SAUDARA PENGARANG
Cadangan umur persaraan daripada 60 kepada 65 yang telah dikemukakan oleh Bank Dunia sejak 2020 menjadi perdebatan hangat kalangan pelbagai pihak dalam banyak paparan media sosial.
Cadangan itu adalah ekoran status Malaysia sebagai negara mempunyai masyarakat berusia atau negara menua, berdasarkan takrifan konvensyen antarabangsa, iaitu 7 peratus atau lebih penduduk berusia 65 tahun dan ke atas.
Berdasarkan bancian penduduk dalam tempoh 10 tahun bermula dari 2010 hingga 2020, fenomena penuaan meningkat kepada 6.8 peratus iaitu lebih cepat berbanding lima peratus untuk tempoh sebelumnya.
Peratusan ini meningkat pada 2022, kira-kira 11.1 peratus atau 3.6 juta penduduk Malaysia melebihi usia 60 tahun. Menurut unjuran Jabatan Statistik Malaysia (JSM), pada 2030 kira-kira 15.3 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia berusia melebihi 60.
Peningkatan peratusan kelompok berusia 65 tahun ke atas itu bakal menjadikan Malaysia negara tua menjelang 2030.
Penuaan penduduk adalah trend global masa kini yang berlaku disebabkan peningkatan jangka hayat dan penurunan kadar kesuburan. Laporan JSM menunjukkan peratusan penduduk dikategorikan sebagai warga emas berumur melebihi 65 tahun meningkat kepada 7.3 peratus pada 2022 berbanding 7.0 peratus pada 2021 daripada keseluruhan populasi Malaysia.
Dengan peningkatan jangka hayat, mereka yang berumur 60 ke atas masih mampu menyumbang secara produktif ke arah ekonomi dengan terus bekerja.
Peralihan struktur demografi berlaku berikutan jumlah pekerja pada umur yang produktif di antara 20 hingga 40 tahun akan berkurangan. Fenomena negara menua adalah ekoran jangka hayat yang lebih panjang. Dalam pada masa yang sama, tren kesuburan yang rendah kerana tren berkahwin pada usia lewat kerana ingin mempunyai kerjaya yang stabil terlebih dahulu.
Kekurangan jumlah penduduk memberi kesan kepada pengurangan dalam jumlah pengeluaran bagi subindustri berasaskan intensif buruh. Akibatnya, berlaku kekangan dalam pengeluaran, seterusnya menyumbang kepada kebarangkalian tekanan kenaikan harga barang pada masa akan datang.
Dalam tempoh 20 tahun sehingga kini, Malaysia pernah melalui proses kaji semula had umur persaraan pada usia lanjut sebanyak tiga kali dengan pelbagai perdebatan dan polemik dilangsungkan; akhirnya ia berjalan lancar dan diterima baik oleh pelbagai lapisan pekerja demi kelangsungan kehidupan, ekonomi kendiri dan kesejahteraan kesihatan.
Perubahan pertama tempoh persaraan telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan pada tahun 2001, iaitu umur persaraan kakitangan awam dilanjutkan daripada usia 55 tahun ke 56 tahun.
Tujuh tahun selepas itu pada tahun 2008, perubahan kali kedua had usia persaraan telah dilanjutkan daripada usia 56 tahun ke 58 tahun. Seterusnya, perubahan persaraan kali ketiga, empat tahun selepas itu telah diumumkan pada tahun 2012 iaitu had umur persaraan dilanjutkan pula daripada usia 58 tahun ke 60 tahun.
Setelah lebih 10 tahun berlalu, timbul pula persoalan yang bermain dalam pemikiran rakyat sekarang iaitu apakah tahap kecenderungan penerimaan cadangan peningkatan had umur persaraan dari 60 ke 65 tahun? Mengapa 65? Kenapa bukan 62 atau 63?
Jika kita lihat peningkatan usia persaraan dari umur 56 ke 60 tahun memakan masa 11 tahun, iaitu dari tahun 2001 hingga 2012. Dalam tempoh lebih 10 tahun dari tahun 2012 sehingga kini tahun 2023 had umur persaraan tidak berubah, adakah rasional untuk meningkat umur persaraan pada julat sama?
Tambahan pula, situasi 20 tahun dulu tidak sama seperti sekarang. Dahulu semasa had umur persaraan dipinda, tiada pengeluaran KWSP sebagaimana yang dilakukan semasa COVID-19. Kebenaran bagi pengeluaran KWSP sudah diberikan sebanyak empat kali ketika pandemik, dan kebanyakan pencarum yang membuat pengeluaran adalah berumur di antara 26 hingga 40 tahun.
Ini tidak termasuk beberapa jenis pengeluaran lain yang dibenarkan sebelum umur persaraan. Berikutan itu, seramai 6.7 juta atau 51.5 peratus pencarum bawah 55 tahun kini mempunyai simpanan RM10,000 dan ke bawah.
Dengan simpanan RM10,000 dan ke bawah, berapa lamakah kelangsungan hidup akan bertahan selepas bersara? Jumlah simpanan ini jauh lebih rendah daripada paras simpanan ideal selepas bersara iaitu RM600,000.
Menurut data dilaporkan KWSP pada awal tahun ini, kira-kira 97 peratus pencarum KWSP berusia 55 tahun dan ke bawah tidak mempunyai paras simpanan ideal untuk bersara dengan selesa di bandar utama untuk menampung kehidupan 20 tahun selepas bersara, iaitu kira-kira RM2,500 sebulan. Jika tidak dinaikkan umur persaraan, adakah kita perlu bersedia jika had caruman dinaikkan?
Walau pun had umur persaraan semasa adalah 60 tahun, namun berdasarkan data daripada JSM, sebanyak 167,100 orang yang berumur 60 hingga 64 tahun yang masih bekerja atau 2.39 peratus daripada 7,000,200 jumlah pekerja pada tahun 1990.
Jumlah ini meningkat kepada 214,500 dan 248,000 orang berumur 60 ke 64 tahun yang masih bekerja pada 2000 dan 2010, masing-masing. Jumlah ini meningkat lagi kepada 488,200 pada tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 71.9 peratus berbanding tahun 2010.
Kebanyakan pekerja berusia 60 ke atas masih meneruskan pekerjaan untuk meraih sumber pendapatan bagi menampung kehidupan seterusnya.
Tanggungan selepas bersara
Berdasarkan kajian rintis saya di Universiti Malaya (UM) bersama rakan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Institut Maklumat & Analisis Pasaran Buruh (ILMIA), dapatan kajian kami menunjukkan pada umur usia persaraan 60 tahun, sebanyak 74% mempunyai anak yang masih berumur bawah 30 tahun ketika usia mereka 60 tahun.
Ini bermakna, semasa usia persaraan, mereka masih menanggung anak yang sedang belajar, atau anak yang masih belum stabil dalam kerjaya pada umur 20-an. Hanya 26 peratus mempunyai anak sulung berusia 30 tahun dan lebih yang mana mereka lebih matang untuk menjaga ibu bapa mereka.
Ini adalah berikutan tren kahwin lewat dan mempunyai anak pada usia yang agak lewat memandangkan tren kesuburan yang semakin menurun.
Maka adalah perlu untuk mereka terus bekerja memandangkan wang simpanan persaraan bukan sahaja untuk menampung keperluan seseorang individu bahkan juga anak yang masih ditanggung pada usia persaraan.
Jika mempunyai anak yang sudah bekerja, bukan semua anak mampu memberikan wang sumbangan kepada ibu bapa dengan jumlah yang mencukupi secara konsisten di tengah-tengah keadaan ekonomi yang semakin mencabar.
Manfaat individu dan negara
Dengan perlanjutan had umur persaraan, tidak dinafikan jumlah kos operasi akan meningkat untuk membayar sejumlah gaji kepada pekerja untuk jangka masa lebih lama. Namun, pembayaran gaji untuk aktiviti yang lebih produktif adalah menjadi suatu pulangan yang lebih baik berbanding pembayaran persaraan tanpa aktiviti yang produktif. Tambahan pula, jumlah pekerja sebagai pembayar cukai dapat distabilkan.
Ke arah pengurangan fiskal defisit, kerajaan perlu meningkatkan jumlah hasil melalui kutipan cukai pendapatan. Dengan peningkatan kos operasi ekoran peningkatan gaji minimum penjawat awam yang sedang diperhalusi ketika ini, maka pihak kerajaan memerlukan sumber hasil lebih kukuh selain daripada membuat pinjaman untuk menanggung kos operasi.
Perlanjutan usia persaraan akan dapat meningkatkan produktiviti negara. Jika mereka telah bersara pada usia 60 tahun, kerajaan tetap memberikan sumbangan wang persaraan walaupun pesara tersebut tidak melakukan sumbangan produktif kepada ekonomi negara.
Menurut JSM, jangka hayat meningkat sehingga 75.6 tahun bagi bayi yang lahir pada tahun 2021 atau 12 tahun lebih lama berbanding lima dekad yang lalu. Namun, kadar kesuburan di Malaysia menunjukkan trend penurunan. Umur persaraan yang awal akan menyebabkan golongan yang bekerja sebagai pembayar cukai adalah kurang daripada golongan pesara yang menerima manfaat dari cukai.
Ada pihak yang berpandangan bahawa skim gaji perlu dinaikkan dan bukan tempoh persaraan. Jika gaji dinaikkan tetapi bersara lebih awal, simpanan dari gaji tersebut tidak bertahan lama bagi seseorang individu. Namun jika tempoh persaraan dilanjutkan, mereka dapat menikmati gaji penuh di samping membuat simpanan untuk tempoh lebih lama.
Manfaat untuk pembelian aset
Dari sudut pandang lain, golongan pekerja muda sekitar umur 20-an kebiasaannya sukar untuk membeli rumah pertama yang selesa. Mereka terpaksa menunggu beberapa tahun dengan kenaikan gaji tahunan serta kenaikan pangkat untuk mencapai tingkat gaji yang diingini bagi melayakkan mereka membeli rumah diidamkan.
Dalam pada masa mereka membuat simpanan untuk penyediaan wang pendahuluan serta meningkatkan gaji bagi membuat pinjaman perumahan, harga rumah juga semakin naik. Tempoh maksima pembayaran balik pinjaman perumahan adalah 35 tahun.
Sekiranya had umur persaraan pada 60 tahun dikekalkan, mereka harus membeli rumah seawal 25 tahun, sedangkan pada ketika itu, jumlah gaji masih tidak mencukupi untuk membeli rumah yang selesa.
Jika mereka membeli rumah pada usia 35 tahun di mana mereka pekerjaan yang stabil dan gaji mereka telah layak untuk membeli rumah yang selesa, namun mereka hanya mempunyai 25 tahun lagi dalam tempoh perkhidmatan untuk membayar balik pinjaman perumahan dengan kadar ansuran bulanan yang tinggi.
Maka untuk mengurangkan kadar ansuran bulanan, mereka harus membayar wang pendahuluan yang tinggi untuk mengurangkan jumlah ansuran bulanan pada tempoh yang lebih singkat.
Inilah dilema pembelian rumah golongan pekerja muda. Wang simpanan persaraan akan habis dengan cepat sekiranya mereka terus membayar ansuran bulanan pinjaman perumahan pada usia persaraan 60 tahun. Dengan perlanjutan had usia persaraan pada usia 65 tahun, maka tempoh bayaran balik dapat dipanjangkan dan ansuran bulanan dapat dikurangkan.
Manfaat intergenasi
Golongan pekerja muda perlu mengambil peluang untuk menuntut ilmu dan kemahiran daripada pekerja berusia semasa dalam tempoh perkhidmatan. Manakala golongan pekerja berusia perlu mengajar dan menurunkan ilmu dan kepakaran yang ada kepada golongan pekerja muda yang mempunyai masa yang lebih lama dalam perkhidmatan.
Justeru peningkatan umur persaraan, diharapkan had umur maksimum untuk memasuki alam pekerjaan juga dapat ditingkatkan. Sebagai contoh, orang yang sudah berumur 40 tahun yang sebelum ini menjadi suri rumah, dan kemudiannya berhasrat untuk bekerja. Maka dia mempunyai masa 25 tahun lagi untuk berkhidmat.
Peningkatan had umur persaraan bukan sahaja memberi kebaikan untuk orang yang kurang 5 tahun akan bersara, tetapi juga untuk orang yang akan masuk ke alam pekerjaan dan orang yang sedang bekerja.
Mengatasi kekurangan tenaga kerja mahir dan berpengalaman
Pihak majikan akan mendapat kebaikan dengan mengekalkan golongan berpengalaman untuk bekerja kerana manfaat yang diperoleh daripada tenaga kerja golongan ini dapat diakses untuk jangka masa lebih lama. Tambahan pula, dengan kemudahan teknologi sedia ada akan dapat memudahkan lagi golongan ini untuk terus bekerja.
Majikan juga tidak mempunyai masalah kekurangan tenaga kerja, bahkan mempunyai tempoh masa yang memadai untuk melatih atau menurunkan ilmu kepada pekerja-pekerja baharu.
Setiap organisasi memerlukan pelapis untuk menggantikan pekerja berusia. Pekerja berpengalaman mempunyai masa mencukupi untuk melatih pekerja-pekerja muda sementara mereka masih dalam tempoh perkhidmatan.
Generasi muda adalah berbeza pendedahannya berbanding generasi veteran. Generasi muda mempunyai kelebihan lain yang lebih terdedah kepada penggunaan teknologi terkini, sistem aplikasi, automosi, dan robotik.
Maka dengan ini kita tidak perlu bimbang dengan anggapan generasi muda akan hilang pekerjaan. Malahan hubungan antara golongan pada usia persaraan dan golongan muda perlu diharmonikan dalam sektor pekerjaan.
Dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, kita memerlukan lebih ramai pekerja berkemahiran tidak kira pelbagai umur. Namun jika dilihat tren golongan muda sekarang, hampir 50 peratus pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia sesi persekolahan 2021 tidak mahu menyambung pengajian ke universiti. Maka kita bakal menghadapi kekurangan tenaga mahir dalam kalangan golongan muda.
Dengan peningkatan had umur persaraan pilihan di kalangan pekerja berkemahiran, diharapkan mereka dapat mengadakan sesi mentor-mentee untuk melatih pekerja sedia ada untuk menjadi lebih mahir.
Pekerjaan yang sesuai
Kebanyakan pekerja yang berumur 60 tahun dan ke atas bekerja untuk tugasan yang menuntut tugasan fizikal minimum. Bagi mereka yang berkemahiran tinggi, mereka akan cenderung untuk bekerja bagi tugasan yang menuntut sumbangan buah fikiran, idea, kepakaran, kemahiran yang mereka kuasai, serta daya mentadbir dan mengurus.
Bagi mereka yang berkemahiran sederhana dan rendah, tuntutan kerja biasanya lebih kepada fizikal. Hal ini menyebabkan mereka tidak dapat menyumbang secara optimum ketika usia persaraan. Maka majikan perlu merancang bentuk pekerjaan untuk pekerja 10 tahun sebelum mereka bersara.
Misalnya, untuk mereka yang berumur 55 tahun, mereka diberikan pekerjaan yang memerlukan daya pemikiran, dan bukannya tenaga fizikal. Maka tingkat prestasi dan produktiviti kerja perlu dicapai mengikut kesesuaian peringkat umur pekerja.
Bakal pesara kebanyakannya sudah mengalami peningkatan dalam tahap jawatan yang lebih tinggi mengikut senioriti, di mana mereka tidak akan menyandang jawatan masa ketika pada awal memasuki alam pekerjaan.
Ada yang mengalami kenaikan pangkat dalam tempoh bekerja kepada bentuk pengurusan dan pentadbiran. Sebagai contoh, semasa masuk mula bekerja sebagai pengawal keselamatan, apabila makin berusia, dia sepatutnya boleh menyandang jawatan sebagai pengurus atau penyelia di mana tugasnya menyelia dan memantau, dan bukan lagi melakukan kerja-kerja yang memerlukan tuntutan fizikal yang tinggi.
Maka majikan perlu merancang bentuk kerja yang sesuai bagi pekerja berumur 60 tahun dan ke atas mengikut tahap keupayaan pekerja. Golongan warga emas juga tidak sepatutnya didiskriminasi dalam apa jua cara sekali pun sekiranya mereka masih mahu berada dalam industri pekerjaan.
Pengambilan pekerja berusia
Pengambilan pekerja berusia adalah mengikut keperluan syarikat serta keupayaan pekerja tersebut. Majikan tidak akan memberi keutamaan untuk mengambil pekerja pada usia persaraan sekiranya pekerja tersebut tidak memberikan nilai tambah kepada organisasi.
Kos buruh akan meningkat kerana bayaran gaji yang lebih tinggi berikutan kepakaran dan pengalaman mereka. Namun, kos buruh ini dapat dikawal sekiranya mereka bekerja mengikut tempoh masa tertentu dan tidak terikat dengan waktu bekerja.
Misalnya mengambil golongan ini untuk bekerja secara kontrak atau gig. Kebanyakan pekerja berusia suka bekerja secara fleksibel tanpa terikat dengan pelbagai peraturan di tempat kerja. Dalam erti kata lain, majikan boleh menyediakan emolumen mengikut tugasan yang telah dilaksanakan untuk mengurangkan kos buruh.
Kebanyakan orang percaya bahawa kesejahteraan akan meningkat pada usia bersara terutamanya pekerja yang mengalami masalah kesihatan berkaitan pekerjaan.
Sama ada umur 65 tahun itu sesuai atau tidak untuk bersara ianya bergantung kepada tahap kesejahteraan seseorang dan kemampuan untuk bekerja. Ini termasuklah dengan mengambilkira faktor kesihatan, tahap psikososial, dan kognitif seperti daya ingatan dan ketepatan. Faktor-faktor ini bukan hanya untuk diambil kira di Malaysia, malah di seluruh dunia.
Berdasarkan hasil kajian saya di UM bersama pensyarah UKM dengan menggunakan data Kaji Selidik Penuaan dan Persaraan Malaysia (MARS) di bawah Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) daripada 5,277 orang responden, kebanyakan orang yang masih bekerja pada umur 60-65 memilih untuk bekerja melebihi 3 tahun lagi dan majoritinya adalah orang lelaki. Selain itu, pekerja berkemahiran tinggi iaitu 92.3% berbanding berkemahiran rendah 68%.
Ini bermakna golongan yang berumur 60-65 tahun mempunyai keinginan yang tinggi untuk terus berkhidmat berbanding berkemahiran sederhana dan rendah, selain faktor gaji dan tuntutan kerja fizikal yang minimum menjadi pendorong untuk terus bekerja. Golongan berumur 60-69 tahun adalah golongan majoriti mempunyai kesihatan yang baik.
Justeru, sekiranya pihak kerajaan dan swasta ingin menyarankan agar umur persaraan dilanjutkan, maka pemeriksaan kesihatan secara berjadual adalah perlu. Selepas umur 55 tahun, tahap keupayaan fizikal semakin menurun.
Untuk meningkatkan umur persaraan ke umur 65 tahun, pihak majikan perlu merancang jenis tugas yang akan diberikan. Mereka perlu diberikan tugas yang ringan dengan meminimumkan tuntutan tugasan yang memerlukan aktiviti fizikal, tetapi lebih kepada tugasan yang berbentuk intelektual atau daya pemikiran.
Walau pun terdapat beberapa pandangan yang melihat persaraan akan meningkatkan kesejahteraan kerana mempunyai lebih banyak masa untuk peribadi dan keluarga, namun dalam kajian kami, jika dilihat dari segi kesejahteraan sosial, golongan yang berumur 60-65 tahun yang bekerja mempunyai kesejahteraan 5.6% lebih tinggi berbanding yang tidak bekerja dari segi kesihatan, psikososial, dan daya berfikir.
Menurut kajian kami, orang yang berumur 60 tahun ke atas yang masih bekerja mempunyai 3.9 peratus daya pemikiran lebih baik berbanding orang yang tidak bekerja. Menariknya, orang yang berumur 60 tahun ke atas yang masih bekerja 11.9 peratus lebih baik tahap kesihatan mereka berbanding orang yang tidak bekerja bagi kategori umur sama.
Biar mereka memilih
Maka dengan itu, pilihan umur bersara sama ada 60 atau 65 tahun biarlah atas hak individu kerana mereka sendiri tahu kemampuan dan tahap kesejahteraan mereka. Majikan boleh mengambil semula pesara untuk bekerja mengikut keperluan tugas dan juga pewarisan kemahiran kepada generasi muda.
Majikan tidak akan memberi keutamaan untuk mengambil pekerja pada usia persaraan sekiranya pekerja tersebut tidak memberikan nilai tambah kepada organisasi. Maka had umur persaraan secara pilihan adalah suatu yang baik dengan memberikan fleksibiliti kepada pekerja mengikut keperluan, kemampuan, motivasi untuk bekerja, dan matlamat bekerja.
Meletakkan hak kepada pekerja untuk menentukan had umur persaraan adalah suatu saranan yang bijak kerana pekerja dapat menilai sendiri kemampuan dan tahap kesihatan serta kemahiran yang dapat disumbangkan kepada sektor pekerjaan mengikut kerelaan tanpa menjejaskan kesejahteraan sosial masing-masing.
Fleksibiliti pemilihan ini adalah penting kerana kemampuan dan tahap kesihatan seseorang individu itu adalah berbeza. Maka ruang dan peluang untuk bekerja lebih lama adalah perlu.
Orang yang berumur 60 tahun adalah golongan yang sudah matang dan mempunyai banyak pelarasan yang telah dibuat dalam kehidupan. Ada yang melihat pekerjaan itu sebagai ibadah, sesuatu yang menyeronokkan kerana dapat melakukan aktiviti sosial, menyumbang bakti kepada agama, bangsa dan negara selain mendapat gaji.
Ada yang melihat bekerja adalah suatu yang menyeksakan, menyusahkan dan membebankan berdasarkan pengalaman dan motivasi bekerja. Maka dengan adanya ruang untuk memilih had umur persaraan, mereka dapat merancang apa yang terbaik untuk masa depan mereka.
Kesimpulanya, rasional umur persaraan adalah untuk semua. Kita perlu melihat masa depan rakyat dari pelbagai tahap umur dan berhadapan dengan realiti. Manfaatnya bukan sahaja kepada bakal pesara, tetapi juga bagi pekerja muda yang mempunyai tempoh bekerja yang lebih lama.
Justeru, mereka boleh merancang untuk mencapai tahap pencapaian kerjaya yang diinginkan sebelum bersara. Ini kerana jumlah wang persaraan adalah berdasarkan pengiraan dari gaji terakhir pesara semasa berkhidmat.
Impak negara menua merentasi pelbagai sektor dan bukan hanya tertumpu kepada penjagaan serta kebajikan warga emas sahaja sebaliknya merangkumi aspek cabaran dalam kesihatan, pendidikan, kewangan, produktiviti dan guna tenaga buruh selain penggunaan teknologi yang akan menentukan pertumbuhan ekonomi jangka panjang yang mampan.
PENULIS DR. ELYA NABILA ABDUL BAHRI merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.