fb fb fb fb fb

Indeks Zakat piawaian baharu pelaburan beretika

Foto hiasan/Bernama

SAUDARA PENGARANG

Pada tahun 2023, kutipan zakat di Selangor dan Wilayah Persekutuan mencatatkan rekod RM2.155 bilion, satu angka yang hampir menyamai belanjawan tahunan Negeri Sembilan.

Peningkatan kutipan zakat ini sebahagiannya boleh dikaitkan dengan usaha yang lebih giat dalam pelaporan zakat.

Sebagai contoh, Lembaga Zakat Selangor mempergiat penambahbaikan kecekapan pengagihan zakat dengan memanfaatkan teknologi papan pemuka (dashboard), blok rantai (blockchain), dan kecerdasan buatan melalui kolaborasi dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Inisiatif sebegini bukan sahaja memudahkan proses pelaporan, tetapi juga memastikan ketelusan dan ketepatan dalam pengurusan zakat, memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap sistem zakat.

Rentetan daripada usaha pendigitalan dan peningkatan ketelusan ini, Bursa Malaysia melancarkan Indeks Zakat PRIBUMI Bursa Malaysia (Indeks Zakat) bulan lalu. Inovasi kewangan ini bukan sahaja menggalakkan pelaburan beretika tetapi juga meningkatkan ketelusan dan tanggungjawab sosial korporat.

Apa yang membezakan Indeks Zakat ialah statusnya sebagai yang pertama seumpamanya di dunia. Inovasi ini bukan sahaja mengabsahkan kepimpinan Malaysia dalam kewangan Islam tetapi juga meletakkan negara sebagai hab untuk inovasi kewangan Islam.

Secara ringkasnya, Indeks Zakat merupakan indeks berwajar permodalan pasaran yang menjejak prestasi 200 syarikat terbesar di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Indeks Zakat telah dilancarkan pada 15 Julai 2024 bagi membantu pelabur memadankan pelaburan mereka dengan prinsip etika Islam, terutamanya yang menyumbang kepada Zakat Korporat atau Zakat Perniagaan.

Di samping itu, syarikat-syarikat dalam indeks ini bukan sahaja dipilih berdasarkan sumbangan zakat mereka tetapi juga saiz dan keuntungan mereka.

Proses pemilihan komprehensif sebegini memastikan bahawa Indeks Zakat hanya mengambil kira syarikat yang paling stabil dari segi kewangan dan mematuhi etika, sekali gus menggabungkan elemen keutuhan kewangan dan tanggungjawab sosial.

Setakat Jun 2024, Indeks Zakat merangkumi 27 syarikat daripada pelbagai sektor, termasuk perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan, telekomunikasi dan utiliti.

Bursa Malaysia mengekalkan piawaian etika indeks dengan mengecualikan syarikat yang terlibat dalam aktiviti seperti perjudian, pengeluaran minuman keras, aktiviti berkaitan daging khinzir, dan tembakau.

Namun begitu, kita perlu memahami cara indeks ini diselenggarakan untuk mengetahui sepenuhnya kesan Indeks Zakat secara lebih menyeluruh.

Indeks Zakat bakal disemak sebanyak dua kali setahun (setiap Jun dan Disember), bagi memastikan syarikat-syarikat tersenarai kekal istiqamah memenuhi kriteria ditetapkan.

Aspek utama Indeks Zakat ialah saringan keuntungan yang melibatkan penilaian syarikat berdasarkan pendapatan bersih mereka selama tiga tahun terakhir. Saringan ini memastikan bahawa hanya syarikat dengan rekod keuntungan yang konsisten dimasukkan.

Namun begitu, Indeks Zakat bukan sekadar alat kewangan. Indeks ini juga mewakili langkah penting ke arah menyepadukan pertimbangan etika dalam keputusan pelaburan. Usaha ini menetapkan tertib taraf (precedence) bagi kepentingan pelaburan beretika dalam memacu impak sosial yang positif.

Selain itu, Indeks Zakat telah menunjukkan prestasi yang kukuh. Malahan, indeks ini menunjukkan prestasi lebih baik daripada penanda aras tradisional seperti FBM KLCI.

Sebagai contoh, dalam tempoh 12 bulan lalu, Indeks Zakat mencatatkan pulangan terkumpul sebanyak 18.83% berbanding FBM KLCI yang mencatatkan 15.50%.

Prestasi ini membuktikan bahawa pelaburan beretika juga mampu menghasilkan pulangan yang kompetitif. Data ini turut mencabar tanggapan bahawa pelaburan yang bertanggungjawab secara sosial boleh menjejaskan prestasi kewangan.

Pelaburan beretika juga amat relevan pada masa kini dek minat yang semakin mendalam seputar pelaburan yang mempertimbangkan kriteria alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Apabila permintaan untuk pilihan pelaburan beretika semakin meningkat, Indeks Zakat menonjol sebagai alat perintis yang memenuhi keperluan ini. Pelabur semakin aktif mencari peluang yang sejajar dengan nilai peribadi mereka dan Indeks Zakat menawarkan penanda aras yang boleh memenuhi aspirasi pelabur sebegini.

Peluncuran Indeks Zakat boleh menginspirasikan lebih banyak syarikat untuk meningkatkan standard etika mereka dan menyumbang kepada pertumbuhan pasaran secara keseluruhan.

Dengan menyepadukan prinsip zakat ke dalam instrumen kewangan arus perdana, Indeks Zakat mempromosikan nilai kewangan Islam di peringkat global sekaligus menarik pelabur tempatan dan antarabangsa yang komited terhadap pelaburan beretika.

Secara tidak langsung, pengenalan Indeks Zakat mampu meningkatkan permintaan terhadap produk pelaburan beretika.

Lantaran itu, apabila lebih banyak syarikat menyedari kepentingan amalan beretika, kita bakal menyaksikan peningkatan bilangan syarikat yang layak untuk dimasukkan ke dalam Indeks Zakat yang menatijahkan kepelbagaian indeks dan kelestariannya.

Kesimpulannya, Indeks Zakat merupakan kemajuan yang ketara dalam pelaburan beretika. Dengan memberi tumpuan kepada keuntungan dan sumbangan zakat korporat, Indeks Zakat menyediakan penanda aras yang utuh dan bertanggungjawab secara sosial untuk pelabur di Malaysia dan global.

Sebagai penutup, kita harus sedar bahawa kejayaan Indeks Zakat tidak akan tercapai tanpa sokongan daripada pelbagai pihak.

Justeru, semua pihak termasuk pelabur, syarikat korporat, dan pihak berkuasa perlu berganding bahu dalam usaha memperkukuh amalan pelaburan beretika ini.

Ayuh kita jadikan Indeks Zakat sebagai inspirasi untuk melangkah ke hadapan dengan menggabungkan keuntungan kewangan dan tanggungjawab sosial dalam setiap keputusan pelaburan kita.

PENULIS DR MOHD ZAIDI MD ZABRI, Pensyarah Kanan Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya. Beliau juga merupakan Setiausaha Majlis Antarabangsa Pendidik Kewangan Islam (ICIFE).

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidaksemestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI