SAUDARA PENGARANG
Baru-baru ini, negara dikecohkan dengan kisah perkahwinan pempengaruh dan usahawan muda, Mohammad Khaliltizam Yusri atau Kal yang lebih dikenali di laman media sosial dengan nama ‘Abang Tesla’.
Nama Abang Tesla menjadi hangat apabila beliau memuat naik video di TikTok sedang memujuk isteri pertamanya tiga jam sebelum majlis pernikahan kedua berlangsung. Video berkenaan memaparkan Abang Tesla memujuk isterinya, Nurmajdina Jamari selepas menunaikan solat Subuh berjamaah.
Usai pernikahan dengan isteri kedua, personaliti media sosial berkenaan memuat naik lagi sebuah video apabila beliau memetik kata-kata ustaz bahawa isteri pertama untuk dihargai, isteri kedua untuk dicintai.
Lebih mengejutkan, Abang Tesla mengeluarkan kenyataan berkenaan di hadapan isteri pertamanya.
Meskipun mendapat restu daripada isteri pertama dan keluarga kedua-dua pihak sebelum mendirikan perkahwinan kali kedua bersama madunya, tindakan Abang Tesla berterusan dikecam netizen, pempengaruh media sosial lain, bahkan juga oleh golongan selebriti dan agamawan.
Masyarakat dunia dan poligami
Isu poligami sering dijadikan polemik dalam masyarakat sehingga ia menimbulkan ketegangan.
Malah, bagi mereka yang bukan beragama Islam dan kurang mengetahui hukum poligami, pastinya mereka akan berfikiran negatif dan mempunyai persepsi yang buruk terhadap agama Islam kerana menyangka hanya agama ini membenarkan penganutnya mengahwini lebih daripada seorang isteri.
Poligami atau lebih dikenali sebagai poligini dalam kajian antropologi adalah amalan seorang suami yang mempunyai lebih daripada seorang isteri.
Sejak dahulu lagi, masyarakat dunia sudah mengamalkan hidup berpoligami terutama orang- orang ternama seperti raja dan ketua kabilah.
Di Rom, Parsi, Mesir, malah apa sahaja empayar sekalipun pernah merekodkan bahawa berlakunya poligami.
Namun, pernikahan mereka tidak teratur dan para lelaki tidak memiliki had untuk jumlah isteri mereka. Lebih menyedihkan, tiada undang- undang yang boleh dijadikan rujukan untuk membela hak keadilan wanita selain mereka berterusan menjadi mangsa nafsu para lelaki pada zaman itu.
Poligami dalam Islam
Sesungguhnya apabila diturunkan kitab suci Al-Quran kepada Nabi Muhammad S.A.W. sekitar 1,440 tahun lalu, ia bukanlah kitab yang memperkenalkan atau menggalakkan umat Islam untuk mempunyai lebih daripada seorang isteri kerana jauh sebelum itu manusia telah pun mengamalkan poligami.
Hakikatnya, Allah berfirman dalam Surah An- Nisa, ayat 3 yang bermaksud, “Dan jika kamu khuatir tidak akan mampu berlaku adil terhadap (hak- hak) perempuan yatim (ketika kamu menikahinya), maka nikahilah perempuan (lain) yang kamu senangi: dua, tiga atau empat. Tetapi jika kamu khuatir tidak akan mampu berlaku adil, maka (nikahilah) seorang sahaja…”
Ayat ini jelas menekankan soal keadilan dengan menyatakan jumlah wanita yang boleh dikahwini dan menyarankan agar kaum adam mengahwini seorang wanita sahaja.
Sekiranya sebelum ini tiada had untuk kaum lelaki mempunyai bilangan isteri sama ada untuk tujuan politik, ekonomi atau nafsu sepertimana yang berlaku dalam masyarakat Jahiliyah, agama Islam meletakkan had dan syarat tertentu dalam mengawal poligami.
Antara sebab-sebab mengapa agama Islam membenarkan poligami ialah untuk menjamin kemuliaan agama dan kehormatan umatnya daripada sebarang godaan. Di samping itu, ia juga untuk menutup dan mengurangkan penzinaan dan pelacuran. Malah, ia juga untuk melahirkan keturunan dengan cara yang halal dan mengurangkan kes pengguguran bayi dan pembuangan anak yang tidak sah taraf.
Poligami di Malaysia
Sungguhpun poligami kelihatan indah, realitinya bukan semua wanita sanggup berkongsi kasih dengan wanita yang lain. Namun, terdapat juga mereka yang boleh menerima konsep hidup ‘bermadu’ dan mereka telah pun berjaya mengharungi cabaran rumahtangga bertahun- tahun lamanya sebelum munculnya kisah poligami Abang Tesla.
Selebriti tanah air seperti Salih Yaacob, Ashraf Muslim, Zarina Zainuddin dan Nor Salima Habibi atau Salima AF adalah antara mereka yang hidup berpoligami dan menjadi contoh kepada umum bahawa ‘bermadu’ tidak bermakna selamanya hidup makan hati berulam jantung.
Apa yang dilakukan oleh Abang Tesla dengan mendirikan rumah tangga dengan isteri kedua tidak salah. Malah, tindakan beliau mendapatkan izin isteri pertama dan restu keluarga adalah suatu tindakan yang wajar dipuji.
Namun begitu, semua tindakan ini tidak perlulah dirakam dan diceritakan kepada dunia sehingga menjadi bahan kecaman netizen. Apa yang lebih penting, emosi isteri pertama dan aib keluarga beliau perlulah dijaga sungguhpun poligami dibenarkan di dalam Islam.
Walaupun pempengaruh bebas menyiarkan apa sahaja kandungan di media sosial mereka, kes poligami Abang Tesla seharusnya ‘membuka mata’ kerajaan untuk mewujudkan satu garis panduan bagi mengawal dan menapis kandungan yang muncul di laman media sosial milik pempengaruh hari ini.
Malah, apabila kita memetik kata- kata seseorang tokoh bagi menguatkan tindakan kita, ia perlulah mempunyai sumber rujukan yang sahih apatah lagi sekiranya isu itu sesuatu yang sensitif seperti isu agama. Kata- kata yang salah akan memberikan konotasi dan pemahaman yang salah terhadap individu yang menerima mesej berkenaan.
Sekiranya kaum adam menggunakan alasan telah berkahwin lama namun masih belum dikurniakan zuriat, ia tidak wajar dijadikan sebab untuk menambah isteri.
Dengan kaedah moden hari ini seperti teknologi Inseminasi Intrauterine (IUI), persenyawaan in-vitro (IVF), suntikan sperma intra-cytoplasmic (ICSI), pemindahan gamet ke dalam Tiub Fallopian (GIFT) dan pemindahan embrio, pasangan suami isteri masih boleh berusaha untuk mendapatkan cahaya mata manakala sang suami tidak perlu ‘menambah cawangan’.
Poligami tidak salah. Sesuatu amalan yang dinyatakan dalam kita suci sesuatu agama tanpa membebankan penganutnya tidak pernah salah.
Yang salah ialah apabila segelintir orang yang menggunakan agama untuk mencapai sesuatu matlamat tanpa mempedulikan kesan penerimaan keluarga dan masyarakat terhadap tindakannya. Matlamat tidak pernah menghalalkan cara.
Oleh
Mohd Aliff Mohd Nor
Pensyarah sambilan IPTS, K. Lumpur.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.