fb fb fb fb fb

Kesejahteraan minda, emosi dan fizikal perlu diberi perhatian

Foto BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

Meningkatkan kesejahteraan minda, emosi dan fizikal perlu diambil perhatian oleh setiap individu di pelbagai peringkat.

Kesedaran terhadap aspek kesejahteraan ini tidak sekadar ditandai oleh keperihatinan terhadap diet pemakanan, tidur yang mencukupi dan riadah yang sihat, malah situasi yang lebih santai dengan berkomunikasi dengan rakan sekerja turut memberikan makna kesejahteraan yang lebih berkesan dan menceriakan.

Tidak dapat dinafikan, keperluan sara hidup yang kian meningkat dan cabaran serta komitmen kehidupan berkeluarga yang bertambah memerlukan kecekalan jiwa, emosi dan fizikal perlu diurus dengan baik.

Komunikasi dan sokongan sosial yang baik di tempat kerja dan rumah perlu sentiasa dalam keadaan harmoni dan saling membina.

Rutin kerja yang menyeronokan sekalipun, perlu disulami dengan agenda berbeza bagi mengelakkan tekanan, kemurungan apatah lagi berlarutan kepada masalah kesihatan yang lebih meruncing.

Berinteraksi di bilik mesyuarat mahupun berselisih di ruang pejabat bagi urusan kerja pasti berbeza ‘mood’ dan suasananya jika perkara yang sama dibincangkan di meja kopi yang beraroma segar.

Apatah lagi seusai kerja-kerja utama yang berjaya dilaksanakan dengan beberapa fasa yang memerlukan komitmen yang tinggi dan jangka masa yang telah ditetapkan.

Terapi Aroma Kopi

Walaupun tiada lagi kajian khusus dan saintifik tentang kopi dengan untuk meredakan tekanan, mahupun kepentingan rakan ‘mengopi atau mengeteh’, namun menariknya perkembangan perniagaan berasaskan kafe kopi dalam pelbagai segmen persembahan seolah-olah memberi signifikan yang tinggi dalam menggambarkan keperluan dan hubungan kuat kopi dengan rakyat Malaysia.

Aktiviti ringkas minum kopi, berteman roti bakar atau juadah ringan kini menjadi trend bersosialisasi dengan rakan-rakan.

Umpama cendawan tumbuh selepas hujan, kafe kopi mendapat sambutan rakyat Malaysia pelbagai bangsa dan peringkat umur. Adakah sekadar trend atau ada manfaatnya?

Bagaimana perbualan singkat 30 minit boleh menjadi penawar emosi yang membantu meredakan tekanan daripada kerja atau rutin kehidupan berkeluarga?

Komunikasi dan sokongan sosial

Bertemu dengan rakan-rakan untuk minum kopi boleh menjadi peluang untuk berbual tentang perasaan, cabaran, dan tekanan yang mungkin dialami di tempat kerja atau dalam kehidupan keluarga.

Ini boleh membantu kita merasa didengar dan disokong.

Berbual dengan orang lain yang mungkin mempunyai pengalaman yang serupa atau berbeza boleh memberikan peluang untuk belajar daripada pengalaman mereka.

Mendengar dan menerima nasihat atau sokongan yang boleh membantu menghadapi tekanan daripada kerja dan kehidupan keluarga.

Seringkali ruang menikmati aroma kopi ini bukanlah kerana wujudnya masalah, namun sebagai satu usaha membina ukhuwah dan sokongan sosial yang berterusan melalui komunikasi yang positif, saling membina dan bertukar saranan dalam usaha memberikan solusi terhadap sesuatu isu.

Mengambil masa istirehat seketika daripada tugasan harian sambal berbual dengan rakan-rakan, minum kopi atau teh boleh membantu meredakan tekanan dan memberikan ruang minda direhatkan.

Malah, situasi itu membolehkan peningkatkan produktiviti yang lebih baik dan kesejahteraan emosi secara keseluruhan dapat dibina kembali.

Menjaga hubungan baik dengan rakan-rakan, rakan sekerja mahupun ahli keluarga adalah penting untuk kesejahteraan sosial.

Motivasi kehidupan berkeluarga

Sebahagian individu tidak gemar bercerita tentang keluarga, tentang anak-anak kerana mementingkan privasi keluarga. Sering juga dibimbangi cerita-cerita kejayaan anak-anak bakal melukakan hati rakan-rakan atau seolah-olah menunjuk-nunjuk kejayaan.

Bagaimanapun bagi individu lain cerita-cerita ini boleh membantu meningkatkan motivasi.

Mempelajari ilmu kekeluargaan, cara berinteraksi dengan anak-anak melalui minat mereka dan corak komunikasi yang diamalkan dalam keluarga rakan-rakan kita sendiri.

Dalam suasana yang harmoni dan tenang inilah cabaran menyantuni anak-anak zaman teknologi ini dapat dibincangkan.

Bertukar pandangan dan saranan dalam menghadapi pelbagai kerenah anak-anak yang meningkat usia.

Kita pastinya mengharapkan anak-anak yang baik sahsiah dan akhlaknya, cemerlang akademiknya dan perancangan masa hadapan yang jelas hala tujunya.

Pertukaran maklumat dan kemahiran baharu dalam era kehidupan teknologi maklumat dan urusan hidup serba digital masa kini,meluangkan masa bersama seketika juga mampu menambah kemahiran baharu.

Bukan sekadar sembang kosong, namun kemahiran penggunaan perisian dan aplikasi baharu tertentu misalnya dapat saling dikongsi dan terus didemonstrasi.

Kepelbagaian kemahiran baharu masa ini sejajar dengan perkembangan teknologi dan keperluan bagi meningkatkan produktiviti kerja, malah membantu meningkatkan kecekapan melaksanakan urusan rumah tangga.

Tidak salah mencari teman kopi yang selesa untuk bercerita dan berkongsi, bersesuaian masa dan ketika.

Asal saja tidak membawa kemudaratan, fitnah dan membuang masa.

PENULIS RAHMAHTUNNISAH SAILIN merupakan Pensyarah, Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi Universiti Islam Selangor.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM