fb fb fb fb fb

Media penyalur kesukarelawanan masyarakat

Foto hiasan

SAUDARA PENGARANG

Masyarakat merupakan suatu institusi yang penting dalam pembangunan sesebuah kerajaan dan negara. Kesempurnaan masyarakat dapat meningkatkan kualiti pemerintahan dan dasar kerajaan yang dibentuk. Oleh sebab itu, pengisian dalam pembangunan kemasyarakatan merupakan elemen asas yang dapat menentukan kesesuaian dan keberkesanan dasar-dasar, polisi dan hala tuju pencapaian sesebuah negara.

Dalam konteks Malaysia, penyatuan dan keseragaman masyarakat dalam mengamalkan dasar perpaduan mengikut acuan Rukun Negara, merupakan suatu platform yang menentukan hala tuju pendemokrasian negara ini sejak mencapai kemerdekaan.

Penyesuaian dasar-dasar negara dalam mereka bentuk arah perpaduan masyarakat sering menjadi agenda dan perbualan tokoh-tokoh politik, akedemia dan masyarakat di negara ini.. Hakikatnya, perpaduan masyarakat yang berasaskan sentimen agama dan bangsa tidak dapat diterima di Malaysia, apatah lagi jika terdapat unsur-unsur yang berkeupayaan merobek sentuhan perpaduan di kalangan kaum di negara ini, harus disingkirkan dengan segera.

Persoalan-persoalan yang timbul daripada pelaksanaan dasar-dasar perpaduan ini di Malaysia, seperti ketidaksamaan pengagihan kekayaan, pendemokrasian pendidikan dan dasar-dasar sosial secara terbuka, semakin lantang dikemukakan oleh NGO-NGO atau pertubuhan-pertubuhan sukarela di negara ini. 

Penggubalan dasar-dasar perpaduan seumpama ini disifatkan sebagai suatu pendekatan yang perlu dihayati dan dikemas kini dari semasa ke semasa dalam menentukan kesempurnaan pembangunan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum negara ini. 

Oleh yang demikian, beberapa pendekatan pragmatik dalam menentukan kesepaduan dalam pembangunan masyarakat di negara ini perlu diberi tumpuan secara kritikal, seperti;

  1. Pelaksanaan agenda pendidikan nasional yang dapat memperkasakan budaya dan teknologi, berasaskan kepada kemantapan persekitaran ilmuan dan pemikiran yang dinamik dan berdaya maju;
  2. Penguasaan dan perluasan dasar-dasar sosial yang berupaya mengemudi arah pembentukan masyarakat bertamadun (civilisation), berdaya saing dan berwawasan, mengikut acuan Rukun Negara;
  3. Pemantauan berterusan agenda pembangunan global yang diamalkan oleh setiap unit masyarakat agar ikatan perpaduan dalam kemasyarakatan sedia ada tidak tergugat dengan ancaman-ancaman subversif;
  4. Pengukuhan budaya ilmu dalam agenda sosial dengan menentukan suatu reka bentuk kurikulum pendidikan, pemikiran dan pengamalan tingkah laku dalam masyarakat yang menggambarkan aspirasi bangsa dan negara.
  5. Penentuan dan pelaksanaan agenda-agenda tersebut bukanlah berdasrkan kepada omong-omong kosong atau perbualan ‘warong kopi’ seharian, tetapi ia harus dimantap dan disusuli dengan penggunaan dan penguasaan teknologi berasaskan kepada maklumat yang kini merupakan agenda utama ekonomi dunia hari ini.

Penguasaan teknologi berdasarkan ilmu teras yang tinggi dan dinamik hanya boleh dilaksanakan menerusi kejayaan sistem sosial masyarakat dalam memelihara dan memantapkan agenda pendidikan mereka agar berdaya saing dengan masyarakat global.

  1. Ia boleh dicapai menerusi kesepaduan ikatan dan kerjasama masyarakat tanpa mengikut ras, kaum, dan agama. Kerjasama yang dimaksudkan ini boleh meliputi unsur-unsur seperti;
  2. Kesederhanaan dalam pemikiran, terutamanya melibatkan peranan dan tuntutan masyarakat mengikut kaum dan agama;
  3. Perkongsian ilmu dan kemahiran dalam profesion di kalangan masyarakat yang dapat mengimbangi status ekonomi setiap unit dalam masyarakat;
  4. Penentuan bentuk tumpuan dan pendekatan dalam sistem pendidikan masyarakat supaya keseimbangan dalam penguasaan ilmu dapat dicapai;

Kemantapan peradaban dalam menentukan pembangunan dan kemajuan masyarakat berdasarkan kepada tradisi, amalan dan kepercayaan masyarakat mengikut acuan aspirasi negara.

Namun begitu, penaklukan teknologi maklumat ini memerlukan keseimbangan dari segi percambahan ilmu dasar dan peradaban masyarakat supaya kesan ancaman daripada penggunaan dan penaklukan teknologi tersebut tidak meledak, menggugat dan seterusnya menghancurkan agenda sosial yang kita pertahankan selama ini.

Dengan tujuan inilah, kita ditemukan dengan peranan kesukarelaan dalam masyarakat, sebagai suatu unsur pengisian kemantapan pembangunan masyarakat pada hari ini.

Individu atau golongan yang terlibat dalam agenda kesukarelaan ini boleh disifatkan sebagai penggerak kepada kemajuan dan kesempurnaan dalam institusi sosial yang memerlukan tumpuan khusus atau mengisi ‘lompang-lompang’ yang tertinggal dalam ikatan perpaduan dan pembangunan dalam insitusi masyarakat tersebut. 

Media boleh dianggap sebagai penyumbang utama agenda kesukarelaan sosial dalam satu unit kemasyarakatan. Sebagai suatu elemen saluran komunikasi yang paling efektif, media berperanan mengilham, menggerak dan mengetengah sebagarang isu dalam perpaduan masyarakat yang diluahkan mengikut fikiran dan aspirasi sesebuah masyarakat.

Justeru itu, media merupakan agenda pemikiran yang paling efektif jika dibandingkan dengan sistem pengisian peradaban masyarakat yang lain, terutamanya apabila berdepan dengan permasalahan, cabaran dan hala tuju yang hendak dicapai oleh negara dan rakyat.

Peranan agenda kesukarelaan dalam menentukan kemantapan masyarakat, kini merupakan suatu tanggungjawab yang diketengahkan oleh media. Peranan ini bukan bersifat baru dalam agenda pemikiran media. Peranan klasik dalam media menggariskan bahawa media berhak menyuarakan dan menjadi saluran komunikasi yang dapat membantu menyempurnakan institusi sosial. 

Namun begitu, institusi media selepas Perang Dunia Pertama, sering kali dikaitakan sebagai alat propaganda politik dan dipergunakan sebagai senjata memerangi pemikiran musuh menerusi saluran-saluran kandungan yang dapat melemahkan semangat juang musuh.

Selepas Perang Dunia Kedua, media beralih arah dengan menumpukan peranan sebagai penentu agenda (Agenda Setting) yang mempengaruhi penggubalan, pelaksanaan dan penentuan arah tuju dasar-dasar sesebuah negara.

Tanggungjawab sosial seperti memelihara dan membangunkan masyarakat tidak begitu ketara pada waktu itu, memandangkan hampir keseluruhan pelaburan dalam media-media barat dikuasai oleh tokoh-tokoh politik dan ekonomi yang berhasrat untuk menggunakan media sebagai agen maklumat penyebaran dasar ekonomi global yang berpengaruh dalam kalangan masyarakat dan para pelabur saham.

Sejak kebelakangan ini, media menggariskan peranannya sebagai agen penyalur maklumat yang berpengaruh, bukan sahaja daripada segi ekonomi, politik dan insitusi sosial, tetapi sebagai penggerak tingkah laku masyarakat menerusi kemantapan persepsi dan pemikiran masyarakat dalam sesuatu isu yang dijadikan agenda semasanya.

Sekali lagi kita menyaksikan bagaimana media berperanan sebagai agen propaganda dan pengaruh, tetapi memberi penumpuan terhadap bidang kesukarelaan dalam usaha untuk membantu meningkatkan martabat individu atau kumpulan yang berjuang dalam satu institusi sosial ini.

Bidang kesukarelaan yang menjadi agenda penting media, merupakan suatu bentuk pendekatan penyaluran maklumat secara kritis kepada kerajaan atau pihak-pihak tertentu yang berhasrat untuk mengkaji tahap keberkesanan dasar-dasar sosial yang dilaksanakan oleh kerajaan kepada masyarakat.

Di Malaysia, agenda kesukarelaan yang ‘ditiupkan’ oleh media-media tempatan ataupun luar negara telah menghidupkan suatu keperihatinan masyarakat berdepan dengan isu-isu semasa yang melibatkan dasar dan kepentingan mereka.

Media cetak, media sosial dan media penyiaran di negara ini boleh disifatkan sebagai penggerak kepada agenda kesukarelaan. Pemaparan isu-isu kemasyarakatan menerusi media boleh dijadikan sebagai suatu wadah mengaut keperihatinan masyarakat terhadap isu-isu dibangkitkan.

Tidak kurang juga kita boleh perhatikan isu-isu masyarakat tertera di dada akhbar dan media tempatan. Isu-isu keperihatinan masyarakat semakin popular dan mendapat sokongan, bukan sahaja daripada golongan masyarakat, tetapi juga golongan korporat dan individu yang memikul rasa tanggungjawab serupa.

Buktinya, isu kemiskinan dan kemelaratan masyarakat kini merupakan agenda dasar kerajaan dalam menyusun semula taraf masyarakat di negara ini. Sementara itu, isu ‘kebajikan masyarakat terpinggir yang diuar-uarkan dalam media hari ini jelas mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan masyarakat di negara ini. Tidak kurang juga isu-isu jenayah yang dipaparkan menerusi program-program tersebut, hampir keseluruhannya dapat diselesaikan oleh pihak berkuasa.

Apakah kita tidak melihat gerakan ini sebagai suatu gerakan penting yang dapat memajukan institusi masyarakat di negara ini dan mengimbangi semua unsur cabaran dan permasalahan dalam masyarakat yang berlaku dari semasa ke semasa?

Peranan media menyediakan ruang kesukarelaan seumpama ini merupakan suatu usaha bersungguh-sungguh untuk membantu masyarakat menyelesaikan masalah tanpa bergantung kepada tingkat-tingkat birokrasi yang sering menjadi dilema kepada institusi sosial di negara ini.

Seharusnya, sebagai suatu entiti masyarakat berbilang kaum di negara ini, kita harus menumpukan lebih banyak penekanan ke arah menjadikan bidang kesukarelaan ini sebagai suatu bidang tuntutan untuk memaju dan mengisi ‘lompang-lompang’ kekaluatan dan kelemahan dalam institusi sosial di negara ini.

Media pula haruslah berperanan sebagai agen pemangkin untuk memperkaya dan memperluaskan bentuk tindakan kesukarelaan yang boleh dijadikan strategi untuk membela nasib dan keperluan masyarakat dari semasa ke semasa. 

Justeru itu, penumpuan strategi komunikasi dan kesukarelaan yang dijanakan menerusi jalinan di antara media dan badan-badan atau organisasi sukarela perlu diperggiatkan bagi mencapai aspirasi negara Madani yang dicita-citakan.

PENULIS, TS. DR. SYED AGIL ALSAGOFF merupakan Pensyarah Kanan Media dan Komunikasi Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu