SAUDARA PENGARANG
Lazimnya, kehidupan seorang muslim adalah berkisarkan di antara konsep halal dan haram. Kedua-dua terma ini berfungsi sebagai garis panduan kepada umat islam dalam melaksanakan aktiviti kehidupan seharian berlandaskan syariat dan tanggunggjawab sebagai seorang muslim.
Konsep halal dalam perspektif makanan adalah merujuk kepada makanan yang dibenarkan untuk diambil oleh umat islam. Manakala, konsep haram pula adalah membawa maksud sebaliknya. Konsep makanan halal ini adalah merangkumi secara menyeluruh dengan menggalakkan umat Islam untuk mengambil produk makanan berkhasiat serta dihasilkan secara suci dan bersih dari perspektif Islam itu sendiri.
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita tular di media sosial berkaitan restoran atau premis makan tidak memiliki sijil halal, terutamanya premis dalam pusat beli-belah. Perkara itu turut disahkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Pelbagai reaksi dan persepsi dapat dilihat sama ada rakyat daripada pelbagai peringkat termasuk pendagan bahawa pensijilan halal hanya akan menyukarkan golongan peniaga yang terlibat dalam aktiviti perniagaan. Sebenarnya, tidak seperti didakwa kerana pihak JAKIM telah menyediakan permohonan persijilan halal yang tidak menyukarkan termasuk untuk kategori penyediaan makanan bersifat mikro dan homebase bagi memudahkan perniagaan premis makanan.
Melihat situasi semasa, industri makanan halal telah menjadi pasaran makanan terbesar di dunia. Tambahan pula, pendidikan kepenggunaan produk makanan halal semakin berkembang; didorong kesedaran tinggi dalam kalangan pengguna sama ada daripada umat Islam dan bukan Islam disebabkan beberapa faktor.
Antara faktor yang mendorong kepada peningkatan permintaan makanan halal adalah peningkatan populasi masyarakat Islam dunia dengan anggaran seramai 2.76 billion individu Islam menjelang tahun 2050.
Di Malaysia berdasarkan data bancian pada tahun 2020, kira-kira 63.5 peratus daripada populasi penduduk adalah beragama Islam; 18.7 peratus Buddha; 9.1 peratus Kristian, 6.1 Hinduisme dan 0.9 peratus agama lain. Selain itu, peningkatan pendapatan kalangan komuniti Islam meningkatkan kuasa beli mereka.
Hakikatnya, industri halal di Malaysia berpotensi menyediakan peluang lebih luas kepada pengeluar makanan untuk mengembangkan perniagaan mereka, termasuk di peringkat global. Bagaimanapun, perniagaan makanan berdepan beberapa kesukaran untuk meningkatkan prestasi masing-masing disebabkan faktor kerumitan dalam rantaian bekalan halal.
Bagaimanapun, hakikatnya bahawa industri makanan halal akan membuka banyak peluang ekonomi lebih besar dalam kalangan masyarakat Malaysia. Justeru, perlaksanaan permohonan persijilan halal seharusnya tidak hanya terhad kepada premis makanan di dalam pusat beli-belah sahaja, malah perlu disebar luas ke kawasan tarikan pengguna lain.
Ini termasuk perniagaan dalam ekonomi gig seperti penghantaran makanan, termasuk yang bersifat homebase atau dari warung dan kedai di tepi jalan. Ini bagi memudahkan semua pengguna, khususnya di Malaysia mendapatkan makanan halal yang lebih diyakini.
Selain itu, kerjasama semua pihak sama ada kerajaan, agensi dan masyarakat perlu memainkan peranan penting untuk memastikan perlaksanaan permohonan persijilan halal ini dilakukan di setiap premis dan perniagaan, terutama perniagaan berasaskan makanan.
Ini kerana, kejayaan bagi memastikan perlaksanaan permohonan persijilan halal secara menyeluruh dalam industri makanan akan memastikan kesucian makanan yang ambil oleh umat Islam di Malaysia adalah sentiasa terjaga.
Industri yang terlibat dalam penghantaran makanan seperti Grab, Pandafood, Lalamove juga seharusnya menggalakkan peniaga makanan mendaftar sebagai vendor dan memastikan peniaga mendapatkan sijilan halal agar dapat meningkatkan keyakinan pengguna, khususnya pelanggan beragama Islam.
Oleh itu, dapat dirumuskan bahawa pelaksanaan permohonan sijil halal bagi peniaga makanan di Malaysia akan meningkatkan lagi potensi sesebuah entiti dan industri yang terlibat untuk memperluaskan sumber penjanaan pendapatan mereka sama ada dalam atau di luar negara, disamping mampu meningkatkan tahap kesejahteraan penghidupan dan ekonomi masyarakat.
Secara hakikatnya, kita tidak akan mampu untuk mendesak keseluruhan peniaga makanan untuk terlibat dalam permohonan persijilan halal kerana sesungguhnya kita cukup sedar bahawa populasi masyarakat di Malaysia adalah terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
Namun, status makanan halal adalah cukup terkait rapat dengan umat Islam. Maka amat penting untuk umat Islam menjadi pengguna yang lebih bijak dalam memilih sumber makanan, kerana ia akan menjadi darah daging.
Sebagai pengguna muslim bijak, kita perlu memilih premis makanan yang memiliki persijilan halal sah, serta diuruskan oleh golongan muslim. Jangan pernah kita terikut-ikut dengan pempengaruh yang tular di media sosial dalam mengiklankan premis makanan tanpa mengambil kira status halal makanan tersebut.
PENULIS DR. NURUL ASHIKIN ALIAS, Felo Penyedik di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC).
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.