fb fb fb fb fb

Cabaran dan ancaman ekonomi digital negara ASEAN

Foto hiasan/Fail RTM

SAUDARA PENGARANG

Kebangkitan dunia teknologi digital hari ini merupakan satu agenda penting dalam percaturan ekonomi semasa. Ia dikatakan dapat memanfaatkan sepenuhnya rantaian ekonomi (economy chain) yang menjadi pecutan kepada pembangunan teknologi maklumat semasa dan menjelmakan lebih banyak cabang ekonomi yang boleh dipraktikkan secara lebih terbuka, menembusi sempadan dan lebih efisyen.

Pelebaran rantaian ekonomi di Asia juga membuktikan bahawa negara-negara Asia bangkit menerobosi pasaran dunia yang selama ini dikuasai negara-negara maju di Eropah dan Amerika Syarikat. Sekali gus ia membayangkan kebangkitan baharu negara-negara Asia, terutamanya ASEAN untuk meneroka lebih banyak peluang pelaburan ekonomi gig yang boleh dimanfaatkan secara optimum dalam kalangan negara-negara serantau.

Jalinan kerjasama negara-negara ASEAN berhubung dengan penjanaan ekonomi digital dalam perkongsian teknologi sistem maklumat dimeterai baru-baru ini adalah suatu anjakan paradigma yang boleh memberi kesan pragmatik kepada dunia ASEAN.

Penularan pandemik COVID-19, peperangan dan isu sekuriti makanan sedunia yang mengakibatkan berlakunya kemelesetan ekonomi ini memberikan suatu gambaran keperluan drastik dalam kalangan negara-negara ASEAN menambah baik teknologi sistem maklumat yang menjadi teras perhubungan ekonoimi digital bagi setiap negara anggota.

Perkembangan teknologi maklumat yang bersandarkan kepada sistem ekonomi digital ini disifatkan oleh Menteri-menteri Komunikasi ASEAN dalam persidangan tersebut sebagai suatu pemacu kerjasama yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya dengan kebangkitan ekonomi 5.0 yang mencetuskan fenomena banyak peluang pekerjaan dalam dunia digital dan perindustrian berteknologi tinggi di rantau ASEAN dan antarabangsa.

Tidak menghairankan sekiranya dunia teknologi digital hari ini telah banyak mengubah landskap pekerjaan dalam sektor perindustrian yang menggantikan khidmat tenaga sumber manusia kepada teknologi robotik yang lebih murah dan produktif walaupun hal ini mendapat tentangan daripada pertubuhan-pertubuhan NGO dunia.

 

Justeru, jalinan kerjasama ASEAN dalam membentuk suatu lingkaran perkongsian data amat diperlukan bagi mengimbangi keperluan sumber manusia sejagat dengan kebangkitan teknologi robotik dalam dunia pekerjaan hari ini.

Ini termasuk membuat penambahbaikan terhadap sistem sekuriti data digital atau internet yang sering menjadi ancaman kepada dunia teknologi maklumat kerajaan dan perniagaan di rantau ASEAN. Selain itu, penambahbaikan terhadap capaian Internet 5G juga merupakan suatu cabaran terhadap kebangkinan dunia digital ini yang menyaksikan perluasan teknologi internet di sepelusuk kawasan dalam rantau ASEAN dengan menggunakan teknologi capaian yang murah, berkesan dan meluas.

Kebangkitan teknologi maklumat berprestasi tinggi ini juga merupakan teras kepada sumber penjanaan rantaian ekonomi digital dalam kalangan negara-negara ASEAN untuk mengukuhkan penguasaan pemasaran maklumat dan mampu bersaing dengan negara-negara maju di dunia, lebih-lebih lagi apabila negara akan merebut peluang perluasan ekonomi pemasaran global yang telah lama terkesan akibat penularan COVID-19 ini.

Fenomena ini juga memerlukan sokongan negara-negara ASEAN untuk menyasarkan teknologi rangkaian maklumat ini kepada komuniti.

Satu hal lagi adalah kesediaan negara-negara ASEAN untuk bekerjasama mendirikan suatu empayar rangkaian teknologi pendidikan digital yang dibangunkan secara drastik bagi memenuhi keperluan pendidikan bersemuka atau fizikal yang terjejas semasa era pandemik.

Fenomena ini dengan sendirinya mewujudkan suatu perkongsian rantaian teknologi pembelajaran dan pengajaran berasaskan kepada keperluan insfrastruktur yang lengkap bagi menampung keperluan internet dan kandungan maklumat versatile boleh dinikmati oleh para pengguna seluruh dunia.

Bayangkan lebih banyak universiti atau pusat pendidikan digital akan dibina dalam masa terdekat bagi memenuhi keperluan pelajar yang tidak berpeluang untuk melanjutkan pengajian kerana pembatasan pergerakan sepanjang era pandemik.

Dalam erti kata lain, kerancakan dunia pendidikan digital ini akan menyaksikan suatu fenomena pertembungan industri pendidikan yang dimonopoli oleh empayar perniagaan pendidikan global yang bersaing untuk memiliki reputasi tinggi.

Memandangkan bidang pendidikan ini tidak membataskan kepada instrastruktur fizikal, kendalian pengajaran dan pembelajaran boleh dibuat dalam talian, menggunakan kos yang lebih efisyen dan ruang mobiliti yang lebih memudahkan proses pendidikan ini.

Justeru, negara-negara ASEAN seharusnya bangkit memberikan komitmen tinggi untuk memelihara kelestarian jalinan perdagangan ilmu ini dengan mengambil peluang secara optimum. Keghairahan berlumpa memperoleh peluang rentas perdagangan digital ini juga seharusnya mengambil kira kelestarian pertumbuhan sektor ekonomi di peringkat industri kecil dan sederhana dalam kalangan rakan-rakan negara ASEAN.

Ini bagi meneruskan budaya perniagaan sektor tempatan yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan dan serantau ASEAN secara berterusan.

Namun, hakikatnya perkembangan pesat ekonomi digital belum mampu mengatasi masalah pengangguran penduduk dunia terutamanya kepada golongan yang ketinggalan memperoleh ilmu teknologi maklumat dan berkemahiran teknologi tinggi dalam pekerjaan.

Lebih banyak strategi harus ditumpukan kepada mengimbangi keperluan sumber manusia hari ini dengan memberikan lebih banyak kepentingan kepada aspek inovasi dan kreativiti mencipta bidang pekerjaan baru hari ini dan akan datang nanti.

PENULIS, TS. DR. SYED AGIL ALSAGOFF merupakan Pensyarah Kanan Media dan Komunikasi Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu