fb fb fb fb fb

Malaysia harus ambil peluang mendepani industri REE

Foto Fail

SAUDARA PENGARANG

Sebagai penyelidik dalam bidang unsur nadir bumi (REE) di Malaysia, saya telah menyaksikan potensi besar yang dimiliki oleh negara kita dalam industri strategik ini. REE merupakan komponen penting, malah boleh dianggap umpama vitamin-vitamin utama dalam pelbagai teknologi moden terutamanya dalam sektor teknologi hijau dan digital.

Menurut kajian terkini, permintaan global untuk REE dijangka meningkat sebanyak 40 peratus menjelang 2030, dengan pasaran global dianggarkan bernilai AS$15.5 bilion pada tahun 2022. Kepentingan strategik REE sesungguhnya tidak dapat disangkal, kerana ia digunakan secara meluas dalam pelbagai proses pembuatan moden termasuklah penghasilan magnet berkuasa tinggi, bateri kenderaan elektrik, dan peranti elektronik canggih.

Malaysia berada dalam kedudukan yang unik untuk mengambil kesempatan daripada peluang ini. Negara kita mempunyai deposit REE yang strategik terutamanya dalam bentuk tanah liat penjerapan ion yang tidak radioaktif.

Namun, untuk menjadi pemain utama dalam industri ini, kita perlu mengembangkan keupayaan pemprosesan REE yang lestari dan bertanggungjawab.

Pengoperasian kilang bahan termaju Lynas di Kuantan sejak 2010an memproses deposit REE dari Australia dan membekal 10 peratus daripada bekalan REE oksida dunia yang digunakan industri di banyak negara maju. Pencapaian ini membuktikan Malaysia mampu membangunkan tenaga kerja

Penyelidikan fasa pertama kami, yang dijadualkan berlangsung dari 2024 hingga 2027 bertujuan untuk merevolusikan kaedah pengasingan REE yang mematuhi piawaian antarabangsa daripada aspek kelestarian dan kemesraan alam.

Proses baharu yang kami bangunkan menawarkan beberapa kelebihan berbanding kaedah konvensional. Matlamat utama penyelidikan ini adalah untuk mengurangkan bilangan langkah pemisahan secara drastik, yang biasanya mencecah ribuan langkah dalam proses konvensional. Inovasi kami ini bukan sahaja bakal meningkatkan kecekapan, tetapi juga mengurangkan kos operasi secara keseluruhan.

Kedua, penyelidikan kami memberi tumpuan kepada pengurangan penggunaan bahan kimia dan pengeluaran sisa. Dengan menggunakan bahan kimia tempatan dan mengitar semula hasil sampingan yang terhasil, proses ini bakal meminimumkan kesan terhadap alam sekitar.

Pendekatan ini sejajar dengan prinsip ekonomi kitaran (circular economy), yang semakin penting dalam pelbagai industri global dan bakal menjadi senjata utama untuk menembusi pasaran Eropah yang menekankan sumber REE yang lestari dan mesra alam.

Ketiga, proses yang kami bangunkan direka khusus untuk deposit REE Malaysia yang tidak radioaktif. Ini bermakna ia boleh digunakan secara optimum untuk sumber tempatan, lantas memberi kelebihan daya saing kepada Malaysia dalam pasaran global. Ini juga berpotensi menjadikan Malaysia sebagai pusat pemproses bagi deposit REE bukan radioaktif dari negara-negara serantau.

Penyelidikan ini juga melibatkan kerjasama antara pelbagai pakar, termasuk rakan sekerja saya, Profesor. Madya Dr. Ninie Suhana Abdul Manan dari Jabatan Kimia dan Profesor. Madya Badrul Hisham Mohd Jan dari Jabatan Kejuruteraan Kimia, Universiti Malaya.

Kerjasama antara disiplin ini memastikan pendekatan yang menyeluruh dalam menangani cabaran pemprosesan REE yang sangat rumit, dan seterusnya merekabentuk kilang pemprosesan REE berskala lebih besar kelak setelah penyelidikan pada peringkat makmal mencapai objektif-objektif penyelidikan yang tergaris.

Kami juga sedang menjalankan perbincangan awal dengan kerajaan negeri Kedah untuk meneroka aspek kerjasama jangka panjang. Kesediaan kerajaan negeri untuk berbincang dan menjadi rakan strategik pembangunan dalam usaha kami ini sangat dihargai, dan merupakan langkah penting dalam mewujudkan sebuah industri REE tempatan dan serantau yang berdaya maju kelak.

Penyelidikan kami bukan sahaja bertujuan untuk memajukan industri REE Malaysia, tetapi juga untuk menyokong matlamat pembangunan lestari global. Ia sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang digagaskan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), khususnya matlamat nombor sembilan (Industri, Inovasi dan Infrastruktur) dan 12 (Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab).

Sebagai seorang saintis dan rakyat Malaysia, saya yakin negara kita tidak boleh melepaskan peluang untuk menjadi pemain utama dalam industri REE global. Dengan menyokong penyelidikan tempatan seperti yang kami jalankan di Universiti Malaya, kita boleh membangunkan industri REE yang bukan sahaja membawa manfaat ekonomi untuk jangka panjang, malah juga lestari dan bertanggungjawab.

Saya menyeru kepada semua pihak berkepentingan dari semua sektor kerajaan, industri dan akademik untuk bekerjasama dalam menyokong usaha ini.

Pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan, sokongan dasar yang sesuai, dan kerjasama industri-akademik adalah penting untuk menjayakan visi ini.

Jangan biarkan peluang ini terlepas. Dengan bertindak sekarang dan menyokong penyelidikan REE tempatan, Malaysia boleh meletakkan dirinya sebagai pemimpin global yang mendepani dan menjuarai industri strategik ini.

Masa untuk bertindak adalah sekarang, sebelum negara lain mendahului kita dalam perlumbaan ini. Sewajarnya kita manfaatkan kekayaan sumber semula jadi dan kepakaran saintifik sedia untuk membina masa depan yang lebih cerah dan lestari untuk Malaysia.

PENULIS DR. HIJAZ KAMAL HASNAN, Pensyarah Kanan di Jabatan Geografi, Fakulti Sains, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM