fb fb fb fb fb

Amaran

PenggunaJ: :_load: Tidak dapat memuatkan pengguna dengan ID: 381

Lelaki juga perlu perhatian

SAUDARA PENGARANG

Apabila kita melihat figura seorang lelaki, terpacul dalam minda kita bahawasanya, lelaki itu perlu kuat, gagah perkasa, pelindung dan melindungi, serta seseorang yang tidak boleh lemah atau tunjuk lemah.

Sebagaimana isu perkauman, seksisme adalah keadaan yang mana ianya diguna untuk mewajarkan perlakuan diskriminasi yang berkaitan dengan jantina. Perkara ini acapkali kali terjadi kepada golongan lelaki.

Apabila seseorang lelaki itu tidak mampu atau tidak boleh melakukan kerja-kerja yang dikata sebagai peranan tugas seorang lelaki, maka lelaki itu akan dihukum dengan kata-kata yang boleh mengguris hati dan emosi walaupun pada raut wajah lelaki itu seperti tiada apa-apa yang terkesan. Ini pula dikenali sebagai bias gender. Ia adalah satu bentuk tingkah laku yang menunjukkan pilih kasih terhadap satu jantina berbanding yang lain.

Dari perspektif fitrah, adalah tidak dapat dinafikan bahawa lelaki telah dicipta dengan kelebihan dan potensi khusus untuk menjalankan tanggungjawab fitrah mereka, iaitu sebagai pelindung kepada wanita dan pemimpin berwibawa. Namun begitu, satu persoalan yang perlu dilontarkan adalah “apakah menjadi satu kesalahan jika seseorang lelaki itu berkeluh kesah, menangis atau berjiwa sensitif pada sesuatu keadaan?”.

Kebanyakan situasi yang merujuk kepada dimensi kesihatan mental, biasanya masyarakat akan lebih cenderung untuk memberikan penekanan yang lebih pada golongan wanita, tanpa sengaja mengabaikan hakikat bahawa golongan lelaki juga memerlukan sokongan sama.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tanpa disedari, selepas dunia dihantui oleh wabak COVID-19, bukan hanya golongan wanita, bahkan isu kesihatan mental di kalangan lelaki turut mengalami peningkatan yang ketara.

Menurut penerangan dari laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN), pada Oktober 2022, telah dilaporkan bahawa pada tahun 2021, Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) menerima sebanyak 212,319 panggilan, berbanding dengan 44,061 panggilan pada tahun sebelumnya (2020).

Ini menunjukkan adanya peningkatan signifikan. Walaupun tiada perincian statistik atau data yang mempamerkan peratusan antara jantina, namun tidak dapat dinafi dalam jumlah dinyatakan itu semestinya ada golongan lelaki yang mengalami masalah melibatkan isu kesihatan mental.

Stigma seorang lelaki itu perlu kuat, gagah perkasa, pelindung dan melindungi, serta seseorang yang tidak boleh lemah atau tunjuk lemah tidak boleh diwariskan kepada generasi akan datang.

Secara fitrahnya adalah benar mereka perlu menjadi pemimpin yberwibawa, pelindung kepada wanita mahupun keluarga. Namun, seluruh umat manusia tidak boleh mempertikaikan bahawasanya mereka juga mempunyai hati dan perasaan yang perlu disantuni.

Jangan diejek jika kita melihat seseorang individu lelaki itu menangis. Biarkan mereka melayani perasaan mereka. Tugas kita hanya memberi sokongan moral. Ini amat penting supaya mereka tidak melakukan perkara-perkara tidak diingini seperti mencederakan diri atau lebih teruk lagi cubaan untuk membunuh diri. Menangis tidak semestinya lemah, atau lebih teruk lagi dilabel sebagai lembut.

Satu kajian empirikal mendapati bahawa amalan menitiskan air mata (menangis) adalah satu tindak balas terhadap emosi sedih yang mempunyai potensi untuk merendahkan tahap tekanan psikologi.

Selain itu ianya juga dapat memberikan pengalaman perasaan lebih positif dan kelegaan selepas menangis. Hal ini kerana, selepas menangis seseorang itu akan menjadi penat dan ini akan membuatkan mereka akan tidur dengan nyenyak.

Tidur adalah rehat paling baik. Maka selepas bangun daripada tidur, semestinya emosi seseorang itu akan jadi lebih baik. Namun begitu, harus diingatkan, jika hari ini anda mahu menangis rentetan daripada tekanan yang melanda diri, menangislah sepuas-puasnya.

Tetapi ingat, jangan terbawa-bawa perasaan itu. Esok adalah hari baharu dan sepatutnya menjadi rahmat untuk mewarnai kehidupan dengan lebih baik.

Jika seseorang lelaki itu mahu meluahkan perasan atau emosi mereka kepada kita, sebagai sahabat atau teman baik, kita perlu mendengar keluh kesah itu. Kita tidak perlu menjadi hebat atau pakar dalam menjadi seorang pendengar yang baik. Apa yang mereka mahukan hanyalah mendengar. Mereka tidak perlu nasihat atau jalan penyelesaian.

Apa yang mereka mahukan ialah seseorang yang mendengar rintihan jiwa. Amat sukar sebenarnya untuk seseorang lelaki itu membuat luahan perasaan kerana ego yang menebal sebagai lelaki yang ada dalam diri mereka.

Namun, apabila mereka mula untuk bercerita isi hati mereka, ini membawa makna mereka percayakan akan seseorang itu. Oleh hal yang sedemikian, jadilah seorang pendengar baik dan jangan menjaja cerita selepas mendengar rintihan atau tangisan jiwa mereka.

Ini adalah kerana, selain membuatkan mereka hilang kepercayaan, dikhuatiri, akan berlaku perkara-perkara lain yang diluar kawalan.

Sebenarnya, adalah lebih baik apabila lelaki itu meluahkan perasaan mereka daripada memendam rasa. Apabila mereka meluahkan perasaan, sekurang-kurangnya kita akan lebih cakna terhadap kehendak mereka dan akan lebih peka kepada sesuatu keadaan.

Malang sekali jika mereka hendak memberi tahu apa yang terbuku dihati dan tiada siapa yang mahu mendengarnya, ini akan membawa kepada kancah lebih bahaya. Lagi banyak memendam, lagi berat emosi harus dipikul. Apabila tiba suatu masa, emosi itu meledak, keadaan mungkin akan menjadi kacau bilau.

Sayugia itu, dinasihatkan agar hentikan amalan memberi pandangan kepada golongan lelaki bahawa mereka tidak memerlukan sokongan atau perlu meningkatkan daya tahan mereka pada saat mereka telah kehilangan kekuatan secara emosi dan mental.

Sebaiknya bantulah mereka jika mereka memerlukan bahu untuk ditangisi dan tangan untuk dibimbing. Kepada lelaki diluar sana, anda patut menyayangi diri anda lebih daripada pandangan manusia yang tiada noktahnya.

PENULIS DR. MOHD YUSOF ZULKEFLI ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.