fb fb fb fb fb

Tua sebelum muda: Membentuk kematangan peribadi

Penulis Dr. Norziah Othman (gambar kecil) dan Norsaadah Din @ Mohamad Nasirudin (gambar kecil) / Foto Hiasan

SAUDARA PENGARANG

Dalam masyarakat, ungkapan “muda sebelum tua” sering mengingatkan kita untuk memanfaatkan usia muda sebelum memasuki alam tua. Namun, apa pula makna di sebalik konsep “tua sebelum muda”?

Frasa ini membawa maksud pentingnya memupuk kematangan pemikiran dan pengalaman hidup sejak usia muda, menjadikan seseorang lebih bersedia menghadapi cabaran hidup dengan kebijaksanaan.

Membina Kematangan di Usia Muda

Dunia moden yang serba pantas mendorong ramai anak muda tergesa-gesa mencapai kejayaan, sering kali tanpa menyedari bahawa mereka kehilangan peluang untuk menikmati masa muda dengan seimbang.

Persaingan di institusi pengajian tinggi dan pasaran kerja semakin sengit, menyebabkan anak muda terperangkap dalam perlumbaan yang melelahkan.

Akibatnya, mereka kehilangan peluang untuk menikmati masa muda yang penuh warna-warni, sambil memupuk jati diri dan memahami arah tuju sebenar.

Tua sebelum muda bermaksud seseorang yang muda tetapi memiliki kematangan dalam pemikiran dan tindakan.

Kematangan ini tercermin melalui sifat bertanggungjawab, kebijaksanaan dalam membuat keputusan, keupayaan mengurus emosi dan penghormatan terhadap nilai-nilai kemanusiaan.

Lebih membimbangkan lagi, semakin ramai golongan muda yang dilihat kurang memiliki sensitiviti dan nilai-nilai asas atau 'common sense‘.

Mereka mudah terbawa-bawa oleh pengaruh dunia digital yang sering mengaburi realiti kehidupan.

Oleh itu, penting bagi generasi muda untuk belajar daripada pengalaman mereka yang lebih tua, agar mereka dapat membina keperibadian matang dan mampu menghadapi cabaran hidup dengan lebih bijak.

Menjalin Kefahaman Antara Generasi

Konsep ini turut menekankan kepentingan saling memahami antara generasi.

Anak muda perlu menghormati orang yang lebih tua sebagai sumber kebijaksanaan, manakala golongan yang lebih tua pula bertanggungjawab memberikan sokongan dan bimbingan yang relevan kepada generasi muda.

Kerjasama ini bukan sahaja melahirkan individu yang matang, tetapi juga membina masyarakat yang lebih harmoni.

Keseimbangan Dalam Kehidupan

Walaupun penting untuk menjadi matang sebelum waktunya, ini tidak bermaksud anak muda harus terburu-buru mencapai kejayaan tanpa melalui proses yang sepatutnya.

Kehidupan muda adalah fasa penting untuk belajar, bermimpi dan membina potensi diri.

Justeru, konsep tua sebelum muda menganjurkan keseimbangan dalam kehidupan namun tidak terlalu cepat mahu menjadi tua, tetapi pada masa sama tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai individu yang sedang membentuk keperibadian.

Membentuk Jati Diri Unggul

Pemikiran yang matang membantu anak muda membina keperibadian unggul.

Individu matang yang tidak hanya mengejar kejayaan peribadi, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

Sebagaimana janji manusia sebagai khalifah di muka bumi, seperti yang dinyatakan dalam surah al-Qasas ayat 77: “Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu lupakan bahagianmu di dunia...”.

Kematangan ini menjadikan anak muda lebih bijaksana dalam menguruskan kehidupan, memahami cabaran yang dihadapi, dan bersedia menempuh perjalanan hidup yang penuh pembelajaran.

Kehidupan bukanlah satu perlumbaan, tetapi sebuah perjalanan untuk menghayati hikmah di setiap fasa yang dilalui.

Menghadapi Cabaran Sosial

Dalam era moden ini, tekanan sosial yang mendesak kejayaan segera sering mengakibatkan generasi muda kehilangan nilai-nilai asas seperti kesabaran, rasa hormat dan empati. Oleh itu, pendidikan nilai harus diterapkan sejak usia muda.

Keluarga dan masyarakat perlu menjadi platform utama dalam membentuk anak muda yang bertanggungjawab dan berintegriti.

Golongan tua memainkan peranan penting dalam memberikan bimbingan, manakala anak muda pula perlu bersedia menerima nasihat dengan hati yang terbuka.

Interaksi ini mencipta hubungan antara generasi yang kukuh, sekaligus memastikan nilai-nilai teras kehidupan terus diwarisi.

Pendidikan Nilai: Kunci Kehidupan Bijaksana

Melalui pendidikan nilai, anak muda diajar untuk melihat kehidupan secara holistik. Mereka didorong untuk tidak hanya mengejar kejayaan material, tetapi juga membentuk keperibadian yang mulia.

Kematangan dalam tindakan dan keputusan membolehkan mereka menjadi pemimpin masa depan yang bertanggungjawab, kreatif, dan empati terhadap keperluan masyarakat.

Generasi Muda yang Seimbang dan Bertanggungjawab

Tua sebelum muda bukan sekadar istilah, tetapi panduan untuk hidup dengan lebih bijaksana dan seimbang. Generasi muda yang memahami konsep ini akan menjadi individu yang matang, bertanggungjawab, dan mampu memimpin masa depan.

Kehidupan adalah perjalanan penuh hikmah. Dengan menghargai proses kehidupan, generasi muda bukan sahaja akan mencapai kejayaan, tetapi juga memberikan impak positif kepada masyarakat.

Semoga konsep ini menjadi asas pembentukan masyarakat yang matang, harmoni, dan seimbang demi kesejahteraan bersama.

PENULIS DR. NORZIAH OTHMAN merupakan pensyarah kanan di Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan, Universiti Islam Selangor dan NORSAADAH DIN @ MOHAMAD NASIRUDIN merupakan pensyarah di Jabatan Kefahaman Islam dan Bahasa Arab, Fakulti Sains Sosial, Universiti Islam Selangor.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN