awam, meruntuhkan kemudahan hospital dan rumah ibadah.
Tindakan mereka disokong banyak pihak dan sokongan yang tidak berbelah bahagi dinyatakan kepada keganasan yang dilakukan Israel.
Banyak pihak menutup mata di atas kekejaman tersebut, sedangkan serangan Israel melibatkan pembunuhan beramai-ramai terbesar sejak kewujudannya pada tahun 1948.
Di Malaysia sendiri, wujud golongan yang menyokong tindakan ganas rejim Israel, bahkan pihak yang diserang dan dirampas tanah mereka dianggap sebagai pengganas.
Di media sosial, ramai orang yang membangkitkan isu Palestin sebagai isu umat Islam atau bangsa Arab semata-mata.
Hakikatnya, apabila sesuatu peristiwa yang melibatkan genosid, ia bukan sesuatu isu yang melibatkan agama dan bangsa tertentu sahaja, sebaliknya ia merentasi semua agama dan bangsa.
Tindakan genosid ini jelas bertentangan dengan akal manusia yang waras dan sangat bertentangan dengan perundangan kemanusiaan antarabangsa iaitu undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Ia memperuntukkan jaminan perlindungan nyawa orang awam, objek awam seperti rumah ibadat, melarang kemusnahan infrastruktur seperti sumber dan bekalan air bersih.
Israel telah melakukan pelbagai tindakan kejam seperti penghapusan etnik dengan mengebom orang awam, memusnahkan rumah ibadah, menyekat air bersih, merosakkan tanaman dan merosakkan jaringan elektik, jalan raya dan internet.
Berdasarkan laporan Euro-Mediterranean Human Rights Monitor, peperangan menunjukkan trend kemusanahan dan pembunuhan yang semakin meningkat.
Impak negatif terhadap penduduk Palestin daripada keganasan itu dapat dilihat dalam pelbagai aspek.
Antaranya, pertama, ramai mangsa serangan adalah orang awam dan golongan yang tidak berdosa.
Ia melibatkan kematian dalam jumlah melebihi 10,581 orang di Gaza dan kecederaan melebihi 25,000 orang.
Mangsa melibatkan orang awam seramai 9,641 orang dan golongan wanita seramai 2,761 orang.
Gaza ibarat sebuah kuburan kanak-kanak kerana sejumlah 4,412 mangsa yang meninggal dunia adalah golongan berkenaan.
Kedua, kemusnahan kemudahan hospital dan fasiliti kesihatan menyebabkan tiada tempat untuk merawat pesakit, bekalan ubat-ubatan tidak mencukupi dan menyebabkan peningkatan para pesakit.
Sebanyak 20 hospital, 50 klinik, 42 biji ambulans telah dimusnahkan dan 135 orang kakitangan perubatan terbunuh.
Situasi itu menyebabkan hospital yang masih selamat terpaksa menerima jumlah pesakit yang berlipat kali ganda dalam keadaan yang serba kekurangan.
Ditambah lagi, jumlah pesakit sedia ada dan wanita yang bakal melahirkan anak.
Ketiga, ramai yang kehilangan tempat tinggal akibat bedilan Israel secara besar-besaran.
Sebanyak 51,100 unit kediaman musnah dan 153,000 lagi unit rosak.
Kediaman yang musnah dan rosak menyebabkan sejumlah 1.5 juta penduduk terpaksa meneruskan hidup dalam khemah dan di tepi jalan.
Keempat, ramai yang tidak mendapat bekalan air bersih untuk diminum, mandi, membersihkan tubuh badan dan membuang air.
Keadaan itu menyebabkan mereka tidak mendapat bekalan air minuman yang mencukupi, terdedah kepada dehidrasi, selain buangan najis dan kumbahan yang tidak bersih dan tidak teratur.
Keadaan berkenaan boleh menyebabkan jangkitan penyakit.
Kelima, ramai yang tidak dapat berkomunikasi dan mendapatkan khabar saudara mara akibat terputusnya bekalan elektrik dan kemusanahan sistem komunikasi.
Situasi itu menyukarkan mereka untuk mencapai maklumat terkini tentang situasi kaum keluarga di zon konflik.
Keenam, ramai golongan wanita tidak dapat bersanitasi dengan bersih dan selamat akibat kekurangan tuala wanita.
Mereka tidak memakai tuala wanita dan mengambil ubat untuk menahan haid.
Situasi tersebut boleh mendatangkan kesan negatif terhadap kesihatan wanita.
Ketujuh, penduduk Palestin menghadapi pencemaran bunyi akibat serangan pihak Israel.
Mereka akan mendengar bunyi tembakan, pengeboman dan kapal perang di ruang udara, selain bunyi runtuhan dan kehancuran bangunan yang disasarkan.
Kelapan, ramai penduduk Palestin yang mengalami pencemaran udara.
Situasi itu berlaku akibat habuk dan debu berterbangan disebabkan runtuhan kediaman dan infrastruktur, di samping sampah sarap di sebalik runtuhan bangunan.
Keadaan itu boleh menyebabkan penyakit berkaitan pernafasan meningkat dalam kalangan penduduk Palestin.
Kesembilan, kerosakan rumah ibadah akibat bedilan tentera Israel menyebabkan umat Islam di Palestin tiada tempat untuk beribadah secara kolektif.
Sebanyak 61 masjid dan tiga gereja dimusnahkan.
Masjid yang menjadi pusat spiritual dan aktiviti keagamaan telah dimusnahkan oleh tentera Israel.
Ke-10, penduduk Palestin terutamanya di Gaza diancam kebuluran kerana mengalami krisis bekalan makanan.
Kerosakan sumber air dan tanaman, penyekatan bantuan makanan di pintu-pintu sempadan menyebabkan penduduk Palestin berada dalam situasi kelaparan.
Bekalan makanan yang telah habis dan musnah dan alatan memasak yang rosak menyebabkan krisis makanan semakin parah.
Ke-11, serangan tentera Israel telah memusnahkan sebanyak 194 buah sekolah di Gaza, sekali gus melumpuhkan sistem pendidikan bagi rakyat Palestin.
Situasi tersebut akan menyebabkan berlakunya gejala keciciran yang besar dalam kalangan kanak-kanak Palestin dan mereka tidak mendapat pendidikan yang wajar.
Ke-12, serangan tentera Israel telah menimbulkan trauma kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Bunyi pesawat dan tembakan menyebabkan ramai yang mengalami ketakutan dan tekanan psikologi.
Ramai yang berasa tidak selamat dan hanya menunggu masa untuk mati.
Penderitaan yang dialami itu boleh menyebabkan gejala insomnia dan tidak cukup tidur.
Ke-13, ramai penduduk Palestin yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.
Kemusnahan sebanyak 740 kemudahan industri, kerosakan sumber air dan tanaman seperti zaitun telah menyebabkan ramai yang tidak mempunyai sumber kewangan.
Pendapatan yang terjejas menyebabkan mereka tidak mampu untuk membeli barangan keperluan.
Ke-14, penduduk Palestin terpaksa menjadi pelarian.
Pihak Israel mendesak dan memaksa agar penduduk Palestin meninggalkan kediaman mereka dan melarikan diri ke bahagian selatan atau Mesir.
Tanah milik mereka akan dirampas untuk meluaskan negara haram Israel.
Nasib mereka yang berpindah meninggalkan tanah air dan menjadi pelarian adalah tidak jelas.
Tegasnya, keganasan dan tindakan genosid yang dilakukan Israel adalah di luar batasan kemanusiaan dan perundangan antarabangsa.
Kekejaman demi kekejaman yang dilakukan oleh mereka terhadap penduduk Palestin telah disokong kuasa-kuasa besar yang biasanya menjuarai isu-isu hak asasi manusia.
Tetapi dalam kes genosid oleh Israel, tiada kecaman atau kutukan dilakukan sebaliknya mereka menghulurkan bantuan ketenteraan kepada Israel bagi memusnahkan Palestin.
Justeru, perang Palestin-Israel bukan hanya isu agama dan bangsa semata-mata, tetapi merentasi isu kemanusiaan.
Masyarakat dunia perlu menggembeleng tenaga untuk menghentikan konflik itu mengikut kapasiti masing-masing sama ada dengan tangan, iaitu kuasa politik dan demonstrasi, kuasa pembeli dengan memboikot, atau dengan lidah dan tulisan melalui kempen-kempen untuk menghentikan serangan ke atas Palestin, atau dengan hati melalui doa agar penduduk Palestin selamat dan dilindungi Allah SWT.
Dalam konteks Malaysia, semua pihak perlu bersatu hati dalam menghentikan tindakan genosid yang sedang dilakukan dan tidak bersetuju dengan peperangan dan kekejaman terutama kepada golongan yang tidak berdosa.
Ini kerana Islam bukan agama keganasan dan tidak menyokong keganasan, bahkan tindakan Palestin adalah dalam konteks mempertahankan tanah air sendiri.
Sebaliknya, isu agama dan bangsa tidak dimanipulasi untuk menafikan kekejaman rejim zionis.
Selama tempoh beratus tahun hidup bersama, sepatutnya tiada lagi prejudis antara agama di Malaysia.
Kita perlu mencari titik temu untuk tidak bersetuju dengan peperangan dan keganasan pihak Israel yang ingin merampas tanah penduduk Palestin.
Sekiranya sikap Islamofobia masih lagi menebal, cita-cita untuk mewujudkan perpaduan menjadi sukar.
Bagi umat Islam sama ada di peringkat antarabangsa atau setempat, isu Palestin perlu menjadi fokus bersama tanpa mengira perbezaan ideologi politik terutamanya dalam menyatakan sokongan terbuka terhadap rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim zionis dan menyalurkan bantuan.
Tambahan lagi Nabi SAW telah menegaskan tentang hakikat persaudaraan sebagaimana berikut:
“Perumpamaan orang mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi seumpama tubuh. Jika satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh yang lain akan susah tidur atau merasakan demam” (HR Muslim).
Sehubungan itu, tindakan genosid tersebut perlu dihentikan segera dan bantuan kepada Palestin wajar
dihulurkan agar dapat mengurangkan penderitaan yang mereka alami.
PENULIS PROF MADYA DR MOHD ANUAR RAMLI merupakan Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.