fb fb fb fb fb

Persendaan agama dan parodi: Implikasi sosial serta batasan etika

Foto RTM

SAUDARA PENGARANG

Isu persendaan agama kembali menjadi topik perbincangan hangat, kali ini melibatkan penyampai radio yang dikatakan memperlekeh agama Hindu. Seperti dijangkakan, reaksi masyarakat muncul dalam pelbagai bentuk seperti kecaman keras, gesaan tindakan undang-undang, dan perdebatan tentang batas kebebasan bersuara. Di Malaysia, isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) perlu dielakkan bagi mengelakkan ketegangan serta memastikan keharmonian negara terus terpelihara.

Dalam sebuah negara berbilang budaya dan agama, kepekaan terhadap isu ini amat penting bagi mengekalkan kestabilan dan kesejahteraan bersama. Sensitiviti agama, khususnya, harus dihormati oleh setiap lapisan masyarakat kerana agama bukan sekadar kepercayaan dan amalan ibadah, tetapi juga asas dalam pembentukan nilai, etika, dan perpaduan sosial.

Namun, dalam landskap media hari ini, satu perkara tidak boleh dinafikan: apabila sesuatu isu menyentuh sensitiviti agama, ia akan tular dalam sekelip mata. Keadaan menjadi lebih kompleks apabila ia dikaitkan dengan parodi dan satira, dua elemen yang sering menjadi medium hiburan. Namun ia juga dilihat sebagai ruang pencetus kepada ketegangan sosial.

Persendaan Agama: Antara Hak dan Had

Secara asasnya, persendaan agama merujuk kepada tindakan memperolok-olok atau memperlekeh unsur keagamaan, termasuk ajaran, simbol dan pengamalnya. Dari sudut undang-undang, Malaysia mengiktiraf kebebasan bersuara seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, tetapi dengan sekatan tertentu demi memelihara keharmonian kaum dan agama.

Di sinilah garis yang sukar ditentukan. Adakah semua bentuk parodi dan satira boleh diterima dalam konteks kebebasan bersuara mahupun menghasilkan kandungan tanpa bantasan demi meraih pengikut yang ramai? Jika sesuatu jenaka hanya bertujuan mengkritik institusi agama secara intelektual, adakah ia tetap dianggap menghina? Atau, adakah niat boleh dijadikan alasan apabila sesuatu perbuatan jelas menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan penganut agama tertentu?

Persoalan ini menjadi lebih rumit apabila parodi agama disebarkan dalam era digital didorong kecanggihan teknologi media sosial kandungan yang tidak sepatutnya tular dalam sekelip mata tanpa penapisan awal.

Satira, Parodi, dan Media Sosial: Di Mana Batasnya?

Dalam budaya popular, parodi dan satira telah lama digunakan untuk menegur fenomena sosial dan politik. Namun, apabila ia menyentuh soal agama, kesannya jauh lebih mendalam. Media sosial, khususnya, mempercepat penyebaran kandungan berbentuk sindiran keagamaan. Dalam era digital, satu klip berdurasi 15 saat mampu mencetuskan gelombang kemarahan dalam masa kurang sejam.

Kes pempengaruh yang menggunakan nama individu lain untuk parodi sebelum ini sudah pun mencetuskan kontroversi. Begitu juga apabila agama dijadikan bahan lawak bagi penganutnya, ini bukan sekadar jenaka, tetapi penghinaan melukakan.

Jika tidak dikawal, parodi yang menyentuh sensitiviti agama berpotensi mencetuskan trend negatif yang mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap sesuatu kepercayaan. Situasi ini selaras dengan Teori Peniruan oleh Albert Bandura, yang menjelaskan bagaimana individu cenderung meniru tingkah laku yang diperhatikan, terutamanya jika kandungan tersebut mendapat perhatian meluas.

Dalam konteks ini, parodi agama yang menjadi viral boleh menggalakkan lebih banyak penghasilan kandungan serupa, sekali gus meningkatkan risiko salah faham dan ketegangan dalam masyarakat. Fenomena ini diperkuatkan dengan logik algoritma media sosial, berikutan kandungan paling mencetuskan reaksi sama ada marah atau hiburan yang akan lebih mudah mendapat perhatian masyarakat. Ini mendorong sesetengah pihak untuk menggunakan strategi provokasi demi penglibatan pengguna (engagement) dan populariti, tanpa mengambil kira sensitiviti pihak lain.

Dari Hiburan ke Polarisasi: Implikasi Sosial

Kesan jangka panjang persendaan agama bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh. Sejarah membuktikan bahawa penghinaan terhadap agama sering menjadi pencetus ketegangan masyarakat. Polarisasi semakin melebar apabila kelompok yang merasa dihina bertindak balas, mewujudkan persekitaran penuh permusuhan.

Di Malaysia, implikasi seperti ini menjadi lebih membimbangkan kerana kepelbagaian kaum dan agama. Keseimbangan antara kebebasan bersuara dan penghormatan terhadap kepercayaan orang lain bukan sekadar keperluan etika, tetapi juga prasyarat kestabilan sosial. Dari sudut perundangan, Seksyen 298 dan 298A Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman bagi sesiapa yang menyebabkan ketidakharmonian atau permusuhan atas dasar agama.

Tetapi persoalannya, sejauh mana undang-undang ini dapat mengekang penghinaan secara terselindung melalui parodi dan satira?

Mengimbangi Kreativiti: Tanggungjawab Kolektif dalam Menjaga Keharmonian

Tidak dapat dinafikan bahawa media sosial adalah ruang bebas untuk ekspresi kreatif. Namun, seperti ditegaskan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), kebebasan ini perlu disertai dengan rasa tanggungjawab.

Sebagai pencipta kandungan, memahami batas etika dalam parodi adalah satu keperluan, bukan sekadar pilihan. Kritikan terhadap institusi agama boleh disampaikan secara berhemah, tanpa memperlekeh kepercayaan seseorang. Begitu juga bagi pengguna media sosial. Menyebarkan kandungan tanpa menilai kesannya hanya akan mempercepat normalisasi penghinaan terhadap agama.

Masyarakat harmoni bukan hanya bergantung kepada undang-undang yang mengawal ucapan kebencian, tetapi juga kesedaran kolektif untuk menghormati kepercayaan orang lain. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) boleh memperketat pemantauan terhadap kandungan berbentuk penghinaan agama, tetapi akhirnya, tanggungjawab ini turut terletak pada individu yang mencipta dan juga menyebarkan kandungan.

Sebagai pengguna media sosial, kita perlu lebih bijak dalam menilai sama ada sesuatu kandungan membawa nilai kritikan membina atau sekadar memperlekeh sesuatu yang dianggap suci oleh orang lain.Tidak semua yang tular harus diraikan dan tidak semua yang mengundang tawa itu beretika.

Kebebasan bersuara adalah hak, tetapi menghormati kepercayaan orang lain adalah tanggungjawab. Dalam dunia digital yang semakin pantas dan tidak bersempadan, inilah garis yang tidak boleh kita abaikan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr Nur Atirah Kamaruzaman
Dr Nur Atirah Kamaruzaman
Pensyarah Kanan dan Penyelaras Disertasi Bacelor,
Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,
Universiti Putra Malaysia
e-mel:  Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

060324 Dr Ireena Nasiha Ibnu
Dr Ireena Nasiha Ibnu
Pensyarah Kanan dan Koordinator Siswazah,
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
Universiti Teknologi MARA, Malaysia
e-mel:  Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD