fb fb fb fb fb

Realiti golongan B40 menjelang Belanjawan 2025

Peningkatan kos sara hidup di Malaysia memberi kesan tidak seimbang kepada B40/ Foto Nahrizul Adib Kadri

SAUDARA PENGARANG

Pada tahun 2024, ekonomi global menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang memuaskan, sekali gus memberi kesan kepada kadar kemiskinan terutama kepada golongan pendapatan 40 peratus terbawah (B40) di Malaysia.

Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund-IMF) mengunjurkan pertumbuhan global bawah tiga peratus; secara tidak langsung memberi kesan kepada pengangguran Malaysia pada kadar 4.5 peratus.

Pada masa sama, kadar inflasi disasarkan pada 3-4 peratus, menyebabkan kos sara hidup terus meningkat. Keadaan ini akan menyumbang kepada peningkatan kadar kemiskinan dan menyebabkan wujud keperluan campur tangan menerusi pelaksanaan dasar dan polisi efektif.

Ketidaktentuan ekonomi global dan pertumbuhan ekonomi negara yang perlahan, kadar kemiskinan dijangka meningkat terutamanya melibatkan golongan B40. Faktor inflasi semasa memberi kesan mendalam kepada kumpulan B40 di Malaysia kerana ia secara langsung menjejaskan keupayaan mereka untuk membeli keperluan asas.

Ketidaktentuan ekonomi global dan pertumbuhan lebih perlahan, selain inflasi semasa memberi kesan kepada golongan B40 kerana kuasa beli berkurang dan menyebabkan mereka sukar untuk mendapatkan keperluan asas seperti makanan, perumahan dan penjagaan kesihatan.

Peningkatan harga barang dan perkhidmatan lebih cepat daripada peningkatan gaji menyebabkan golongan B40 akan mengorbankan kualiti atau kuantiti barang keperluan yang digunakan dalam kehidupan seharian. Peningkatan kos sara hidup seperti kos pengangkutan akan memberi beban kewangan dan keberhutangan golongan B40.

Selain itu, faktor inflasi akan menjejaskan manfaat nilai program bantuan kerajaan yang diterima oleh golongan B40. Contohnya nillai sebenar Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan berkurang jika berlaku peningkatan harga barang dan perkhidmatan.

Selain itu, peningkatan kos sara hidup di Malaysia memberi kesan  tidak seimbang kepada B40, kerana pendapatan yang terhad semakin banyak digunakan untuk pembelanjaan keperluan seperti makanan, perumahan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan pengangkutan.

Apabila harga barang keperluan ini meningkat, golongan B40 akan menghadapi tekanan kewangan, tidak dapat memenuhi keperluan asas yang secukupnya dan seterusnya terlibat dalam keberhutangan yang serius dalam kerana memenuhi kehidupan seharian.

Kekangan-kekangan ini menjadikan golongan ini menghadapi kemudahterancaman yang tinggi dan terdedah kepada kejutan ekonomi seperti kehilangan peluang pekerjaan, kecemasan perubatan dan mudah jatuh miskin. Tanpa jaringan keselamatan sosial yang lebih kukuh atau peningkatan gaji, peningkatan kos sara hidup akan terus memburukkan lagi kemiskinan dalam kalangan B40.

Dalam aspek ketidaktentuan dan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan di Malaysia, situasi itu akan mengurangkan peluang pekerjaan dan meningkatkan kemudahterancaman pekerjaan, terutamanya dalam beberapa sektor seperti peruncitan, pelancongan dan pembuatan; menyaksikan ramai golongan B40 terlibat dalam sektor tersebut.

Semasa kemelesetan ekonomi, pembekuan pengambilan pekerja dan pemberhentiaan akan menjejaskan golongan B40 kerana kebanyakkannya bergantung kepada pekerjaan sementara atau tidak formal yang tidak mempunyai faedah dan perlindungan.

Kemerosotan gaji semakin menghakis kestabilan kewangan mereka apabila kos sara hidup meningkat. Di kawasan luar bandar pula; peluang pekerjaan terhad serta kelembapan ekonomi memburukkan lagi kadar kemiskinan, memaksa lebih ramai beralih kepada ekonomi gig yang dilihat kurang stabil atau sektor kerja tidak formal.

Bagaimanapun ia menawarkan sedikit keselamatan jangka panjang, namun kumpulan B40 menghadapi kelemahan kewangan yang lebih tinggi dan risiko yang lebih besar untuk jatuh lebih dalam ke dalam kemiskinan.

Dalam membantu golongan B40 menghadapi cabaran ekonomi semasa, Belanjawan 2025 diharapkan dapat mewujudkan peluang pekerjaan lebih stabil, terutamanya dalam sektor pertumbuhan tinggi seperti teknologi digital dan tenaga hijau, sekali gus membantu kumpulan B40 mengatasi ketidaksamanan pekerjaan.

Pertumbuhan gaji melalui kenaikan gaji minimum, perlindungan buruh lebih kukuh, dan insentif untuk perniagaan mengambil dan melatih pekerja berpendapatan rendah akan meningkatkan kestabilan kewangan.

Selain itu, memperluas jaringan keselamatan sosial seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), meningkatkan akses rumah mampu milik dan penjagaan kesihatan, dan melabur dalam program peningkatan kemahiran untuk kebolehpasaran yang lebih baik juga penting.

Sama perlu adalah sokongan yang disasarkan untuk perniagaan kecil, pembangunan luar bandar dan rangkuman digital amat signifikan dalam mengurangkan kemiskinan dan melindungi kumpulan B40 daripada kejutan ekonomi masa depan.

PENULIS DR. MOHD KHAIRI ISMAIL, Felo Penyelidik Pasca Siswazah di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya, dan boleh dihubungi melalui e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI