fb fb fb fb fb

Penarafan Moody's tahap A3: Impak kepada dompet anda

Foto hiasan/Arkib Bernama

SAUDARA PENGARANG

Pada 24 Januari 2025, Moody's Ratings telah mengumumkan penarafan kredit berdaulat (sovereign credit ratings) untuk Malaysia dengan mengekalkan penarafan kredit pada tahap 'A3' dengan prospek 'Stabil'. Agensi penarafan ini menjangkakan Malaysia akan menjadi ekonomi berpenarafan A, paling pesat berkembang dalam tempoh dua tahun akan datang.

Dengan penarafan ‘A3’ dan unjuran ‘Stabil’, Moody's mengiktiraf kekuatan struktur kredit Malaysia, termasuk kepelbagaian ekonomi, daya saing, dan kestabilan harga yang menyokong perbelanjaan domestik. Selain itu, pasaran modal domestik yang kukuh dan sistem kewangan yang maju turut diakui sebagai faktor positif.

Moody's Corporation adalah sebuah syarikat global yang menyediakan perkhidmatan kewangan, khususnya dalam penilaian kredit, penyelidikan ekonomi, dan analisis risiko. Syarikat ini terkenal melalui anak syarikatnya, Moody's Investors Service, yang memberi penarafan kredit kepada entiti seperti kerajaan, syarikat, dan instrumen kewangan (contohnya, bon).

Salah satu fungsi Moody’s adalah memberikan skor seperti Aaa, Aa1, A1 dan sebagainya menggambarkan keupayaan sesebuah entiti untuk membayar hutang mereka termasuk penarafan kredit berdaulat untuk negara atau penarafan syarikat korporat.

Moody's adalah salah satu daripada tiga agensi penarafan kredit utama di dunia, bersama dengan Standard & Poor's (S&P) dan Fitch Ratings. Penarafan kredit oleh Moody's diiktiraf di seluruh dunia dan merupakan ukuran kepercayaan terhadap keupayaan dan kesediaan sesebuah negara atau entiti untuk memenuhi tanggungjawab kewangan mereka, seperti membayar hutang.

Penarafan ini bermakna Malaysia mampu memenuhi obligasi kewangannya tetapi mungkin sedikit terjejas jika berlaku perubahan ekonomi atau kewangan global. Penarafan Kredit 'A3' juga menunjukkan Malaysia mempunyai ekonomi yang pelbagai dan kompetitif, dengan sektor seperti pembuatan, minyak dan gas, serta perkhidmatan kewangan menyumbang kepada daya tahannya.

Disamping itu, ia juga mencerminkan usaha kerajaan untuk menguruskan kewangan awam (dasar fiskal) melalui dasar seperti pengurangan subsidi dan pembaharuan struktur kewangan. Manakala prospek ‘Stabil’ bermaksud risiko kepada penurunan atau kenaikan penarafan adalah seimbang. Ia menunjukkan keyakinan Moody's bahawa Malaysia boleh mengekalkan prestasi ekonomi dan pengurusan fiskal yang baik dalam jangka masa sederhana.

Penarafan kredit adalah penting sebagai kayu ukur kepada pelabur asing dimana penarafan kredit yang baik memberi keyakinan kepada pelabur untuk melabur dalam pasaran modal dan bon negara. Dari segi kos pinjaman, penarafan yang lebih tinggi bermaksud kos pinjaman yang lebih rendah untuk kerajaan kerana risiko dianggap lebih rendah.

Penarafan kredit oleh Moody’s bukan hanya penting untuk kerajaan dan pelabur, tetapi juga memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada rakyat. Apabila Malaysia mendapat penarafan kredit yang baik, kos pinjaman kerajaan di pasaran antarabangsa menjadi lebih rendah dan kerajaan dapat menjimatkan perbelanjaan pembayaran faedah hutang.

Penjimatan ini boleh disalurkan semula kepada program pembangunan seperti pendidikan, kesihatan, dan infrastruktur. Disamping itu, beban cukai rakyat dapat dikurangkan kerana kos pengurusan hutang kerajaan lebih rendah. 

Penarafan tinggi juga meningkatkan keyakinan pelabur asing untuk melabur di Malaysia dimana pelaburan asing mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, terutama dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan. Pelaburan asing juga membantu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, yang akhirnya meningkatkan taraf hidup rakyat.

Penarafan kredit yang baik mencerminkan kestabilan ekonomi negara dan kemampuan untuk menguruskan kewangan dengan baik.  Ekonomi yang stabil memberi keyakinan kepada rakyat untuk berbelanja dan melabur, yang menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi keseluruhan. Dengan ini inflasi dapat dikawal dengan lebih baik, mengurangkan kos sara hidup.

Pengurangan kos pinjaman akibat penarafan yang kukuh membantu perniagaan tempatan untuk berkembang dengan akses kepada pinjaman lebih murah, yang membawa kepada penciptaan peluang pekerjaan dan perkhidmatan yang lebih baik dan akhirnya barangan dan perkhidmatan dapat ditawarkan pada harga yang lebih kompetitif.

Kadar faedah yang lebih rendah akibat penarafan yang baik boleh memberi kesan kepada pinjaman pengguna (seperti pinjaman rumah dan kereta).  Rakyat mungkin menikmati kadar faedah lebih rendah untuk pinjaman peribadi, pinjaman perumahan, atau pinjaman perniagaan kecil.

Penarafan tinggi juga membolehkan kerajaan mendapatkan dana dengan lebih murah untuk projek infrastruktur seperti jalan raya, hospital, dan sekolah.  Akibatnya kemudahan awam yang lebih baik akan meningkatkan kualiti hidup rakyat, terutama di kawasan luar bandar.

Penarafan baik juga menandakan kestabilan sektor kewangan negara. Maka tabungan dan pelaburan rakyat (seperti Amanah Saham Bumiputera, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) lebih selamat dalam persekitaran kewangan yang stabil.

Kesimpulannya penarafan kredit yang baik memberi kesan positif kepada rakyat dengan memastikan kestabilan ekonomi, peluang pekerjaan, kemudahan infrastruktur, dan kos pinjaman yang rendah. Walaupun manfaat ini kadang-kadang tidak nampak secara langsung, ia memainkan peranan besar dalam meningkatkan taraf hidup rakyat secara keseluruhan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

AHMAD YANI ISMAIL
Ahmad Yani Ismail
Pensyarah, Jabatan Ekonomi dan Kewangan
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor.

MAT YUNUS BIN SABRI