SAUDARA PENGARANG
Memelihara diri dan nyawa merupakan prinsip kedua terpenting mengikut urutan keutamaan dalam maqasid syariah selepas memelihara agama. Sebab itu, Islam melarang perbuatan membunuh, sama ada membunuh diri sendiri atau manusia lain bagi memelihara nyawa.
Hukuman qisas, diyat atau kaffarah dikenakan bagi mereka yang telah melakukan pembunuhan terhadap manusia lain sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Malahan, langkah-langkah ke arah penjagaan diri dan nyawa adalah wajib diambil dalam usaha mencapai maqasid syariah.
Begitu juga hubungannya dengan kes melibatkan orang hilang. Mutakhir ini, kes melibatkan orang hilang seakan menjadi musim resah yang melanda negara.
Kekeliruan yang timbul berkenaan laporan orang hilang hanya dibenarkan dibuat selepas tempoh 24 jam menambahkan lagi kegusaran keluarga dan orang ramai. Ironinya, kenyataan bahawa aduan dan laporan selepas tempoh 24 jam hanyalah satu tanggapan dan sangkaan yang berlegar dalam masyarakat sahaja.
Tiada prosedur operasi standard (SOP) yang menyatakan laporan polis harus dibuat selepas tempoh 24 jam kejadian orang hilang berlaku. Sebaliknya, laporan polis mengenai kejadian orang hilang perlu dibuat segera bagi membolehkan tindakan pantas dapat diambil.
Prosedur operasi standard (SOP) orang hilang bawah Pekeliling arahan Ketua Polis Negara mewajibkan aduan dan laporan dibuat di mana-mana balai polis. Hal ini bermaksud, kes orang hilang tidak sah untuk diadu melalui sistem e-Reporting PDRM.
Hal ini kerana, sistem e-Reporting PDRM merupakan satu perkhidmatan yang disediakan oleh PDRM bagi membolehkan orang awam membuat laporan polis secara atas talian melibatkan kes bukan jenayah sahaja dan tidak memerlukan siasatan lanjut oleh pihak polis.
Berbeza dengan kes orang hilang, laporannya perlu dibuat oleh keluarga atau kenalan setelah pertimbangan rapi dibuat walaupun kurang dari tempoh 24 jam. Ini kerana masa adalah elemen paling penting bagi menyelesaikan kes orang hilang.
Sebagai contoh, laporan boleh dibuat sejurus selepas individu berkenaan gagal dihubungi, tidak dapat dikesan, wujud ugutan atau ancaman pihak ketiga, atau apa-apa pertimbangan lain yang difikirkan wajar.
Apabila aduan dibuat, pihak polis bertanggungjawab membuat penyisihan kategori. Sekiranya orang hilang membabitkan kanak-kanak bawah 18 tahun, atau kes membabitkan individu yang memiliki kepentingan ekonomi dan hungan diplomatik atau kes dikesan memiliki elemen jenayah, maka fail akan dibuka oleh Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia.
Sebaliknya, kes-kes lain melibatkan insiden orang hilang di hutan semasa hiking sebagai contoh, atau hilang di sungai dan kawasan-kawasan lain yang tidak membabitkan elemen jenayah, fail kes akan dibuka oleh Jabatan Pengurusan Polis Diraja Malaysia.
Justeru, amat penting laporan dan aduan dibuat sesegera mungkin tanpa perlu menunggu sehingga 24 jam sebelum membuat aduan berhubung kes orang hilang. Setiap laporan yang diterima akan diproses dan dinilai secara teliti oleh anggota dan pegawai polis sebelum sebarang tindakan susulan diputuskan.
Hal ini bagi memudahkan proses siasatan lanjut dilaksanakan bagi mengelakkan aduan yang berupa silap faham antara keluarga atau kenalan.
Oleh itu, antara langkah penjagaan diri dan nyawa yang utama ialah sentiasa berwaspada dengan mengambil pertimbangan wajar setiap masa. Sebagai contoh, seseorang amat dititik beratkan untuk berjalan secara berteman walaupun individidu tersebut adalah seorang lelaki dewasa.
Maklumkan kepada pasangan atau famili sekiranya perlu keluar untuk menyelesaikan urusan. Beri informasi keberadaan anda bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.
Alternatif lain yang lebih mudah, pasang atau muat turun alat pengesan lokasi seperti life360 sebagai langkah berjaga-jaga. Aplikasi-aplikasi pengesan sebegini bukanlah bertujuan untuk pengawalan lokasi setiap masa, namun lebih berfungsi bagi tujuan keselamatan diri dan orang sekeliling.
Perlu diingat, menjaga keselamatan diri dan nyawa adalah sebagaian dari maqasid syariah dan dituntut agama. Hal ini memberi maksud, wajib kita menjaga dan melindungi diri bagi mencapai kebaikan dan memberi manfaat, sekali gus menolak keburukan dan menghilangkan kemudaratan.
Dengan langkah kecil ini, diharapkan peningkatan kes orang hilang yang mencecah 900 kes saban tahun, mampu diturunkan.
PENULIS SITI AISYAH SAMUDIN merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi menerusi
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.