fb fb fb fb fb

Legasi kepimpinan baharu PLKN 3.0

Foto hiasan

SAUDARA PENGARANG

Gambaran barisan ahli-ahli politik muda bakal mewarnai barisan kepimpinan politik di negara ini telah rancak ditonjolkan bermula pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2021.

Fenomena ini menunjukkan suatu anjakan paradigma yang menguji kematangan sistem politik di negara ini yang selama ini didominasi oleh sebilangan besar ahli-ahli politik veteran di kawasan-kawasan parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kebangkitan anak-anak muda mengisi warisan kepimpinan negara sejak kebelakangan ini telah membuktikan bahawa negara bakal diterajui oleh golongan ini yang disifatkan lebih dinamik, lebih terbuka, membuat keputusan pantas dan lebih mementingkan keperluan masyarakat berbanding mengejar pangkat atau kedudukan politik.

Apatah lagi, bermula tahun 2022, remaja berusia 18 tahun dibenarkan untuk menjadi pengundi pilihan raya, sekali gus menunjukkan keseriusan Kerajaan mengetengahkan bakat dan kemahiran anak-anak muda untuk memimpin masyarakat di sekelilingnya.

Tambahan pula beberapa buah negeri telah meminda perlembagaan dengan membenarkan ahli-ahli DUN dilantik seawal usia 21 tahun.

Bertepatan dengan senario hari ini, pemimpin anak-anak muda ini dilihat lebih selesa menterjemahkan konsep masyarakat majmuk untuk mendukung bersama-sama aspirasi negara,tidak mengenal kaum, keturunan dan agama.

Kerukunan bangsa

Tumpuan kerajaan sekarang adalah untuk menyebarluaskan konsep kebebasan rakyat berasaskan kepada Rukun Negara supaya semua kaum anak-anak muda dapat berusaha merealisasikan aspirasi negara yang membolehkan negara mencapai tahap maju berasaskan kepada keadilan sosial, kematangan berpolitik dan menghindari anasir-anasir negatif seperti penyalahgunaan kuasa dan rasuah dalam kalangan rakyat, khususnya pemimpin politik di negara ini.

Bagaimanapun, secara sinisnya kebangkitan anak-anak muda peneraju politik negara tidak akan tercapai sekiranya golongan ini tidak dapat mengimbangi komposisi dan keperluan semua golongan di negara ini, termasuklah golongan veteran dalam kalangan masyarakat kita.

Kematangan pemikiran pemimpin-pemimpin muda nanti seharusnya dapat melestarikan budaya kepimpinan negara dengan lebih telus, terbuka dan santun terhadap peradaban negara bangsa.

Ini penting bagi memastikan pemerkasaan pemikiran dan perlaksanaan para pemimpin muda kita nanti dapat menterjemahkan dasar sosial nanti yang lebih seimbang untuk semua lapisan masyarakat di negara ini.

Sebab itu, menjadi tanggungjawab semua golongan rakyat di negara ini untuk mengimbangi keperluan dan cita-cita mereka supaya tiada golongan terpinggir.

Dalam erti kata lain, gandingan baharu para pemimpin muda haruslah mengambil kira semua rakyat Malaysia bagi memastikan kelestarian kepimpinan politik dapat dilaksanakan dengan baik

Amalan patriotisme pengundi muda

Penetapan Kerajaan menurunkan minimum tahap usia pengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun di negara ini boleh disifatkan sebagai suatu tindakan yang bijak, berani dan mencabar. Ini menunjukkan bahawa kerajaan bersungguh-sungguh menguji golongan belia untuk mencabar diri menjadi warga negara yang bersedia menunaikan peranan mereka memilih pemerintah dengan berbekalkan rasa tanggungjawab dan bijak menafsir peradaban budaya politik di negara ini.

Dalam erti kata lain, remaja kita akan mengalami cabaran menilai kematangan diri apabila golongan muda ini terlibat secara langsung dalam arena politik dengan lebih terbuka.

Namun begitu, dalam konteks kebanyakan negara-negara Asia, penetapan usia remaja 18 tahun mengundi masih menjadi polemik dan menjadi bahan perdebatan dalam dasar pemerintahan sesebuah negara.

Di Malaysia, jumlah penduduk berusia bawah 18 tahun pada 2017 adalah seramai 9.4 juta orang atau 29.4 peratus dan lebih kurang 20 peratus jumlah pengundi dikuasai golongan remaja seusia 18 tahun.

Sudah pasti penetapan pengurangan ketetapan usia mengundi ini mengundang pelbagai reaksi positif dan negatif dalam kalangan masyarakat.

Banyak suara persoal

Tahap kematangan remaja kita untuk membolehkan mereka menjadi pengundi pilihan raya kerap dipersoal. Ini disebabkan keterbatasan sumber maklumat mereka terhadap kandungan media baharu, memperlihatkan kebergantungan kuat  kepada kuasa media tersebut untuk menyebar dan mempengaruhi pemikiran mereka.

Banyak kajian membuktikan bahawa kebergantungan kepada media sosial seperti ini boleh memberi implikasi negatif kerana mereka seakan tidak berpijak di dunia realiti dan hanya menerima apa sahaja kandungan, terutama berkaitan dengan hal ehwal politik negara yang boleh dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu untuk mempropagandakan isu semasa.

Pada peringkat usia sebegini juga, remaja harus terdedah dengan ilmu keorganisasian, berpersatuan, mengenali sifat parti-parti politik sebagai satu kaedah mereka mematangkan fikiran mereka sebelum membuat keputusan mengundi atau memilih kerajaan memerintah.

Justeru itu, bagi menambah baik masalah-masalah tersebut, ada beberapa langkah yang boleh diambil oleh kerajaan dalam menangani hal ini, antaranya ialah;

Reformasi pendidikan kebangsaan harus dilaksanakan sejak peringkat bangku sekolah lagi. Subjek kenegaraan, sejarah Malaysia, perihal dasar-dasar negara,masyarakat negara ini perlu perlu dijadikan subjek teras dalam kurikulum pendidikan negara. Para pelajar harus dibimbing supaya mereka mempunyai cukup ilmu pengetahuan dan kefahaman menyeluruh berkaitan dengan hal-hal dan isu kenegaraan;

Langkah Kerajaan Pakatan Harapan mencadangkan penubuhan "Sekolah Pemimpin Masa Depan" (Malaysia Future Leaders School) menggantikan program PLKN suatu ketika dahulu merupakan satu langkah tepat bagi mendidik warga belia muda ini memupuk dan mengembangkan ilmu kepengurusan dan semangat patriotistme dalam kalangan mereka, terutamanya berhubung dengan hal-hal kenegaraan semasa.

Namun begitu sehingga hari ini belum lagi cadangan tersebut dijelmakan ke peringkat pelaksanaannya.

Cadangan PLKN baharu

Inisiatif Kerajaan Perpaduan hari ini menghidupkan dan memberi nafas baharu Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), merupakan suatu usaha kerajaan yang wajar dan amat bertepatan pada masa sekarang.

Dengan mengambil kira pelaksanaan undi 18, sudah pasti hal ini memberikan suatu cabaran kepada golongan itu untuk memahami budaya politik dan kenegaraan di negara ini supaya mereka dapat mematangkan diri sebelum membuat pilihan pada pilihan raya nanti.

Hasil dapatan dari Indeks Belia 2023 sekali lagi memperlihatkan tahap patriotisme belia Malaysia masih rendah. Justeru itu dengan mengembalikan penubuhan PLKN nanti kerajaan harus mengambil inisiatif untuk menambahbaik kurikulum program tersebut.

Inisiatif itu perlu berdasarkan cabaran semasa, melengkapkan pengetahuan remaja dengan ilmu kenegaraan, mendirikan pendidikan kewarganegaraan yang memahami sistem perlembagaan negara, khusunya penghayatan kepada rukun negara dan memberikan kefahaman menyeluruh terhadap sosio politik di negara ini.

Kesukarelawanan

Disamping itu juga, para peserta PLKN seharusnya dibimbing untuk memahami konsep sukarelawan,   khidmat komuniti dan memahami peranan dan tanggungjawab mereka menjadi warga negara yang baik.

Selain itu, kerajaan menerusi kementerian pertahanan yang menerajui program ini nanti seharusnya menerapkan pendidikan sejarah Malaysia sebagai teras kepada modul kenegaraan itu nanti.

Langkah kerajaan untuk melancarkan penubuhan program  kenegaraan yang lebih komprehensif menggantikan program PLKN sebelum ini merupakan satu langkah tepat bagi mendidik warga belia muda memupuk dan mengembangkan ilmu kepengurusan dan semangat patriotistme dalam kalangan mereka, terutamanya berhubung dengan hal-hal kenegaraan semasa.

Pelaksanaan program PLKN 3.0 nanti disyorkan dapat mengimbangi pendidikan kenegaraan yang lebih holistik disamping tuntutan ilmu ketenteraan sebagai asas pendidikan disiplin.

Diharapkan kurikulum PLKN 3.0 ini juga akan diperkayakan dengan pemusatan kelahiran bakat dan sahsiah kepimpinan muda yang lebih matang, bersih, berani dan bijaksana dalam mengendalikan urusan kritikal pada masa akan datang.

Gagasan pemikiran anak-anak muda hari ini seharusnya dibimbing dengan penghayatan semangat patriotisme kepada negara, memahami sejarah bangsa, proses perlembagaan, perundangan dan pilihan raya yang merupakan komponen penting kurikulum kenegaraan sepanjang program mega yang bakal berlangsung tersebut.

Kerajaan juga disarankan dapat menjelmakan program-program jangka pendek seperti "summer camp" yang boleh diperkenalkan secara meluas kepada anak-anak muda menerusi pemanfaatan kursus-kursus pembelajaran berasaskan teknologi terkini seperti AI dan "e-games" yang dibina untuk menguji tahap patriotik anak-anak muda, semangat kesetiaan dan kekitaan serta memupuk hubungan persaudaraan antara kaum dengan lebih akrab dan menyakinkan.

Disyorkan juga Majlis Belia Kebangsaan dapat mengembangkan usaha untuk mendidik dan memimpin golongan remaja dalam hal-hal kenegaraan dengan lebih menyeluruh dan berterusan di bangku sekolah seperti mengadakan kempen-kempen pendidikan kenegaraan terancang dan aktiviti-aktiviti yang boleh membina semangat patriotisme dalam kalangan golongan ini.

Pemerkasaan peranan remaja dalam soal-soal kemasyarakatan dan kesukarelawanan komuniti sejak bangku sekolah seharusnya tersirat dalam agenda pendidikan nasional bagi membolehkan golongan ini dapat menerapkan pemahaman mereka terhadap keperluan masyarakat setempat dan kepentingan perjuangan budaya politik negara bangsa mengikut acuan citra negara yang positif.

Sampai masanya nanti remaja kita bersedia untuk menggalas peranan dan amanah menjadi pengundi yang jujur dan memahami serta menyakini pilihan yang bakal mereka terjemahkan di peti-peti undi di kemudian hari.

PENULIS TS.DR SYED AGIL ALSAGOFF, Pensyarah Kanan Media dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Universiti Putra Malaysia; Mantan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sukarelawan Malaysia

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI