fb fb fb fb fb

Perikanan darat: Jantung keselamatan makanan dan kesejahteraan komuniti

Foto hiasan/Arkib Bernama

SAUDARA PENGARANG 

Sektor perikanan secara amnya amat penting di seluruh dunia. Negara-negara Asia seperti Jepun, Thailand dan China mendominasi sektor ini. China merupakan peneraju global dalam pengeluaran perikanan tangkapan dan akuakultur, manakala Jepun serta Thailand mempunyai kelebihan dan pendekatan tersendiri mengikut kekuatan serta tradisi masing-masing.

Terdapat beberapa jenis perikanan, iaitu perikanan pinggir pantai, laut dalam, akuakultur, dan perikanan darat. Perikanan darat merangkumi aktiviti menangkap ikan dan hidupan air yang dilakukan di perairan darat seperti sungai, tasik, danau, rawa, dan tanah lembap. Akuakultur yang dijalankan di atas darat—contohnya melalui kolam ternakan atau sistem tangki—juga boleh dikategorikan sebagai perikanan darat.

Secara keseluruhan, sektor perikanan Malaysia telah merekodkan pengeluaran sebanyak 1.3 juta tan metrik pada tahun lepas. Menurut perangkaan Jabatan Perikanan Malaysia (2023), pada tahun 2023 sebanyak 9,434.08 tan metrik ikan darat telah ditangkap daripada sungai, bekas lombong, empangan, tasik, dan lain-lain di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 82.4% ikan ditangkap di sungai (Rajah 1), manakala selebihnya diperoleh daripada bekas lombong, empangan, tasik serta kawasan seperti tasik bandar dan sawah padi.

0703 PERIKANAN DARAT1
Peratusan pendaratan ikan air tawar dari perikanan darat mengikut perairan pada tahun 2023.  Sumber Perangkaan Jabatan Perikanan Malaysia

Sungai di Negeri Perak dan Pahang merupakan sumber utama dengan pendaratan ikan air tawar masing-masing sebanyak 2,504.07 tan metrik dan 1,857.44 tan metrik. Negeri-negeri lain mencatatkan pendaratan dalam lingkungan 41.08 hingga 896.53 tan metrik, bergantung kepada saiz negeri dan bilangan sungai.

Perikanan darat memberi banyak manfaat kepada penduduk Malaysia. Ia bukan sahaja menyediakan sumber protein berkualiti dengan bekalan ikan yang konsisten, malah turut menyokong kemandirian komuniti tempatan dan menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dengan mengurangkan tekanan terhadap ekosistem marin.

Di samping itu, sektor ini meningkatkan peluang pekerjaan dalam bidang penternakan, pemprosesan, dan pemasaran produk ikan air tawar seperti ikan pekasam, serta menjana pendapatan tambahan bagi nelayan sara diri dan penternak ikan berskala kecil.

Keterjangkauan makanan merupakan komponen penting dalam keselamatan makanan di Malaysia kerana ia mencerminkan akses ekonomi kepada makanan berkhasiat untuk semua rakyat. Walaupun Malaysia telah mencapai kemajuan ketara dalam memastikan ketersediaan makanan sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa cabaran masih wujud.

Perikanan darat menghadapi isu alam sekitar, perubahan iklim, serta kekurangan akses kepada teknologi moden dan pengetahuan mengenai amalan terbaik. Selain itu, penyakit dan parasit boleh mengancam kesihatan ikan air tawar sekali gus memberi kesan kepada keselamatan makanan.

Dari segi sosioekonomi, Malaysia tergolong dalam kategori negara berpendapatan sederhana atas, menurut Indeks Keselamatan Makanan Global 2022. Indeks tersebut mendapati bahawa kadar kekurangan nutrisi adalah sebanyak 2.5% dan 20.9% kanak-kanak mengalami terbantut akibat kekurangan zat (The Economist Newspaper Limited, 2022). Tambahan pula, kira-kira 5.6% penduduk hidup bawah garis kemiskinan global.

Ketidaksamaan pendapatan juga menyumbang kepada masalah tersebut, kerana isi rumah berpendapatan rendah membelanjakan sebahagian besar pendapatan mereka untuk makanan, menjadikan mereka terdedah kepada kenaikan harga. Indeks ketidaksamaan pendapatan di Malaysia mencatat nilai sebanyak 0.65.

Oleh tu, perikanan darat memainkan peranan penting, terutamanya bagi penduduk setempat yang tinggal jauh dari kawasan pantai dan penduduk luar bandar.  Dalam era cabaran keselamatan makanan global, pengurusan perikanan darat yang efektif dapat meningkatkan produktiviti hasil ikan, memelihara kelestarian ekosistem akuatik, memastikan ketersediaan bekalan ikan sepanjang tahun, dan menyediakan sumber protein berkualiti tetapi murah kepada penduduk.

Dengan itu, bagi meningkatkan keterjangkauan makanan, khususnya bekalan ikan darat kepada seluruh lapisan penduduk—sama ada melalui penangkapan di perairan awam atau melalui ternakan ikan air tawar—serta menyokong ekonomi luar bandar, beberapa strategi utama perlu dilaksanakan.

Strategi pertama adalah pengurusan sumber air dan kelestarian alam sekitar. Sungai, tasik, dan tanah lembap merupakan sumber utama yang menentukan kejayaan pengurusan perikanan darat. Oleh itu, pemantauan pencemaran air akibat sisa bunga ternakan, sisa industri, dan pembuangan domestik harus dijalankan secara berkala.

Di samping itu, program pembangunan kapasiti melalui latihan dan pendidikan bagi nelayan sara diri dan penternak perlu dilaksanakan dengan kerjasama antara kerajaan, universiti, dan NGO untuk memastikan pelaksanaan amalan terbaik dalam penangkapan ikan.

Dasar serta sokongan kerajaan—seperti subsidi, insentif, dan kemudahan struktur—harus diberikan secara adil kepada pihak yang layak. Inisiatif ini tidak hanya membantu mengurangkan kos tangkapan bagi nelayan sara diri, malah memberikan pengusaha ternakan berskala kecil akses kepada modal untuk berinovasi dan meningkatkan produktiviti. Penggunaan sistem pengawasan dan pemantauan turut memastikan bahawa subsidi, insentif, dan pembangunan infrastruktur dilaksanakan secara telus dan berkesan.

Strategi seterusnya melibatkan pengurusan kawasan dan sumber melalui penguatkuasaan had tangkapan. Ini termasuk larangan penangkapan ikan semasa musim bertelur, serta penguatkuasaan saiz minimum dan maksimum ikan yang boleh ditangkap bagi memastikan populasi ikan kekal stabil. Jabatan Perikanan juga perlu menguatkuasakan had penggunaan saiz mata pukat dan jaring dalam aktiviti penangkapan.

Bagi kawasan perairan awam yang dikenal pasti sebagai kawasan pembiakan, larangan penangkapan mesti dikuatkuasakan dengan tegas. Penubuhan pasukan pemantau khas yang terdiri daripada penduduk tempatan amat digalakkan untuk memastikan kepatuhan terhadap peraturan, dengan penalti atau denda dikenakan bagi mencegah amalan perikanan yang tidak lestari.

Selain itu, penyelidikan dan kerjasama antara jabatan kerajaan serta institusi pengajian tinggi harus dijalankan—terutamanya dalam penilaian stok ikan dan pemantauan kualiti air di perairan awam secara berkala.

Peningkatan pengetahuan komuniti juga amat penting agar penduduk tempatan memahami kepentingan amalan lestari, sekaligus mengurangkan kesan negatif daripada amalan penangkapan ikan yang tidak bertanggungjawab. Dengan pendekatan sedemikian, amalan perikanan darat yang lestari dapat dipertingkatkan.

Akhir kata, pengurusan perikanan darat yang lestari adalah imperatif dalam menghadapi isu keselamatan makanan dan mengekalkan keseimbangan ekosistem akuatik. Melalui pendekatan strategik yang melibatkan penguatkuasaan undang-undang, pemantauan kualiti air, serta latihan kepada nelayan dan penternak, kita boleh mengatasi cabaran yang dihadapi sektor ini.

Marilah kita bersatu padu, menggalakkan inovasi dan saling berkongsi ilmu dalam menangani masalah perikanan. Dengan sokongan penuh daripada semua lapisan masyarakat, kita bukan sahaja dapat memperkukuh sumber makanan negara, malah mencipta peluang ekonomi yang lestari dan meningkatkan kualiti hidup komuniti setempat. Tindakan proaktif hari ini memastikan kesejahteraan kita esok hari.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR ROHASLINEY HASHIM
Dr. Rohasliney Hashim
Pensyarah Kanan
Jabatan Pengurusan Alam Sekitar
Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, UPM
E-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

 

MAT YUNUS BIN SABRI