SAUDARA PENGARANG
Dunia hari ini menyaksikan kepesatan kandungan maklumat menguasai kebanyakan apa yang kita rancang dan laksanakan dalam pemikiran dan perbuatan seharian. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa teknologi maklumat berjaya mengubah pemikiran masyarakat dengan menampilkan pelbagai isu dan penerokaan ilmu baharu dari semasa ke semasa.
Rangkaian maklumat ini sebenarnya hasil “penjajahan minda” terbesar dalam kalangan pengguna siber dan masyarakat dunia. Ia berpunca daripada agenda negara barat yang berniat meluaskan pemikiran budaya yang mencerap pengertian kebebasan manusia berkomunikasi antara satu sama lain.
Lebih 59 tahun lalu, ahli sosiologi, Marshal McLuhan pernah mengandaikan persekitaran dunia media dan sosial terangkum dalam suatu perkampungan global (Global Village). Persekitaran ini menurut pakar pengurusan Jepun, Kenichi Ohmae adalah suatu penaklukan maklumat tidak terbatas atau tidak bersempadan. Inilah persekitaran teknologi maklumat yang kita alami hari ini.
Namun begitu, dalam kerancakan menikmati teknologi pantas dan canggih, sering kali pengguna dunia siber ini terlupa bahawa mereka terjebak dalam lambakan kandungan maklumat siber yang boleh memberi implikasi positif atau sebaliknya kepada mereka.
Sumbangan positif boleh dilihat dari segi percambahan idea-idea baharu, rangkaian ilmu pengetahuan yang bernilai infiniti atau tidak berpenghujung dan membina hubungan komunikasi mantap tanpa sempadan.
Sebaliknya, lambakan kandungan maklumat mengundang pelbagai masalah psikologi, emosi dan gangguan kepada prinsip kehidupan seperti masalah ketagihan Internet, kemurungan individu, kecelaruan identiti akibat tidak dapat membezakan di antara kehidupan realiti dan penyamaran dunia virtual serta jenayah siber.
Dalam hal ini, kita terpaksa menghadapi pelbagai implikasi negatif yang “menyerang” rentak pemikiran masyarakat kita apabila kebanyakan daripada masyarakat kita terpedaya dengan anasir-anasir jenayah yang berpunca daripada penyalahgunaan kandungan siber.
Sejak akhir-akhir ini, wujud perdebatan pengaruh dan kebebasan media serta peranan kerajaan mengawal selia kandungan yang dianggap sebagai “watchdog” atau “big brother” berhubung dengan penyekatan maklumat dalam media sosial dan penyiaran yang menyentuh 3R.
Terdapat pandangan bahawa kerajaan Madani hari ini enggan memberikan kebebasan kepada media untuk menyuarakan pandangan atau pendapat berhubung dengan isu-isu semasa. Lebih drastik lagi, terdapat suara-suara yang melabel Kerajaan Madani cuba menghalang kebebasan bersuara dan kebebasan bermaklumat dalam kalangan media.
Ternyata kecaman-kecaman tersebut adalah dangkal. Sebagai kerajaan yang memelihara institusi kebebasan bermaklumat di negara ini, kewajaran untuk mengawasi, memantau dan mengawal selia kandungan media adalah suatu tanggungjawab besar dan penting bagi memastikan Perkara 10 dalam Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kebebasan bersuara bersyarat dapat dipatuhi demi memelihara kesejahteraan dan kemakmuran negara.
Banyak negara maju pada masa kini sedang mengkaji mekanisme untuk mengawal pengaruh negatif kandungan maklumat siber yang banyak mendatangkan kerosakan di negara-negara mereka. Selain daripada penguatkuasaan peraturan, mereka mencuba pendekatan berbeza iaitu memberi kesedaran kepada masyarakat untuk menapis kandungan maklumat tersebut berpandukan kepada kematangan dan rasional fikiran.
Dengan kaedah sedemikian, masyarakat menjadi agen penting dalam menentukan tapisan penerimaan lambakan maklumat yang diperolehi mereka setiap masa.
Dalam konteks Malaysia, sejak Internet bertapak pada akhir 1996, pelbagai cabaran dihadapi oleh kerajaan dan pengguna teknologi ini yang kemudiannya mengundang kepada penggubalan undang-undang siber pada tahun 1998 di negara ini.
Salah satu akta yang menjadi teras kepada undang-undang siber itu ialah Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588). Akta ini menunjukkan sikap proaktif kerajaan untuk menghadapi gelombang teknologi maklumat yang pantas dan berupaya memberi ancaman kepada dunia kehidupan masyarakat sekiranya tidak dibendung.
Sikap optimistik kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) rentetan daripada fenomena itu membuka ruang kepada masyarakat pengguna media baharu, menikmati teknologi canggih itu dengan berhemah.
Sejak Malaysia memperkenalkan mekanisme amalan penapisan maklumat media iaitu pengawalseliaan kendiri (self-regulation), masyarakat pengguna media diberi pendidikan merangsang sikap berhemah bagi mengawal impak kandungan media secara berhemah.
Mekanisme ini diamalkan beberapa negara maju untuk mendidik masyarakat mereka menapis kandungan-kandungan media jelik atau memberi ancaman keganasan kepada negara dan penduduk negara terbabit. Kaedah sama dilaksanakan di negara ini ialah dengan menggunakan garis panduan “Kod Kandungan Media” yang diperkenalkan oleh Forum Kandungan dan Multimedia Malaysia (CMCF), satu badan bawah SKMM. Secara rujukannya, kita boleh mengakses kod kandungan itu di http://www.cmcf.my
Kod Kandungan ini bertujuan untuk menjadi panduan kepada pihak media dan pengguna menerbitkan kandungan yang bersesuaian dengan estetika budaya dan peradaban masyarakat majmuk negara ini. Ia juga akan menjadi tanda aras kepada sistem kawalan kandungan media yang membolehkan pemain industri media menghasilkan kandungan media tempatan bermutu tinggi, sesuai untuk tontotan pengguna negara ini dan mencerminkan kemurnian identiti nasional.
Apakah kandungan jelik yang tertera dalam kod kandungan
Bagi menjelaskan kategori dan klasifikasi kandungan jelik itu, ia ada dinyatakan dalam Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu kandungan yang mengandungi unsur perkhidmatan aplikasi kandungan, kandungan sumbang, lucah, palsu, mengancam atau dengan niat untuk mengacau, mendera, mengugut atau mengganggu mana-mana orang.
Pelanggaran bawah seksyen itu akan menyebabkan seseorang yang melanggar suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi setahun.
Bagaimana mengawal selia kandungan kandungan media
Sebagai anggota masyarakat yang prihatin terhadap penularan kandungan media, kita harus mempunyai daya keprihatinan untuk menilai sama ada kandungan itu bersesuaian atau tidak terhadap diri kita dan estetika pengamalan budaya.
Sekiranya kandungan media atau kandungan maklumat yang terhidang di hadapan kita bersifat jelik dan tidak bersesuaian, maka kita boleh membuat aduan kepada SKMM atau CMCF untuk membolehkan pihak-pihak berkuasa itu menyiasat, mengambil tindakan dan menghukum media yang bertanggungjawab menyiarkan maklumat sebegini.
Dalam kes seperti penularan kandungan fitnah atau jelik boleh diheret ke muka pengadilan, apatah lagi jika kandungan itu menyentuh hal-hal sensitiviti negara.
Dengan cara itu, kita akan dapat menyaring maklumat mengikut acuan persepsi dan budaya masyarakat kita, sekali gus dapat memelihara kemurnian peranan media dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Justeru, menjadi suatu tanggungjawab penting bagi setiap anggota masyarakat untuk memastikan bahawa kita harus prihatin setiap masa dengan apa juga bentuk kandungan media dan kandungan maklumat yang dihidangkan kepada kita.
Tanpa menyelidik dan memantau kandungan itu boleh mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat kita, pihak media atau penyedia maklumat dalam media siber akan sewenang-wenangnya menggunakan pengaruh mereka untuk mengekspoitasikan maklumat terbabit untuk kepentingan mereka.
Pendidikan dan kesedaran menangani penyelewengan dan eksploitasi maklumat haruslah dikembangkan ke semua pihak, termasuklah di bangku persekolahan lagi.
Generasi ketiga seharusnya dibimbing untuk mempraktikkan sifat keprihatinan memilih bahan bacaan atau bahan media bersifat positif, memberi faedah dan mengekalkan unsur moral yang baik dalam kalangan anak-anak muda.
Kematangan memilih bahan-bahan media seperti ini seharusnya dikongsikan bersama ahli keluarga dan golongan pendidik di sekolah mahupun di Institusi-institusi pengajian tinggi negara.
Dengan harapan sebegini, kita boleh menyaksikan kelestarian pemurnian kandungan media dan maklumat yang boleh memimpin generasi akan datang dalam mempertahankan prinsip kehidupan dinikmati pada hari ini.
PENULIS, TS. DR. SYED AGIL ALSAGOFF merupakan Pensyarah Kanan Media dan Komunikasi Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.