SAUDARA PENGARANG
Masalah berkaitan kesihatan mental dalam kalangan mahasiswa semakin didengari dan diperdebat dalam masyarakat sejak semua institusi pengajian tinggi di negara kita diarahkan untuk melaksanakan pembelajaran dalam talian.
Rentetan itu, mahasiswa mula berani untuk bersuara mengenai kesulitan mereka sepanjang menyesuaikan diri untuk mengikuti suasana baharu di universiti. Sebagai contoh, kebanyakan mahasiswa mengalami tekanan apabila mereka terpaksa menghadapi cara kehidupan baharu apabila bergelar mahasiswa.
Hal ini kerana, kehidupan sebagai seorang pelajar sekolah sangat berbeza dengan kehidupan sebagai pelajar universiti. Dari sudut pembelajaran, persekitaran dan banyak pengaruh luar boleh mengganggu tahap kesihatan mental seseorang jika ia tidak dikawal dengan baik. Dengan itu, perkara-perkara tersebut telah menyebabkan emosi dan mental mahasiswa terganggu sepanjang menempuh pengajian mereka.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (2013), kesihatan mental bermaksud situasi seseorang menyedari dan mampu bertindak melakukan sesuatu apabila menghadapi tekanan atau stres, boleh bekerja dengan produktif dan boleh menyumbang kepada masyarakat.
Dengan erti kata lain, kesihatan mental boleh dikatakan asas kepada kesejahteraan seorang individu kerana ia merupakan ekspresi emosi dan melambangkan keupayaan seseorang itu dalam menyesuaikan diri kepada pelbagai tekanan kehidupan.
Dalam aspek kesihatan mental terdapat tiga kategori masalah kesihatan mental yang dihadapi pesakit. Kategori tersebut adalah neurosis, psikosis dan yang terakhir adalah kecelaruan personaliti.
Neurosis bermaksud memiliki ciri seperti pemikiran yang obsesif, kebimbangan, kesusahan, dan tahap disfungsi tertentu dalam tugas seharian. Selain itu, ia adalah keadaan di mana pesakit mental yang memiliki keadaan neurosis ini mengalami perubahan dan juga gangguan terhadap pemikiran atau tingkah laku mereka, namun ia masih dapat diurus dengan baik.
Selanjutnya, psikosis adalah satu lagi keadaan pesakit akan menghidapi simptom tertentu. Sebagai contoh, pesakit yang mengalami keadaan psikosis akan merasakan kehadiran halusinasi dan dilusi. Iaitu mereka akan keliru apabila mendengar suara-suara ghaib yang berinteraksi dengan mereka.
Situasi terakhir ialah kecelaruan personaliti. Keadaan ini membuatkan pesakit cenderung untuk menukar karakter semasa berkomunikasi dengan orang lain. Ini bertujuan agar kecacatan atau penyakitnya tidak diketahui oleh orang. Perkara ini sering dilakukan pesakit kerana segelintir masyarakat sukar menerima atau memiliki stereotaip negatif terhadap masalah kesihatan mental.
Tahap Kesihatan Mental di Malaysia
Tahap kesihatan mental di Malaysia juga menunjukkan statistik trend peningkatan individu yang mendapatkan sokongan menerusi Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) (2022). Statistik menunjukkan pada tahun tersebut meningkat sebanyak lima (5) kali ganda bagi tahun 2022 berbanding tahun 2020.
Pada bulan Mac 2019 ketika seluruh negara sedang dilanda pandemik COVID-19, ia turut meninggalkan kesan mendalam terhadap kesihatan mental masyarakat di seluruh negara. Hal ini terjadi kerana, selepas pandemik COVID-19 ramai pasangan ibu bapa kehilangan pekerjaan yang menyebabkan mereka mengalami kekangan dari segi kewangan untuk terus menyara keluarga.
Oleh yang demikian, perkara tersebut telah mencetuskan masalah kesempitan wang dalam kalangan masyarakat Malaysia. Semasa tempoh pandemik, terdapat banyak kes mengatakan bahawa rakyat Malaysia menghadapi tekanan yang amat teruk sehingga ada yang bertindak ingin membunuh diri. Kelakuan ini disebabkan mereka tidak lagi mampu menahan kesusahan dan bebanan yang terlalu banyak dalam kehidupan mereka.
Kesihatan Mental dalam kalangan mahasiswa IPT
Jika dilihat daripada aspek pendidikan tinggi di IPT ianya tidak asing lagi. Hal ini disebabkan tekanan dan masalah yang dihadapi oleh pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka di universiti. Berdasarkan kenyataan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), satu daripada lapan penduduk dunia, atau 970 juta orang di seluruh dunia mengalami gangguan mental.
Dalam masa yang sama, Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati 2.3 peratus penduduk dewasa Malaysia atau lebih kurang setengah juta orang mengalami masalah kemurungan. Selain itu, permasalahan kesihatan mental di Malaysia turut dikaitkan dengan tingkah laku bunuh diri di mana terdapat 1,142 kes dilaporkan pada tahun 2021 dan 631 kes dilaporkan pada tahun 2020. Jumlah kes saban tahun menunjukkan peningkatan ketara iaitu sebanyak 81 peratus.
Tambahan lagi, dianggarkan lebih kurang 1 daripada 4 orang pelajar IPT di Malaysia dilaporkan terjejas tahap kesihatan mental mereka seperti memiliki masalah kebimbangan, kemurungan dan stres. Berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan bahawa sejak pewujudan Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental atau Talian Help with Empathy and Love (HEAL) 15555, statistik menunjukkan sebanyak 24,346 panggilan telah diterima. Angka ini membimbangkan terutama dalam kalangan pelajar IPT di institusi.
Langkah yang boleh diambil di peringkat institusi adalah melalui sistem pembelajaran peringkat IPT perlu dilihat agar dapat mengelakkan tekanan yang boleh merosotkan kesihatan mental pelajar.
Perubahan corak pembelajaran serta situasi berbeza dari peringkat sekolah menengah ke IPT sedikit sebanyak telah mengganggu tahap kesihatan mental pelajar universiti. Peranan pensyarah perlu dimainkan agar dapat mengurangkan kes-kes yang lebih besar lagi berkaitan dengan isu kesihatan mental.
Melalui hasil kajian para pengkaji menyatakan bahawa antara tekanan yang muncul dalam kalangan pelajar IPT ialah daripada masalah kewangan, perubahan suasana pengajian dan kebimbangan mengenai ketidakpastian mengenai masa hadapan mereka kerana bimbang keupayaan untuk membiayai komitmen kewangan pendidikan mereka.
Ini diperkukuhkan lagi apabila Kementerian Kesihatan Malaysia membuat tinjauan mendapati golongan B40 lebih ramai murung berbanding golongan M40 dan T20. Ini menunjukkan rata-rata pelajar IPT daripada golongan B40 lebih cenderung mengalami masalah kesihatan mental disebabkan faktor tekanan hidup dan sebagainya.
Isu ini boleh diatasi oleh pelajar sekiranya mereka bijak mengurus masa, berdikari dan belajar menyesuaikan diri untuk terus bertahan sehingga tamat pengajian mereka walau mendepani pelbagai kesusahan serta cabaran yang timbul.
Memiliki tahap kesihatan mental yang kurang baik boleh menyebabkan seseorang itu hilang daya fokus dan tidak dapat memberi komitmen yang baik pada setiap perkara dalam rutin harian mereka.
Pendidikan keagamaan juga perlu dititik beratkan melalui pendekatan ke arah pembentukan sahsiah dan kerohanian pelajar. Tekanan akademik dihadapi pelajar IPT sewaktu pengajian telah menyebabkan ramai di antara mereka mengalami masalah kesihatan mental seperti kemurungan, kebimbangan dan stres yang berlebihan.
Aktiviti persatuan juga sebenarnya boleh membantu para pelajar menangani masalah kesihatan mental melalui pelbagai aspek seperti hubungan sosial, membina jaringan sesama pelajar, masyarakat dan lain-lain.
Sebagai contoh, pelajar IPT menghadapi masalah kesihatan mental seperti kemurungan, kegelisahan dan tekanan yang tinggi disebabkan perubahan drastik dalam sistem pendidikan terutamanya dalam penyampaian pengajaran semasa pendemik.
Natijahnya, isu kesihatan mental menjadi antara punca utama yang menjejaskan kesejahteraan fizikal dan sosial seseorang individu. Bukan itu sahaja, isu kesihatan mental dan tekanan emosi dalam kalangan rakyat perlu dipandang serius berikutan ia memberi pelbagai kesan buruk kepada negara. Isu ini melibatkan pelbagai lapisan masyarakat merangkumi semua domain iaitu biologi, psikologi, sosial dan spiritual.
Melalui sembilan teras Dasar Keselamatan Negara 2021-2025, isu kesihatan mental ini merujuk kepada teras ke-8 iaitu Keselamatan Rakyat dan salah satu daripada 153 item dalam Matriks Keselamatan Negara adalah Pengukuhan Kesihatan Minda dan Ketahanan Rakyat.
Ini menunjukkan kerajaan sangat memandang serius berkenaan isu ini. Ianya tidak boleh hanya dipandang enteng dan usaha untuk mengesan, mencegah dan bertindak balas perlu dilaksanakan secara tuntas oleh pihak-pihak yang terlibat.
PENULIS, DR HAZLIN FALINA ROSLI merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa Inggeris & Komunikasi, Fakulti Pengurusan & Muamalah, Universiti Islam Selangor (UIS)
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.