fb fb fb fb fb

Kepala air: Sistem pemantauan, amaran awal elak korban nyawa

FOTO HIASAN

SAUDARA PENGARANG

Kepala air merupakan fenomena semula jadi yang berlaku apabila hujan turun dengan lebat dan berterusan di kawasan hulu sungai menyebabkan peningkatan paras dan halaju aliran air sungai secara mendadak.

Sungai di kawasan hulu mempunyai ciri aliran, topografi dan geomorfologi berbeza berbanding sungai di kawasan hilir. Ia biasanya mempunyai aliran deras kerana dasarnya sempit berbentuk V atau alur yang dalam disebabkan oleh jurang atau lembah yang dipenuhi batu besar dan kecil serta melalui tebing curam, berbukit atau gunung.

Sungai di kawasan hulu juga mempunyai air terjun atau jeram yang mempunyai perbezaan ketinggian yang ketara dan ini meningkatkan arus aliran sungai. Selain itu, sebarang pembangunan atau gangguan tanah di hulu sungai akan meningkatkan risiko kepala air yang membawa bersama batu, kayu dan sarap hutan ke hilir sungai.

Fenomena ini berbahaya kerana ia berlaku secara tiba-tiba, tanpa amaran dan boleh mengancam nyawa.

Seperti contoh, kejadian kepala air yang berlaku secara tiba-tiba di Air Terjun Chamang, Bentong, Pahang pada tahun 2021 bersama batu dan kayu telah menghanyutkan beberapa pengunjung yang sedang mandi dan berehat di kawasan air terjun, mengorbankan sekurang-kurangnya dua nyawa.

Begitu juga dengan Tragedi Sungai Kerling, Hulu Selangor pada tahun 2020 yang mengorbankan lima nyawa disebabkan operasi menyelamat menjadi sukar kerana arus sungai mengalir bersama sarap dan batuan dari kawasan hulu.

Hujan di Malaysia yang sangat bervariasi secara spatial menyebabkan fenomena ini tidak dapat dijangka lebih awal. Insiden kepala air di Jeram Mawar, Kota Tinggi, Johor pada tahun 2022 berlaku dalam cuaca yang baik tetapi hujan lebat di kawasan hulu mengorbankan dua nyawa.

Antara strategi utama kawasan berisiko ialah melalui pembangunan sistem amaran awal melalui pemasangan tolok hujan, sensor paras air atau aliran air di bahagian hulu sungai untuk memantau hujan, paras air sungai secara "real-time" dan berterusan.

Menurut garis panduan World Meteorologi Organization (WMO), satu stesen tolok hujan perlu digunakan dan dapat mewakili kawasan tadahan seluas 15 kilometer (km) radius bergantung kepada keadaan topografi dan jenis hujan. Tempoh masa diambil untuk hujan menghasilkan air larian dan masa tiba di kawasan tumpuan pengunjung boleh diramal dengan adanya data hujan dan paras air sungai ini.

Pusat kawalan yang mengumpul dan menganalisa data dengan menggunakan teknologi Internet of Thing (IoT) untuk menentukan potensi fenomena kepala air boleh ditubuhkan.

Sensor ini perlu dihubungkan terus dengan siren yang berbunyi secara automatik sekiranya melepasi paras tertentu. Siren ini berperanan sebagai amaran awal untuk makluman semua pengunjung supaya segera beredar dari kawasan sungai dan tebing ke kawasan lebih selamat yang telah dikenalpasti.

Melalui data hujan dan paras air ini juga, tempoh evakuasi selamat oleh pengunjung juga boleh ditentukan seterusnya makluman awal boleh dibuat.

Tolok paras air sungai dan papan tanda amaran dengan penerangan pelan tindakan dan evakuasi perlu dipasang untuk pengetahuan pengunjung. Sekiranya risiko fenomena kepala air tinggi seperti pada musim Monsun Timur Laut atau hujan lebat, kawasan hutan lipur dan rekreasi lain boleh juga ditutup untuk sementara waktu untuk mengelakkan kejadian tidak diingini.

Di Malaysia, sistem amaran banjir automatik di kawasan berisiko tinggi banjir telah dibangunkan dan amaran awal diberikan melalui laman sesawang. Siren juga dibunyikan sekiranya paras air sungai melepasi tahap tertentu. Ini boleh diperluas dan diperhalusi untuk fenomena kepala air di kawasan air terjun, hutan lipur dan kawasan perkelahan di tepi sungai.

Sistem pemantauan dan amaran awal di bahagian hulu sungai boleh juga dijadikan panduan dan amaran awal untuk persediaan banjir di bahagian hilir sungai.

Tuntasnya, mitigasi kepala air memerlukan pendekatan komprehensif seperti pemantauan hujan dan paras air di bahagian hulu sungai secara "real-time" dan berterusan serta melalui sistem amaran awal terutamanya di Sungai Gasi, Selangor dan Air Terjun Lata Iskandar, Perak yang telah meragut nyawa berulang kali.

Dengan melaksanakan strategi ini, risiko dan kesan kepala air boleh dikurangkan secara signifikan terutamanya mengelakkan korban nyawa, harta benda dan alam sekitar.

PENULIS DR SITI NURHIDAYU ABU BAKAR, Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Perhutanan dan Biodiversiti, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau boleh dihubungi menerusi e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.

SITI AISHAH MD ISA