fb fb fb fb fb

Smart Selangor positif dengan indeks kepuasan tinggi - kajian

Perkhidmatan Bas Smart Selangor/Foto Bernama

SAUDARA PENGARANG

Dalam usaha menjadikan Selangor sebagai negeri pintar menjelang tahun 2025, kerajaan negeri telah melancarkan Pelan Tindakan Smart Selangor 2025 (SSAP 2025); menggariskan inisiatif dan sasaran lebih jelas. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada kerjasama US-ASEAN Smart Cities Partnership yang turut melibatkan bandar-bandar utama lain di Malaysia seperti Iskandar Malaysia, Kuala Lumpur, dan Pulau Pinang.

Sejak pelaksanaan SSAP 2025 pada tahun 2020, kerajaan negeri telah mengenal pasti empat domain yang menjadi fokus utama iaitu infrastruktur digital, kerajaan, ekonomi, dan komuniti. Infrastruktur digital berfungsi sebagai pengupaya kepada pelaksanaan domain-domain pintar lain, dengan penekanan pada penggunaan indeks bandar pintar yang diiktiraf di peringkat global.

Dalam satu kajian bersepadu yang dijalankan oleh para penyelidik dari Pasukan Delta, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diketuai penulis sendiri; tahap kepuasan rakyat terhadap inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak berwajib negeri Selangor mendapati bahawa terdapat variasi ketara dalam respons rakyat.

Hasil kajian survey atau tinjau selidik dalam kalangan rakyat negeri Selangor menunjukkan bahawa inisiatif dalam domain infrastruktur digital, seperti hentian bas pintar, mendapat sambutan positif dengan indeks kepuasan yang tinggi.

Selain penyediaan perkhidmatan wifi percuma, Smart Selangor Bus Stop turut dilengkapi dengan hab pengecas USB, peta laluan perkhidmatan bas serta pemantauan aktiviti pengguna melalui pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan butang panik yang menghubung terus dengan pihak penguasa atau keselamatan.

Kerajaan Selangor disaran untuk meningkatkan keselamatan melalui pemasangan CCTV berteknologi terkini dan pemantauan keselamatan berterusan khususnya di lokasi-lokasi strategik kawasan titik merah serta aktiviti perlupusan sampah di kawasan larangan yang bukan sahaja boleh mencemar alam sekitar malah tidak enak dipandang mata.

Selain itu, aplikasi Smart Selangor Intelligent Transport System (SITS) boleh dimuat turun dari AppStore atau GooglePlay dan dapat membantu pengguna merancang perjalanan ke destinasi dengan lebih mudah. Dalam domain komuniti pintar, inisiatif yang melibatkan perkongsian maklumat secara masa nyata (real-time) mencatatkan tahap kepuasan tertinggi.

Antara maklumat yang sering dijejak pengguna adalah lokasi berpenduduk yang berisiko wabak, penjajaran trafik selain aktiviti khidmat masyarakat kendalian kerajaan negeri seperti jualan rahmah, khidmat pemeriksaan kesihatan percuma, bantuan bencana, memasyarakatkan data utama negeri seperti data populasi kependudukan, bilangan pusat kesihatan, pusat pendidikan dan sebagainya.

Dari segi ekonomi, objektif utama adalah untuk meningkatkan rantaian ekonomi sedia ada dan meneroka aktiviti ekonomi baharu berteraskan digital dan inovasi. Inisiatif penggunaan e-wallet mencatatkan tahap kepuasan tertinggi dan urusan transaksi pembayaran tanpa tunai semakin menunjukkan trend meningkat dalam kalangan pengguna di Selangor.

Namun, terdapat juga inisiatif lain yang menunjukkan tahap kepuasan yang rendah, seperti pangkalan data kerajaan yang selamat. Rakyat amat mengharapkan peningkatan dalam perkhidmatan kerajaan secara responsif.

Dari sudut keselamatan penduduk, majoriti berpendapat kerajaan perlu meningkatkan pemasangan kamera litar tertutup CCTV khususnya di kawasan-kawasan strategik bukan sahaja bertujuan untuk menangani isu-isu jenayah malah untuk tujuan pemantauan banjir kilat dan penyuraian trafik, khususnya ketika waktu puncak atau hujan lebat.

Sebagai perbandingan inisiatif yang dilaksana oleh negara-negara lain yang bergerak menuju ke arah negara pintar, negara seperti Estonia yang amat menghargai penglibatan rakyat dalam proses perancangan bandar pintar negara mereka. Rakyat diberi peluang untuk memberikan maklum balas dan terlibat secara langsung dalam membuat keputusan, sekali gus meningkatkan rasa memiliki dan kepuasan terhadap inisiatif dilaksanakan. 

Di Selangor, kerajaan negeri menegaskan bahawa keperluan rakyat akan terus menjadi fokus utama dalam pelaksanaan inisiatif Smart Selangor serta serius dan komited dalam menangani isu-isu relevan dihadapi rakyat yang memerlukan perhatian dan tindakan segera pihak berwajib.

Menerusi pelan strategik Smart Selangor yang sentiasa dipantau ini, Selangor bertekad untuk menjadi negeri pintar; bukan sahaja memenuhi keperluan rakyat, malah akan juga meningkatkan kualiti hidup dan keselamatan rakyat menjelang tahun 2025 yang bakal menjadi contoh kepada negeri-negeri lain di Malaysia.

PENULIS DR MAS NORDIANA HJ RUSLI, Pensyarah Kanan Jabatan Perakaunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya. Boleh dihubungi menerusi e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidaksemestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI