SAUDARA PENGARANG
Ilmu qiraat merupakan salah satu cabang keilmuan Islam yang membahas pelbagai bentuk bacaan al-Quran yang bersumber daripada Rasulullah SAW. Dalam dunia qiraat, Riwayat Khalaf ‘an Hamzah merupakan salah satu daripada bacaan yang diwarisi secara mutawatir.
Riwayat ini dinisbahkan kepada Khalaf bin Hisyam al-Baghdadi (w. 229H), seorang perawi terkenal yang mengambil bacaannya daripada Imam Hamzah az-Zayyat (w. 156H), yang sanadnya bersambung hingga kepada Nabi Muhammad SAW.
Riwayat Khalaf ‘an Hamzah memiliki beberapa ciri khas yang membezakannya daripada riwayat lain, antaranya:
1. Imalah – Sebahagian perkataan tertentu dalam al-Quran dibaca dengan suara condong antara fathah dan kasrah, memberikan keunikan tersendiri dalam lantunan bacaannya.
2. Sakt – Memutuskan bacaan seketika tanpa mengambil nafas baru pada tempat-tempat tertentu yang memberikan kesan keindahan dan ketelitian dalam bacaan.
3. Hukum Mad – Panjang bacaan mad munfasil dan mad muttasil dalam riwayat ini adalah enam harakat, memberikan irama bacaan yang khas dan tertib.
Jika dibandingkan dengan riwayat Hafs ‘an ‘Asim atau Warsy ‘an Nafi‘, riwayat ini tidak tersebar secara meluas dalam bacaan harian umat Islam. Walaupun tidak menjadi pilihan utama dalam bacaan solat dan cetakan mushaf secara umum, riwayat ini tetap mempunyai kedudukan yang tinggi dalam dunia akademik Islam.
Hal ini dibuktikan melalui pembelajaran pengkhususan qiraat di beberapa universiti dalam dan luar negara.
Mempelajari riwayat ini bukan sahaja memperkayakan ilmu qiraat tetapi juga mendekatkan umat Islam kepada keindahan dan keaslian bacaan al-Quran sebagaimana yang diwariskan oleh para ulama dan pencinta ilmu qiraat di seluruh dunia.
Indahnya, bulan ramadan yang menjadi platform masyarakat awam menikmati kemerduan, kelunakan suara, taranum dan lebih penting dapat mengetahui beberapa riwayat yang berbeza melalui bacaan imam semasa solat tarawih atau majlis tadarus al-Quran.
Maka tidaklah hairan, para penghafaz al-Quran umumnya dan mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang qiraat khususnya sering mendapat permintaan yang tinggi untuk mengimami solat tarawih di masjid-masjid atau surau semasa bulan Ramadan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr. Muhammad Syafee Salihin Hasan
Pensyarah Jabatan Tahfiz, Al-Quran dan Al-Qiraat
Fakulti Pengajian dan Peradaban Islam
Imam 1 Masjid Al-Azhar
Universiti Islam Selangor