SAUDARA PENGARANG
Kalendar Islam tidak asing lagi digunakan dalam kalangan umat Islam khususnya di Malaysia. Sekali pun kalendar masihi digunakan lebih meluas dalam keseluruhan urusan perjalanan harian kita, namun tidak boleh dinafikan bahawa kalendar Islam juga dirujuk bersama sebagai panduan harian.
Biasaya, kita akan diberikan pendedahan tentang bulan Islam, apabila akan tiba bulan Ramadan untuk pengumuman amalan ibadah puasa, bulan Syawal bagi sambutan hari raya Aidilfitri, bulan Zulhijjah tentang pelaksaaan ibadah haji dan sambutan hari raya korban (Aidil Adha) dan sebagainya.
Dalam erti kata bahawa masyarakat kita secara umumnya mengentahui tentang keberadaan bulan Islam dan sebahagiannya pula dapat menghayati bulan-bulan ini melalui saranan ibadah yang ditetapkan termasuk keterangan tentang nama-nama bulan yang dijelaskan dalam ayat al-Quran atau pun hadith.
Firman Allah SWT pada ayat 185 surah al-Baqarah yang bermaksud: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”
Allah SWT juga memberikan penjelasan tentang bilangan-bilangan bulan yang ada termasuk beberapa bulan yang dinamakan sebagai bulan haram (yang dihormati). Firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 36 yang bermaksud: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati.”
Keterangan ayat ini turut dijelaskan lagi dalam hadith Nabi SAW tentang bilangan bulan dalam setahun dan nama-nama bulan haram (yang dihormati) tersebut. Daripada Abi Bakrah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadil Akhir dan Syaaban”. [Hadith riwayat al-Bukhari, no.hadith 4054]
Mungkin kita pernah mendengar satu ungkapan yang menyebutkan tentang tiga bulan dalam Islam yang berturut-turut iaitu bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan. Seorang ulama bernama Abu Bakar al-Warraq dalam kitabnya Lataif al-Ma’arif adalah menggambarkan seseorang Muslim itu ketika berada dalam ketiga-tiga bulan ini sebagai seorang petani atau pekebun.
Iaitu beliau menyatakan bahawa bulan Rejab adalah bulan bagi seseorang itu untuk bercucuk tanam, bulan Sya`ban pula tempoh untuk menyiram dan membaja tanaman dan bulan Ramadan adalah bulan untuk memungut hasil tanaman.
Gambaran ini mempunyai signifikan sangat penting untuk kita sebagai seorang Islam dalam menghayati kepentingan bulan-bulan ini. Perlu untuk ditegaskan bahawa dalam konteks penetapan bulan dan waktu ia bukan sahaja sebagai satu panduan untuk kehidupan seharian. Tetapi ia sangat terkait dengan proses dan pelaksanaan ibadah seseorang.
Contohnya, telah ditetapkan bahawa kewajipan puasa penuh satu bulan hanya pada bulan Ramadan sahaja, sedangkan waktu lain sepanjang tahun kecuali bulan Ramadan boleh untuk memilih puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis, atau puasa selang sehari mengikut puasa Nabi Dawud AS atau puasa tiga hari berturut-turut pada pertengahan bulan Islam iaitu pada 13, 14 dan 15 haribulan setiap bulan. Demikian, juga pelaksaan ibadah haji hanya dalam 1 bulan sahaja iaitu pada bulan Zulhijjah, dan tiada waktu lain melainkan yang lainnya adalah boleh melaksanakan umrah.
Bagaimana dengan bulan ‘tiga serangkai’ ini? Kalau diperhatian kepada ketiga-tiga bulan ini, setiap daripada bulan-bulan tersebut mempunyai kepentingan berbeza dan terdapat signifikan saranan berbeza dalam mengambil pengajaran daripada peristiwa lampau khususnya untuk seseorang yang mahu mengambil manfaat berganda.
Bermula dengan bulan Rejab, jika diperhatikan kepada keterangan dalam hadith dan ayat al-Quran sebelum ini, bulan Rejab termasuk dalam bulan ‘haram’ iaitu merujuk kepada salah satu daripada bulan yang dihormati oleh masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam lagi. Pada bulan ini, mereka tidak akan berperang dan bergaduh sesama mereka dan kabilah lain di mana senjata akan disimpan di dalam rumah.
Bulan ini boleh disebutkan sebagai bulan genjatan senjata dan keamanan. Bahkan, pada bulan ini tiada bentuk kezaliman akan berlaku. Ada ulama mengatakan, dengan meletakkan bulan Rejab sebagai bulan haram, bertujuan supaya sesiap sahaja selamat untuk mengunjungi Baitullah dan melakukan umrah dalam tempoh itu daripada seluruh pelosok tanah Arab, sehingga mereka mengunjunginya; kemudian kembali ke tempat asalnya dalam keadaan keselamatannya terjamin.
Jika dirujuk kepada pandangan al-Hafiz Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Qur’an al-Azim, beliau menukilkan pendapat Ibn Abbas yang menyatakan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan haram ini (termasuk bulan Rejab), dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Begitu juga, amal soleh yang dilakukan adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain. (Tafsir al-Qur’an al-Azim, 4:130)
Demikian juga Ibn Rajab al-Hanbali ada menyatakan bahawa bulan Rejab adalah pembuka bulan-bulan kebaikan dan keberkatan. Jika dirujuk kepada beberapa hadith Nabi SAW, baginda turut menyarankan dan menjelaskan beberapa kelebihan yang ada dalam bulan Rejab ini.
Bahkan, peristiwa Israk dan Mikraj Nabi SAW juga berlaku dalam bulan ini. Antara amalan yang digalakan adalah dengan memperbanyakan ibadah seperti solat, puasa, bersedekah dan sebagainya. Jadi, di sini jelas kepada kita bahawa bulan Rejab ada kelebihan tersendiri pada bulan ini.
Manakala pada bulan Sya`ban pula, digambarkan sebagai bulan untuk menyirami tanaman yang telah mula tumbuh dengan baik dan membajanya agar dapat membesar dengan sempurna bagi menghasilkan hasil tanaman yang dikehendaki.
Dalam hadith, daripada Usamah bin Zaid RA berkata: “Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan sebagaimana engkau berpuasa di dalam bulan Syaaban?”
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Itu adalah bulan yang mana manusia sering lalai akannya iaitu bulan yang berada di antara Rejab dan Ramadan. Bulan tersebut adalah bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Rabb al-‘Alamin (yakni Allah SWT). Maka aku suka ketika amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa”. (Hadith riwayat al-Nasa’i, no.hadith 2317).
Oleh sebab itu, golongan salaf menghidupkan Sya`ban dengan pelbagai amalan kerana mengharapkan agar amalan dapat diangkat kepada Allah SWT.
Ada juga hadith yang menyebutkan Nabi SAW banyak berpuasa pada bulan Sya`ban. Daripada ‘Aisyah RA, yang menceritakan bahawa “Rasulullah SAW ada masanya berpuasa sehingga kami mengatakan Baginda tidak mahu berbuka. Ada ketika Rasulullah SAW tidak berpuasa sehingga kami mengatakan Baginda tidak mahu berpuasa. Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa lebih banyak daripada Ramadan melainkan pada bulan Sya`ban.” (Hadith riwayat al-Bukhari, no.hadith 1969).
Terdapat juga hadith yang menyebutkan Allah SWT turun ke langit dunia pada malam 15 Sya`ban atau disebutkan sebagai ‘Nisfu Sya`ban’. Daripada 'Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia pada malam Nisfu Syaaban kemudian mengampunkan sebanyak bilangan bulu kambing pengawal”. (Hadith riwayat al-Tirmidhi, no. hadith 670)
Jadi, secara jelasnya, pada bulan Syaaban juga ada kelebihan tersendiri. Bahkan, jika kita perhatian, bulan Sya`ban menghampiri kepada bulan Ramadan, maka sudah pasti bulan ini adalah bulan persiapan untuk kita menyelesaikan segala ‘hutang’ puasa yang ditinggal sebelum ini, bersiap sedia dengan kesihatan fizikal dan mental bagi menghadapi puasa serta memperkemaskan ilmu dengan menelaah kembali tentang pelaksanaan puasa dan amalan yang sewajarnya dilakukan pada bulan tersebut. Termasuk menyusun strategi bagi mencari dan mendapatkan Lailatul Qadar yang dijanjikan pada bulan Ramadan.
Justeru, apabila tibanya bulan Ramadan, susah pasti segala persiapan sebelum ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya sepanjang 29 atau 30 hari untuk berpuasa dan meningkatkan ibadah bagi mendapatkan pahala yang berterusan dan berlipat ganda. Berkaitan dengan bulan Ramadan ini, dari sudut kelebihan bulan ini tidak boleh menandingi bulan-bulan lain.
Namun, ia bukan untuk menafikan kelebihan bulan-bulan yang lain. Ia lebih kepada banyaknya manfaat dan faedah yang dijanjikan Allah SWT dan Rasul-Nya yang ada dalam bulan ini. Bulan Ramadan disebutkan sebutkan sebagai bulan barakah (bulan yang diberkati), bulan rahmah (bulan yang dirahmati) dan bulan maghfirah (bulan keampunan dosa).
Pada bulan ini, amal ibadah yang dilakukan digandakan berlipat kali ganda berbanding bulan biasa, terdapat amalan khusus dalam menghidupkan malam di bulan Ramadan seperti solat terawikh yang hanya disyariatkan pada bulan ini sahaja, digalakkan untuk solat witir, menghidupkan malam dengan bertilawah al-Quran, berzikir dan berselawat ke atas Nabi SAW, memperbanyakkan sedekah dengan cara berinfaq atau memberi makan kepada orang yang berpuasa, membayar zakat fitrah, dan sebagainya lagi.
Bahkan kemuncuk kepada beramal dalam bulan Ramadan adalah usaha dalam menghidupkan malam-malam ganjil pada 10 malam terakhir dengan harapan penuh bagi mendapatkan malam al-Qadr yang merupakan malam terbaik beribadah 1000 bulan banding dengan bulan dan malam-malam lain.
Firman Allah SWT pada ayat 1-5 surah al-Qadr yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar. Dan apa jalannya kamu dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar? Malam Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat itu) hingga terbit fajar."
Jadi, dengan sekian banyak kelebihan yang ada pada bulan Ramadan, menggambarkan kepada bulan yang padat dengan ibadah dan amal kebajikan. Sudah pasti seorang muslim yang bersedia, akan memastikan staminanya untuk menghadapi bulan ini bermula lebih awal. Oleh sebab itu, gambaran kepada dua bulan sebelumnya, iaitu dari bulan Rejab lagi sehingga bulan Sya`ban sebelum masuknya bulan Ramadan, persiapan lebih awal telah dilakukan.
Itulah sikap yang sewajarnya ada pada setiap individu Muslim yang benar-benar memahami tuntutan syariat yang akan terus berusaha gigih dalam mencapai keredaan dari Allah SWT dengan menghidupkan ketiga-tiga bulan itu dengan sewajarnya.
Memandangkan ketika ini, kita berada pada awal bulan Rejab, marilah bersama-sama kita merancang untuk amal ibadah dan kebajikan yang boleh dilakukan sepanjang tiga bulan mendatang. Antara amalan yang ringan, tapi sangat penting yang boleh dilakukan berdasarkan saranan daripada Nabi SAW adalah memanjatkan doa berikut: (اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبَ وَشَعْبَانَ، وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ) Maksudnya: “Ya Allah, berkatilah kami dalam bulan Rejab dan Syaaban, serta sampaikanlah kami kepada bulan Ramadan." (Doa daripada hadith riwayat Ahmad dan Al-Baihaqi yang merupakan hadis hasan).
Pada masa sama, senatiasalah mencari peluang dan ruang untuk menuntut ilmu dan mendalaminya supaya dapat meningkatkan lagi kualiti ibadah dan amal kebajikan yang kita lakukan. Moga-moga kita tergolong dalam kalangan orang yang mendapat barakah dan keredaan Allah berpanjangan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Prof Madya Dr Khadher Ahmad
Jabatan Al-Quran dan Al-Hadis
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
E-mel: