SAUDARA PENGARANG
Salah satu kekeliruan yang sering muncul dalam kalangan masyarakat ialah tanggapan kesemua entiti perniagaan yang menggunakan nama Islam mematuhi prinsip ekonomi Islam yang sebenar.
Salah faham sebegini menekankan peri kepentingan pemahaman yang sebenar mengenai konsep asas ekonomi Islam, terutama sekali demi membezakan antara perniagaan yang benar-benar berlandaskan nilai-nilai Islam dan perniagaan yang sekadar ‘menunggang’ agama untuk kepentingan komersial.
Ekonomi Islam merupakan sistem yang mengimbangi di antara keperluan kebendaan dan keperluan rohani, berteraskan prinsip-prinsip yang digariskan dalam al Quran dan Hadis.
Dalam konteks ini, akidah dan ekonomi tidak boleh dipisahkan sama sekali. Setiap aspek ekonomi Islam yang berakar umbikan kepercayaan agama bakal menatijahkan keadilan, kesejahteraan sosial, dan kesaksamaan.
Justeru, dalam sistem ekonomi Islam, setiap individu mestilah memiliki harta melalui cara yang halal, bebas daripada riba, penipuan, rasuah dan terutama sekali, eksploitasi.
Prinsip asas dalam ekonomi Islam adalah larangan riba dan penekanan kepada keadilan. Ekonomi Islam menekankan bahawa setiap umat Islam harus menjalankan urus niaga dengan telus dan menepati syariah.
Eksploitasi, sama ada dalam konteks buruh, kewangan, atau perdagangan adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Malah, Islam menolak sistem perhambaan kerana sistem sebegini merupakan satu bentuk eksploitasi manusia.
Apabila ekonomi Islam ditegakkan, hak setiap individu dalam masyarakat, sama ada dewasa atau kanak-kanak, mestilah didukung dengan adil. Sebagai contoh, seorang anak yang dipisahkan daripada keluarganya atau dinafikan hak pendidikan mereka demi menjalankan perniagaan telah pun melanggar prinsip keadilan yang menjadi batu asas dalam ekonomi Islam.
Ekonomi Islam menitikberatkan konsep keadilan sejagat. Setiap manusia, tanpa mengira agama, bangsa, status ekonomi atau latar belakang, mempunyai hak-hak tertentu yang perlu dipenuhi secara saksama.
Zakat di Malaysia bukan hanya bermanfaat kepada umat Islam, tetapi juga memberi kesan positif kepada keseluruhan masyarakat. Melalui bantuan kewangan kepada golongan miskin, termasuk asnaf, zakat membantu mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan daya beli, yang turut merangsang ekonomi tempatan.
Sebagai contoh, pada tahun 2023, Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan RM1.15 bilion kepada lebih daripada 350,000 penerima zakat, termasuk 65,000 keluarga miskin.
Ini adalah contoh nyata bagaimana zakat, sebagai salah satu rukun Islam, dapat mengurangkan tekanan ke atas sistem kebajikan negara.
Selain itu, zakat dapat memupuk perpaduan sosial dan meningkatkan kesejahteraan bersama seluruh masyarakat, menjadikannya sebagai instrumen pembangunan sosioekonomi yang inklusif dan mengurangkan kesenjangan ekonomi.
Dalam Islam, mentaati pemerintah adalah satu kewajipan selagi mana pemerintah tidak mengerah rakyat untuk melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran agama. Ini termasuklah dalam aspek ekonomi seperti pembayaran zakat.
Majlis agama Islam negeri-negeri memainkan peranan penting dalam menguruskan pengumpulan dan pengagihan zakat kepada para asnaf. Dalam konteks ini, apabila pihak berkuasa agama meminta rakyat untuk membayar zakat melalui amil atau pusat zakat yang sah, ini juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial umat Islam.
Namun, isu kepatuhan ini bukan hanya melibatkan individu. Malahan, perniagaan juga mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan zakat melalui zakat perniagaan.
Terdapat kes di mana perniagaan yang kelihatan berjaya tidak mempunyai rekod pembayaran zakat perniagaan. Perlakuan ini bukan sahaja bertentangan dengan prinsip ekonomi Islam, tetapi juga mencerminkan kegagalan untuk memenuhi tanggungjawab sosial yang diamanahkan oleh agama Islam.
Salah satu kelebihan utama ekonomi Islam adalah keanjalannya. Walaupun berlandaskan prinsip-prinsip syariah, Islam membenarkan umatnya untuk bermuamalat dengan sesiapa sahaja, termasuk individu bukan Islam, selagi mana transaksi tersebut tidak melibatkan unsur yang diharamkan seperti riba atau penipuan. Ini penting dalam konteks ekonomi Malaysia, di mana terdapat interaksi yang luas di antara perniagaan orang Islam dan bukan Islam.
Sebagai contoh, industri halal di Malaysia tidak hanya menyantuni masyarakat Islam, tetapi juga mendapat sokongan daripada pengguna bukan Muslim di seluruh dunia. Produk halal, yang terkenal dengan kualiti, kebersihan, dan ketelusan dalam proses pengeluarannya, semakin mendapat tempat di pasaran global, termasuk negara-negara seperti Jepun dan Korea Selatan. Dalam konteks ini, prinsip keadilan dan ketelusan yang diutamakan oleh ekonomi Islam diterima dengan baik oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Walaupun terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi oleh usahawan Muslim di Malaysia, termasuk dalam sektor kecil dan sederhana, mereka masih mampu mengekalkan integriti dan kejayaan dengan menekuni prinsip-prinsip ekonomi Islam. Keanjalan dalam ekonomi Islam membolehkan umat Islam membuat keputusan yang bijak dalam urusan perniagaan, sambil memastikan setiap tindakan yang diambil sentiasa memelihara kepentingan agama.
Perniagaan orang Islam yang patuh syariah terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Mereka bukan sahaja membayar zakat, tetapi juga terlibat dalam pelbagai usaha untuk mempromosikan amalan perniagaan yang adil dan beretika.
Masa depan ekonomi Islam di Malaysia bergantung kepada usaha untuk memperkukuh pendidikan dan kesedaran mengenai prinsip-prinsip asasnya. Walaupun terdapat peningkatan dalam kutipan zakat dan wakaf, lebih banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan bahawa masyarakat, terutamanya generasi muda dan usahawan, memahami bagaimana untuk menerapkan prinsip-prinsip ini dalam kehidupan harian mereka.
Program pendidikan kewangan Islam yang lebih mendalam perlu diperkenalkan melalui penekanan kepada cara mengelakkan eksploitasi dan memanfaatkan sistem perkongsian risiko seperti mudarabah dan musyarakah. Dengan pendidikan yang betul, umat Islam dapat memastikan bahawa ekonomi mereka berkembang dengan cara yang adil dan selaras dengan syariah.
Ekonomi Islam menawarkan satu kerangka yang berteraskan keadilan, kesejahteraan sosial, dan integriti. Walaupun terdapat pihak yang menyalahgunakan nama Islam untuk tujuan peribadi atau komersial, prinsip-prinsip ekonomi Islam yang sahih bakal terus menunjangi pembinaan masyarakat yang adil dan seimbang.
Melalui pemahaman yang mendalam dan pelaksanaan yang betul, ekonomi Islam mampu memberi manfaat bukan sahaja kepada umat Islam, tetapi juga kepada seluruh masyarakat, tanpa mengira agama atau latar belakang.
PENULIS MUHAMAD FAISAL BAHARI, Pensyarah di Fakulti Pengurusan dan Teknologi Maklumat, Universiti Sultan Azlan Shah dan DR MOHD ZAIDI MD ZABRI, Felo Penyelidik Kanan di Jabatan Ekonomi Islam, Pusat Pengurusan Penyelidikan ISRA, INCEIF University.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.