SAUDARA PENGARANG,
Di sebalik kekuatan dan potensi luar biasa yang dimiliki oleh golongan orang kurang upaya (OKU), mereka masih menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan seharian. Meskipun dunia semakin maju, acap kali kita terlupa bahawa OKU memerlukan lebih daripada sekadar simpati dan belas kasihan—mereka berhak menikmati peluang yang sama dalam aspek sosial, pendidikan, dan pekerjaan.
Golongan OKU sering berdepan dengan pelbagai cabaran, termasuk isu aksesibiliti, ketidaksetaraan dalam peluang pekerjaan, serta kekangan dalam pendidikan. Walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk meningkatkan kualiti hidup mereka, masih terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan dalam aspek sosial, kebajikan, pendidikan, dan kewangan agar OKU dapat menikmati hak-hak yang sama seperti golongan bukan OKU.
Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), statistik OKU (aktif) berdaftar mengikut jantina sehingga 31 Oktober 2024 adalah 486,507 bagi lelaki dan 254,337 bagi perempuan. Jumlah keseluruhan OKU aktif adalah 740,844 orang. Walau bagaimanapun, jumlah ini hanya melibatkan OKU yang telah berdaftar dengan JKM, dan angka sebenar dipercayai lebih tinggi kerana tidak semua individu OKU mendaftar untuk mendapatkan pengiktirafan rasmi.
Statistik ini merangkumi pelbagai jenis kecacatan, termasuk kecacatan fizikal, mental, penglihatan, pendengaran, dan lain-lain. Berdasarkan laporan terkini, kecacatan fizikal adalah kategori yang paling ramai, diikuti oleh kecacatan intelektual dan penglihatan. Kajian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan bahawa kira-kira 16% daripada populasi dunia mengalami bentuk kecacatan, yang menunjukkan bahawa Malaysia tidak terkecuali daripada menghadapi isu ini.
Integrasi dan penerimaan masyarakat
Di Malaysia, salah satu cabaran terbesar yang dihadapi oleh OKU adalah stigma sosial. Walaupun masyarakat semakin peka mengenai pentingnya inklusiviti, diskriminasi terhadap OKU masih wujud dalam pelbagai bentuk. Banyak tempat awam dan kemudahan masih kurang mesra OKU. Stigma sosial ini boleh dilihat dari pelbagai sudut, termasuk dalam cara golongan OKU dilihat oleh masyarakat umum, serta halangan yang mereka hadapi dalam mengakses peluang pendidikan, pekerjaan, dan kehidupan sosial.
Salah satu bentuk stigma yang ketara adalah pandang rendah terhadap kemampuan OKU, di mana mereka sering dipandang sebagai golongan yang kurang berkemampuan atau bergantung sepenuhnya kepada bantuan. Hal ini menyebabkan mereka tidak mendapat peluang yang setara dalam banyak aspek kehidupan.
Sebagai contoh, apabila berhadapan dengan peluang pekerjaan, OKU sering kali dihadkan oleh pandangan bahawa mereka tidak mampu melakukan tugas-tugas tertentu walaupun mereka memiliki kelayakan yang mencukupi. Di banyak tempat awam, kita juga sering mendapati kemudahan untuk OKU seperti tandas, laluan pejalan kaki, dan pengangkutan awam yang tidak mesra OKU.
Ini menunjukkan bahawa meskipun telah ada usaha kerajaan dan pelbagai organisasi dalam menyediakan akses kepada OKU, sikap masyarakat masih menjadi penghalang utama dalam usaha untuk mencapai inclusiveness sebenar.
Sikap masyarakat yang kurang memahami keperluan dan potensi OKU ini sering kali mendorong mereka untuk merasa terpinggir dan terasing. Stigma negatif terhadap OKU ini turut mempengaruhi keterlibatan sosial mereka, di mana golongan ini lebih cenderung untuk terasing daripada masyarakat, mengakibatkan mereka lebih banyak menghabiskan masa dalam keadaan kesepian atau kurang berinteraksi dengan individu lain.
Ini bukan sahaja memberi impak negatif terhadap kesihatan mental mereka, tetapi juga menjejaskan peluang mereka untuk berjaya dalam kehidupan sosial dan profesional. Selain itu, pengaruh media turut memainkan peranan dalam membentuk persepsi masyarakat terhadap OKU. Sering kali, OKU digambarkan dalam konteks yang tidak tepat atau terlalu bergantung kepada simpati orang lain, tanpa menonjolkan kekuatan, kebolehan, dan sumbangan yang mereka boleh berikan kepada masyarakat.
Oleh itu, adalah penting untuk media memainkan peranan yang lebih positif dalam menonjolkan kisah kejayaan dan sumbangan OKU dalam pelbagai bidang, agar masyarakat dapat melihat mereka sebagai individu yang mempunyai potensi dan kebolehan yang sama seperti orang lain.
Optimum kebajikan OKU
Langkah-langkah untuk mengurangkan stigma sosial terhadap OKU di Malaysia perlu melibatkan pendekatan yang lebih menyeluruh. Pertama, perlu ada pendidikan dan kempen kesedaran yang lebih meluas tentang hak-hak OKU, serta tentang potensi dan keupayaan mereka untuk menyumbang kepada masyarakat. Kempen ini perlu dilakukan di semua peringkat, dari sekolah hingga ke tempat kerja, bagi menggalakkan pemahaman yang lebih mendalam tentang kehidupan OKU.
Salah satu langkah penting yang perlu dilaksanakan adalah pendidikan inklusif di sekolah, di mana pelajar OKU diberikan sokongan penuh dalam suasana yang sama dengan pelajar bukan OKU. Hal ini akan membantu mengurangkan stigma dari peringkat awal lagi, serta memberi peluang kepada golongan OKU untuk berkembang dalam persekitaran yang lebih inklusif.
Selain itu, perlu ada penambahbaikan dalam polisi inklusif yang melibatkan penyediaan kemudahan yang mesra OKU di semua tempat awam dan kemudahan pengangkutan. Sebagai contoh, aksesibiliti bangunan yang tidak memenuhi piawaian untuk OKU yang menggunakan kerusi roda atau kurangnya pengangkutan awam yang sesuai bagi golongan ini. Hal ini menimbulkan kesukaran kepada OKU untuk menjalani kehidupan yang lebih bebas dan berdikari.
Satu kejadian tragis yang berlaku melibatkan OKU baru-baru ini memberi peringatan besar berkenaan pentingnya menyediakan kemudahan yang selamat dan mesra OKU. Tragedi seorang lelaki OKU buta penglihatan yang maut selepas terjatuh dan digilis tren di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa, Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur seolah memberi tamparan untuk menyedarkan kita bahawa aspek kesedaran akan keselamatan dan kebajikan OKU perlu dioptimakan.
Kejadian ini turut menimbulkan kesedaran yang mendalam mengenai pentingnya menilai semula sistem keselamatan dan aksesibiliti yang ada di stesen-stesen pengangkutan awam, khususnya bagi golongan yang memerlukan perhatian khas seperti OKU.
Dalam aspek kebajikan, kerajaan Malaysia telah melakukan beberapa langkah positif melalui Akta Orang Kurang Upaya 2008, yang bertujuan untuk melindungi hak OKU dan memperbaiki kesejahteraan hidup mereka. Walau bagaimanapun, masih terdapat jurang antara polisi dan pelaksanaan di lapangan. Sebagai contoh, walaupun ada peraturan yang mewajibkan kemudahan awam menyediakan akses untuk OKU, masih banyak tempat awam yang tidak dapat memenuhi keperluan ini.
Oleh itu, perlindungan sosial yang lebih berkesan perlu dilaksanakan, termasuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menyediakan persekitaran yang lebih inklusif dan selamat untuk OKU.
Kesimpulan
Lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk menyediakan ruang yang lebih besar bagi OKU untuk terlibat dalam aktiviti sosial dan profesional, agar mereka tidak hanya dilihat sebagai penerima bantuan, tetapi juga sebagai individu yang memiliki potensi besar untuk memberi sumbangan kepada masyarakat. Berbanding dengan negara-negara maju seperti Norway, Sweden, dan Australia, Malaysia masih perlu ke hadapan dan setanding dalam beberapa aspek perlindungan kepada OKU.
Di negara-negara tersebut, OKU menerima bantuan kewangan yang lebih tinggi, pendidikan inklusif yang lebih baik, dan peluang pekerjaan yang lebih luas. Sebagai contoh, di Australia, kerajaan menyediakan Program Pekerjaan OKU yang membolehkan OKU mendapat latihan khas dan peluang pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran mereka. Selain itu, mereka juga mempunyai skema kewangan yang lebih baik, yang memberi sokongan lebih besar kepada OKU yang tidak bekerja.
Di negara seperti Sweden, OKU mendapat peluang pendidikan tinggi yang setara dengan individu bukan OKU, serta akses kepada perkhidmatan kesihatan dan perumahan yang mesra OKU. Negara-negara ini juga mempunyai sistem transportasi awam yang sangat mesra OKU, yang membolehkan mereka bergerak dengan
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr. Siti Aisyah Samudin
Pensyarah Kanan,
Jabatan Syariah dan Undang-Undang,
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya