fb fb fb fb fb

Wacana pengambilalihan Gaza oleh AS, penyelamatan atau penjajahan baharu?

Foto Mohammed Ibrahim

SAUDARA PENGARANG

Bumi bersejarah dan penuh barakah, Palestin, terus menjadi tumpuan dunia akibat konflik yang berpanjangan.

Terbaharu, wacana pengambilalihan Gaza oleh Amerika Syarikat (AS) mula diperkatakan selepas kenyataan yang dibuat oleh Donald Trump.

Wacana ini muncul seiring dengan gencatan senjata yang dipersetujui oleh pelbagai pihak serta usaha membangunkan semula Gaza akibat kemusnahan yang dilakukan rejim Zionis.

Namun, persoalan yang timbul—adakah campur tangan kuasa besar seperti AS atau sekutunya benar-benar bertujuan menyelamatkan Gaza? Atau ini hanyalah helah penjajahan baharu yang diselindungkan di sebalik retorik kemanusiaan dan kepedulian?

NARATIF PENYELAMATAN TERSELINDUNG

Sejarah membuktikan bahawa hampir semua intervensi asing atas nama penyelamatan atau kestabilan di sesuatu wilayah sering membawa kesan bertentangan dengan naratif asal.

Contoh terdekat ialah pencerobohan AS ke atas Iraq dan Afghanistan. Pada awalnya, ia dikatakan sebagai usaha membebaskan rakyat daripada cengkaman diktator, tetapi akhirnya mencetuskan ketidakstabilan berpanjangan serta krisis kemanusiaan yang lebih parah.

Bukankah slogan seperti “Asia untuk Asia” atau “Saudara Tua dari Timur” yang dilaungkan ketika Perang Dunia Kedua juga kononnya bertujuan membebaskan Nusantara daripada cengkaman penjajahan Eropah? Namun, hakikatnya, ia berakhir dengan penindasan dan penderitaan rakyat Nusantara sendiri.

Dalam konteks Gaza, alasan yang digunakan tidak jauh berbeza. Naratif yang dibina ialah Gaza memerlukan kerajaan yang stabil, perlindungan serta bantuan kemanusiaan yang berterusan.

Namun, adakah motif ini benar-benar ikhlas, atau sekadar helah untuk mengukuhkan kawalan geopolitik di rantau tersebut?

Wilayah Gaza dan Palestin secara keseluruhannya mempunyai kedudukan strategik dari sudut politik dan ekonomi. Gaza yang bersempadan dengan Mesir dan wilayah haram rejim Zionis menjadikannya kawasan penting bagi kepentingan kedua-dua pihak.

Dari perspektif geopolitik global, penglibatan AS atau sekutunya di Gaza bukan sekadar isu kemanusiaan, tetapi sebahagian daripada agenda besar untuk mengukuhkan pengaruh di Asia Barat.

Lantas, mengapa kuasa besar seperti AS begitu berminat dengan Gaza? Beberapa faktor yang menjadikan Gaza sebagai rebutan kepentingan global termasuk:

1. Kedudukan Geopolitik Strategik – Gaza berfungsi sebagai pintu masuk yang mempengaruhi dinamik politik Palestin dan wilayah haram rejim Zionis.

2. Sumber dan Laluan Perdagangan – Walaupun disekat dan diasingkan, Gaza sebenarnya mempunyai potensi sumber laut serta laluan perdagangan yang boleh dieksploitasi oleh pihak luar.

3. Mengurangkan Pengaruh Saingan Geopolitik – Negara seperti Turki dan Iran mempunyai pengaruh signifikan di Gaza menerusi bantuan diplomatik dan logistik. Justeru, intervensi AS diyakini bertujuan untuk mengekang serta menghadkan pengaruh tersebut.

KESAN TERHADAP RAKYAT GAZA

Setiap kali berlaku campur tangan asing, kesannya pasti dirasai oleh penduduk tempatan. Jika AS atau mana-mana kuasa besar mengambil alih Gaza, beberapa senario berikut berkemungkinan berlaku:

  • Hilangnya Kedaulatan Palestin di Gaza – Berdasarkan sejarah, intervensi luar sering mengakibatkan penggulingan kuasa serta pencabulan terhadap autoriti tempatan. Justeru, pengambilalihan Gaza oleh pihak luar bermakna rakyat Palestin bakal kehilangan hak mereka untuk menentukan masa depan sendiri secara berdaulat dan bermaruah.
  • Militerisasi Wilayah – Sejarah membuktikan bahawa wilayah yang diintervensi sering mengalami peningkatan ketenteraan atas alasan "keselamatan". Dalam konteks Gaza, keadaan ini mungkin tidak terkecuali.
  • Eksploitasi Sumber – Wilayah yang diambil alih lazimnya akan dieksploitasi sumbernya tanpa memberi manfaat kepada penduduk tempatan. Bahkan, tanpa intervensi AS sekali pun, Gaza sudah lama menjadi mangsa eksploitasi kezaliman rejim Zionis.

WUJUDKAH SOLUSI YANG LEBIH ADIL DAN REALISTIK?

Jika benar AS atau kuasa besar lain berniat membantu Gaza yang telah diranapkan oleh kezaliman rejim Zionis, maka beberapa langkah berikut lebih wajar dilaksanakan berbanding intervensi yang berisiko menjadi penjajahan terselindung:

1. Menyokong Penyelesaian Diplomatik Tulen – Masyarakat antarabangsa perlu mendesak dialog terbuka antara faksi Palestin dan rejim Zionis tanpa campur tangan berkepentingan. Rundingan sebelum ini sering menemui jalan buntu kerana adanya pihak luar yang mengambil kesempatan atas konflik ini. Organisasi seperti PBB, Liga Arab dan OIC mesti benar-benar jujur dalam usaha menyelesaikan konflik ini.

2. Bantuan Kemanusiaan Neutral – Bantuan kepada Gaza perlu disalurkan secara berterusan melalui badan bebas tanpa dikaitkan dengan kepentingan politik atau hegemoni kuasa tertentu yang boleh menggugat kedaulatan Palestin.

3. Memperkukuh Kedaulatan Palestin – Gaza dan Autoriti Palestin perlu diberi sokongan ekonomi serta politik yang kukuh untuk berdikari tanpa intervensi pihak luar. Pendudukan haram rejim Zionis di tanah Palestin mesti dihentikan segera.

KESIMPULAN

Masyarakat antarabangsa perlu berwaspada terhadap wacana intervensi asing yang dibungkus sebagai "penyelamatan". Sejarah telah membuktikan bahawa campur tangan kuasa besar sering berakhir dengan penjajahan baharu yang merugikan penduduk tempatan.

Jika dunia benar-benar prihatin terhadap Gaza, fokus harus diberikan kepada diplomasi dan bantuan yang menghormati hak rakyat Palestin untuk merdeka serta berdaulat. Jangan sampai atas nama kemanusiaan, Gaza kehilangan hak, kebebasan, dan kedaulatannya sendiri.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

RUSLI ABDUL RANI
Rusli Abdul Roni
Ketua Unit dan Pensyarah
Jabatan Sains Sosial dan Kemanusiaan
Kolej Pendidikan Berterusan (CCEd)
Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)
Email: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN