(Kitab suci al-Quran/Foto hiasan)
SAUDARA PENGARANG
Pengajian al-Quran di Malaysia mengalami evolusi perkembangan yang sangat pesat, seperti pengenalan j-QAF kepada pelajar sekolah, pengenalan kaedah-kaedah membaca al-Quran yang pelbagai seperti Iqra’ dan Baghdadiyyah.
Institusi pendidikan kini meletakkan bacaan al-Quran sebagai sebahagian daripada kurikulum wajib kepada pelajar.
Hakikatnya, proses didikan dan pengajaran dari al-Quran tidak terbatas kepada memahami isi kandungan al-Quran sahaja, malah melalui proses membaca al-Quran dan menghafaz al-Quran dengan cara yang betul dan bersesuaian juga memberi nilai positif kepada pembentukan peribadi seseorang.
1. Fokus dan teliti
Bacaan dan hafazan al-Quran yang baik memerlukan pelajar melalui proses-proses tertentu. Dalam satu ayat al-Quran yang dibaca, pelajar perlu memastikan mereka menjaga bacaan al-Quran pada beberapa aspek seperti menyebut huruf dengan betul, bacaan dengan baris yang betul dan berusaha memahami ayat-ayat yang dibaca.
Kumpulan aktiviti yang pelbagai dalam satu masa membentuk ketajaman minda pada diri pelajar. Penghafalan (memorization) daripada perspektif neurosains melibatkan proses pembelajaran, proses pembentukan ingatan, proses penyimpanan ingatan, proses pengeluaran kembali ingatan (recall) dan sebagai bukti kemampuan kognitif luar biasa yang berpusat di otak manusia.
2. Kekuatan ingatan
Kekuatan ingatan diperolehi daripada aktiviti mengulang-ulang bacaan serta hafazan al-Quran. Ini kerana, hafazan melibatkan proses untuk menyimpan pengetahuan. Menghafaz sesuatu yang dipelajari dan mengasah ingatan melalui hafazan adalah cara yang paling baik untuk mengekalkan ingatan dan kecerdasan otak.
Kajian menunjukkan bahawa seseorang individu yang membaca al-Quran dengan memahami maksud ayat al-Quran akan merasa ketenangan jiwa dan meningkatkan daya intelektual.
3. Kekuatan bahasa
Memahami isi kandungan al-Quran adalah salah satu aktiviti yang akan membantu meningkatkan kemahiran bahasa Arab. Dalam konteks penghafaz al-Quran, mereka boleh menghafaz dengan lebih cepat kerana memahami ayat al-Quran yang dibaca tanpa perlu merujuk terjemahan al-Quran.
Pelajar tahfiz mempunyai pengetahuan bahasa Arab tidak mengambil masa yang lama untuk merungkaikan kekeliruan yang timbul sekaligus mampu mengekodkan bacaan dalam memori mereka dalam tempoh yang lebih singkat.
(Foto hiasan/Fail BERNAMA)
4. Pembangunan spiritual, emosi dan motivasi diri
Elemen pembangunan spiritual merupakan aspek utama yang terbangun dari aktiviti membaca dan memahami ayat al-Quran. Ini kerana membaca dan menghafaz al-Quran merupakan aktiviti yang bersifat menyucikan hati (tazkiyyatun nafs), sehingga dapat menzahirkan akhlak dan perilaku yang baik.
Al-Quran juga bertindak sebagai sumber motivasi bagi mereka yang memahami dan menghayati isi kandungannya. Isi kandungan al-Quran antaranya menceritakan kisah nabi-nabi yang terdahulu bersifat peringatan dan penunjuk jalan kepada kebenaran serta meyakini kekuasaan Allah SWT.
5. Adab
Memelihara adab dan etika semasa membaca dan menghafaz al-Quran dapat membentuk peribadi yang bersikap positif dan dipenuhi nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Memandang rendah terhadap pengamalan etika dalam disiplin ilmu akan menyebabkan kurangnya penguasaan terhadap ilmu tersebut.
Antara adab yang digariskan dalam membaca dan menghafaz al-Quran adalah niat yang baik. Membaca al-Quran juga menuntut untuk seseorang itu berada dalam keadaan suci daripada hadas. Keadaan ini membantu juga untuk seseorang sentiasa berada dalam keadaan bersih dalam kehidupan seharian.
Selain itu, gaya hidup seperti cara berpakaian, cara berbicara dan tingkah laku mereka juga sentiasa dalam keadaan yang baik hasil daripada kebersamaan dengan al-Quran.
6. Pengurusan masa
Aspek pengurusan masa dapat dibentuk hasil daripada tindakan membahagikan ayat-ayat hafazan. Contohnya, apabila seorang penghafaz menetapkan untuk menghafaz sekurang-kurangnya lima helai seminggu, maka penghafaz perlu menyusun berapa bilangan ayat yang perlu dihafaz dalam masa sehari mengikut kemampuan masing-masing.
Maka, mereka perlu menetapkan masa yang sesuai untuk menghafaz muka surat yang telah ditetapkan pada hari tersebut. Penyusunan hafazan ini membantu pelajar untuk menyusun aktiviti harian mereka dengan lebih sistemtik, agar waktu yang diperuntukkan untuk al-Quran adalah waktu yang berkualiti untuk menghafaz, dan tidak diganggu dengan urusan-urusan lain.
7. Komitmen dan Integriti
Proses pengajaran dan pembelajaran al-Quran bermula dengan komitmen dan kesungguhan pelajar sebagai tunjang utama. Hal ini adalah kerana proses pembelajaran al-Quran bermula dengan pelajar memperdengarkan bacaan hafazan kepada guru dan barulah guru membimbing dengan kaedah dan sistem yang betul. Pengajaran dan pembelajaran Al-Quran tidak seperti subjek lain iaitu guru sebagai sumber utama dalam menyampaikan ilmu.
Kesimpulannya, kesedaran masyarakat kini semakin tinggi terhadap keperluan untuk menjalani kehidupan dalam kebersamaan dengan al-Quran. Proses didikan dan pengajaran dari al-Quran tidak terbatas kepada memahami isi kandungan al-Quran sahaja, malah melalui proses membaca al-Quran dengan cara yang betul serta menghafaz al-Quran dengan kaedah yang bersesuaian, juga memberi nilai positif kepada pembentukan peribadi seseorang.
PENULIS SYAFAWATI SALIHAN merupakan Pensyarah Tahfiz di Pusat Islam, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.