fb fb fb fb fb

Pakar gesa RUU Kawalan Produk Merokok 2023 diluluskan segera

(Foto hiasan)

SAUDARA PENGARANG

Kumpulan Penyelidik Ketagihan Nikotin (NARCC) di Universiti Malaya (UM) memandang serius kecemasan yang melanda negara ini berhubung penggunaan vape atau rokok elektronik dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.

NARCC tidak boleh lagi berdiam diri melihat peningkatan drastik dalam penggunaan vape oleh generasi muda yang digembar-gemburkan sebagai sumber pendapatan baru dan cara berhenti merokok.

Ketua koordinator NARCC dan pakar perunding kanan psikiatri UM, Profesor Madya Dr. Amer Siddiq Amer Nordin, menegaskan bahawa tidak ada bukti kukuh menyokong vape sebagai terapi berhenti merokok sementara banyak lagi cara berhenti merokok yang bertauliah masih belum dimaksimumkan.

Hasil daripada kajian kohort di Pusat Perubatan Universiti Malaya mengenai “Incidence of E-Cigarette or Vaping Product Use Associated Lung Injury (EVALI) among the Severe Acute Respiratory Infections (SARI) Patients” pada tahun 2021, yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Wong Chee Kuan, Dr Farizah Mohd Hairi, Dr Noraryana Hassan, Dr Mohd Afiq Mohd Nor dan lain-lain, menunjukkan insiden EVALI sebanyak 840 per 100,000 kes SARI! (Jangkitan Pernafasan Akut Teruk)

Inilah alasan kenapa kami mendesak agar pesakit SARI semuanya disaring untuk penggunaan e-rokok atau vape.

Penemuan ini adalah panduan penting bagi pembuat dasar dan pengurusan klinikal EVALI. Manfaat ekonomi yang dijanjikan oleh industri vape jauh lebih kecil daripada kos yang timbul akibat penyakit serius seperti EVALI.

Ini adalah bahaya besar bagi negara kita! Vape juga berpotensi merosakkan sistem pernafasan, terutamanya pada golongan remaja dan kanak-kanak yang tidak mampu mengawalnya.

Negara-negara seperti England, Australia, dan New Zealand, yang longgarkan peraturan vape, mengalami peningkatan penggunaan oleh remaja dan kanak-kanak. Pakar kesihatan semakin bimbang dengan fenomena ini, terutamanya pakar pediatrik, pakar perubatan keluarga, pakar kesihatan awam dan pakar perubatan psikiatri.

Terdapat banyak kajian yang menunjukkan bahawa remaja yang terlibat dengan vape mudah terjebak dengan rokok konvensional dan penyalahgunaan dadah. Mereka juga mengalami masalah kesihatan mental serius seperti kemurungan.

Menurut Timbalan Koordinator NARCC dan pakar perunding perubatan keluarga di Univerisiti Malaya (UM) Profesor Madya Dr. Nur Amani Ahmad Tajuddin, kajian kesihatan remaja pada tahun 2022 menunjukkan perubahan yang menggerunkan dalam pola penggunaan rokok.

Penggunaan vape meningkat sementara penggunaan rokok konvensional menurun. Lebih membimbangkan, remaja perempuan cenderung kepada penggunaan vape, menunjukkan penerimaan yang tinggi disebabkan oleh sifat ingin tahu, gaya hidup dan daya tarikan perasa.

Data daripada National Heath Morbidity Survey (NHMS) 2022; menunjukkan prevalens penggunaan vape adalah 14.9% dalam kalangan remaja berusia 13 hingga 17 tahun. Penemuan kami di UM menunjukkan bahawa prevalens ini telah meningkat kepada 15.1% sejak program Generasi Penamat (Generational Endgame) dimulakan pada tahun 2022 hingga 2023 di beberapa buah sekolah. Ini adalah isyarat bahawa tindakan perlu diambil sekarang.

Hasil tinjauan Pusat Racun Negara menunjukkan produk vape dijual bersama-sama dengan gula-gula dan alat tulis di kedai-kedai runcit. Lebih merisaukan lagi, remaja dan kanak-kanak terpesona dengan promosi vape oleh artis dan selebriti di media sosial serta jualan dalam talian yang dipersembahkan sebagai gaya hidup “cool”.

Pakar psikiatri ketagihan UM, Dr Anne Yee berkata perokok vape pasif sering diketepikan apabila isu merokok vape dibincangkan. Perokok vape pasif adalah mereka yang tidak merokok tetapi secara tidak sengaja dipaksa menyedut asap rokok yang dihembuskan oleh perokok vape berdekatan.

Justeru, ini mengakibatkan perokok pasif terdedah kepada wap aerosol vape yang mengandungi nikotin, zarah ultra halus, dan bahan kimia beracun yang berpotensi memudaratkan kesihatan pernafasan, terutamanya dalam ruang tertutup.

Golongan rentan seperti kanak-kanak, wanita hamil, dan individu yang menghidapi penyakit kronik adalah lebih mudah terdedah kepada gejala ini.

Juster kami (NARCC) mendesak dengan penuh kesungguhan agar kerajaan segera meluluskan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

Ini adalah langkah sangat penting untuk melindungi generasi muda daripada ancaman merokok dan vape. Masa depan mereka serta kesihatan mereka dalam jangka pendek dan panjang berada dalam bahaya besar. Kami tidak boleh terus berlengah lagi!

Oleh
Kumpulan Penyelidik Ketagihan Nikotin (NARCC)
Universiti Malaya
Kuala Lumpur

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu