fb fb fb fb fb

Ketakutan yang perlu diatasi

Foto hiasan

SAUDARA PENGARANG

Ketika anda melihat rakan-rakan anda di media sosial, pernahkah timbul persoalan seperti, Kenapa saya tidak di sana? Adakah saya ketinggalan? sehingga ada perasaan takut dan cemas tertinggal sesuatu dan ingin terus menerus memeriksa apa yang mereka lakukan? Ini adalah antara situasi 'Fear of Missing Out (FOMO)' yang sering berlaku dalam kehidupan seharian kita.

FOMO merupakan perasaan takut ketinggalan sesuatu kerana persepsi bahawa orang lain menikmati pengalaman yang lebih baik, sehingga menimbulkan tingkah laku kompulsif seperti kerap memeriksa telefon dan meniru tingkah laku orang lain.

Ia merupakan situasi yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, namun mereka yang berada di peringkat remaja dan awal dewasa lebih berpotensi untuk mengalami FOMO. Hal ini kerana golongan ini lebih terdedah kepada penggunaan media sosial yang menjadi alat utama untuk mereka berhubung.

Dahulu, hanya terdapat beberapa platform media sosial utama seperti Facebook dan Instagram, namun kini ia telah berkembang dengan adanya platform seperti Tik Tok dan Snapchat, yang menawarkan ciri-ciri baru seperti ‘streak’ dan ‘for you page’ (FYP) yang menjadikan pengguna media sosial ingin kekal terhubung dan sentiasa berada dalam talian.

Ciri-ciri baru dalam media sosial ini membolehkan pengguna berkongsi maklumat dan aktiviti sosial dengan lebih menarik, sehingga mewujudkan satu trend dalam kalangan masyarakat.

Perkara yang dikongsi di media sosial ini menimbulkan rasa keperluan untuk mengikuti perkembangan apa yang sedang dilakukan oleh orang lain. Perkembangan media sosial ini menjadi cabaran besar untuk mengelakkan rasa FOMO.

Oleh itu, pendedahan secara berterusan terhadap media sosial dapat menjadi penyumbang utama kepada fenomena ini. Ia sering menggambarkan kehidupan yang ideal, mencipta ilusi bahawa orang lain lebih bahagia dan berjaya.

Dalam kehidupan sebenar, kita dapat melihat gabungan pengalaman positif dan negatif yang dihadapi oleh orang sekeliling. Namun, media sosial lebih banyak memberi sorotan kepada perkara menggembirakan, sisi terbaik seseorangan dan pencapaian yang membanggakan.

Sorotan ini boleh menimbulkan perasaan cemas, takut ketinggalan dan membandingkan diri secara berlebihan dengan orang lain. Walaupun begitu, FOMO ini tidak berlaku di media sosial sahaja, tetapi juga dalam pelbagai aspek kehidupan seperti pengalaman peribadi, kerjaya, acara sosial dan pendidikan.

Terdapat pelbagai faktor yang mencetus kepada perasaan FOMO ini, antaranya adalah penghargaan kendiri. Individu yang mempunyai penghargaan kendiri yang rendah cenderung merasakan kekurangan dalam diri apabila membuat perbandingan diri dengan orang lain.

Selain itu, tekanan rakan sebaya juga boleh menjadi pencetus apabila individu merasa perlu untuk mengikuti apa yang dilakukan oleh rakan-rakan mereka kerana takut sekiranya tidak diterima dan diakui oleh lingkungan mereka.

FOMO juga sering berlaku kepada mereka yang sedang melakukan peralihan besar dalam kehidupan seprti berpindah ke bandar, yang boleh menimbulkan tekanan untuk menyesuaikan diri dengan lingkungan sosial serta norma budaya yang baru.

Keadaan yang memerlukan untuk individu menyesuaikan diri dalam lingkungan sosial boleh menyebabkan mereka lebih mudah untuk terjebak dengan FOMO kerana tidak mahu terpinggir. Sekiranya FOMO ini tidak diatasi ia boleh memberi kesan secara langsung dan secara tidak langsung dalam kehidupan seharian.

Kesan secara langsung dapat dilihat melalui emosi seseorang di mana individu yang mengalami FOMO cenderung untuk merasakan kebosanan, kesunyian serta ketakutan akan dipinggirkan sehingga mengalami tekanan emosi. Jika dibiarkan berpanjangan, ia boleh menyebabkan berlakunya penarikan diri daripada interaksi sosial kerana ingin mengelakkan rasa tekanan yang dialami.

Malah, keadaan ini boleh mengganggu kesihatan seperti menjejaskan kualiti tidur dan rasa keletihan. Individu yang tidak mengambil langkah pencegahan boleh terdedah dengan risiko kesihatan mental seperti kebimbangan dan kemurungan apabila mengalami tekanan emosi secara berterusan dan membuat perbandingan sehingga menghakis penghargaan kendiri.

Manakala, kesan secara tidak langsung daripada FOMO pula, dapat dilihat apabila seseorang itu mula terperangkap dalam pemikiran berbentuk rumination iaitu asyik memikirkan pemikiran negatif secara berulang tanpa sebarang penyelesaian.

Hal ini boleh menghakis kebolehan individu untuk berdapatasi kerana pemikiran mereka menjadi lebih pasif dan sukar untuk mencari penyelesaian masalah.

Keadaan ini juga boleh menurunkan keupayaan untuk memberi perhatian kepada tugas semasa disebabkan perhatian mudah teralih kepada telefon atau maklumat terkini. Malah ia juga dapat mengubah gaya hidup seseorang menjadi kurang produktif dan sikap suka untuk mengikuti tindakan orang lain sehingga menyebabkan keletihan emosi dan fizikal.

Tanda-tanda FOMO dapat dilihat apabila seseorang itu sentiasa memeriksa media sosial untuk mengetahui apa yang dilakukan oleh orang lain. Individu ini juga cenderung untuk membuat terlalu banyak komitmen kerana merasa sukar untuk menolak ajakan dan ingin menyertai setiap acara, sehingga menghadapi kesukaran membuat keputusan serta memberikan komitmen sepenuhnya kepada perancangan yang telah dibuat.

Mereka juga cenderung untuk berasa cemas apabila mengetahui tentang sesuatu acara yang tidak melibatkan diri mereka. Malah, suka untuk membandingkan diri dengan orang lain boleh menyebabkan perasaan terpinggir dan iri hati, sehingga mendorong mereka melakukan perkara yang tidak perlu semata-mata untuk mengikuti apa yang dilakukan oleh orang lain.

Adalah penting untuk mengambil langkah pencegahan sekiranya ada tanda-tanda ini agar FOMO ini tidak berlarutan dan mempengaruhi kehidupan seharian serta kesihatan. Antara langkah yang boleh diambil adalah dengan mengehadkan penggunaan media sosial seperti menetapkan masa untuk penggunaan dan mengelakkan untuk melihat kehidupan orang lain secara kerap.

Selain itu, meningkatkan hubungan dalam kehidupan sebenar dan interaksi secara bersemuka bagi mengatasi perasaan sunyi dan kebosanan yang timbul. Mengamalkan bercakap dengan diri sendiri tentang perkara positif juga dapat membantu mengurangkan keinginan untuk mengikuti orang lain.

Dengan memberi keutamaaan terhadap matlamat peribadi ia mampu untuk mengatasi perasaan serta menyelaraskan kembali kehidupan dengan memfokuskan terhadap perkara yang penting untuk diri sendiri.

Pepatah Melayu ada mengatakan, “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”. Ini dapat mengingatkan kita bahawa, kita mungkin akan kehilangan sesuatu seperti kepuasan dan kebahagiaan diri sendiri apabila terlalu mengejar apa yang orang lain lakukan dan miliki. Justeru itu, fokuslah kepada menghargai apa yang dimiliki dan ambillah masa sendiri dalam mencapai sesuatu.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


PROF. MADYA DR AZMAWATY MOHAMAD NOR
Timbalan Dekan Ijazah Dasar
Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya
Ahli Lembaga Kaunselor Malaysia

 
NOR AISYAH MD NOR
Pelatih Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling
Universiti Malaya

ROSLINA BINTI DIN