SAUDARA PENGARANG
Merungkai era media digital pada masa kini memberikan satu petanda serius terhadap rangsangan kebangkitan media sebagai agen sosiobudaya normal baharu dalam sistem peradaban di negara ini.
Anjakan paradigma terhadap sosiobudaya normal baharu ini telah mengubah amalan sosial yang selama ini menyantuni masyarakat kita. Daripada amalan bersalaman, hal-hal kekeluargaan sehinggalah budaya interaksi komunikasi umum sesama anggota masyarakat telah banyak berubah mengikut fenomena persekitaran sekarang.
Begitu juga banyak kaedah amalan dalam sistem peradaban hari ini telah mengubah persepsi masyarakat terhadap kebebasan bersuara dan keadilan diri. Hal ini berlaku disebabkan pengaruh kandungan maklumat tanpa sempadan yang dinikmati oleh para pengguna internet hari ini membolehkan mereka mengakses pelbagai maklumat mengikut keperluan dan cita rasa mereka.
Kita harus menilai kembali peranan dan tanggungjawab media dalam menyalur dan menyediakan maklumat kepada masyarakat. Peranan dan tanggungjawab media dalam pembentukan sosiobudaya pemikiran dan peradaban masyarakat hari ini merupakan suatu cabaran besar. Ia merupakan wadah penyampaian maklumat yang berpengaruh dalam era teknologi yang berupaya menghidangkan pelbagai kandungan maklumat melewati batas sempadan pemikiran manusia.
Dalam konteks Islam, kebebasan maklumat yang dinikmati oleh para pengguna media tidak harus dimanipulasikan sewenang-wenangnya tanpa batasan peradaban Islam yang kita amalkan.
Justeru itu, maklumat media Islam haruslah berdasarkan falsafah Islam sebagai Ad-Din dalam keseluruhan kehidupan masyarakat yang memapar dan mempromosikan sistem peradaban Islam menerusi kemurnian dan keluruhan adab tingkah laku masyarakat berdasarkan ajaran al-Quran dan hadith.
Seharusnya juga maklumat siber hari ini tidak menimbulkan fitnah, tidak menyebarkan maklumat palsu atau apa sahaja agenda yang boleh menimbulkan konflik tauhid umat Islam serta tidak mendatangkan kesan buruk kepada pemikiran dan perlakuan umat Islam hari ini.
Dalam erti kata lain, pemilihan atau kawal selia kandungan maklumat media harus berasaskan kepada sifat tanggungjawab terhadap pengamalan ajaran Islam dan tidak semata-mata bersandarkan kepada teori-teori atau konsep pemikiran orientalis barat.
Penyebaran maklumat harus menjurus kepada mendidik kematangan masyarakat Islam menguruskan kehidupan di dunia dan menghindari daripada isu-isu yang boleh melumpuhkan akidah umat Islam seperti pengamalan Athies, LGBT dan sebagainya.
Dalam konteks ini, ajaran Islam menganjurkan sikap perlu berhati-hati dan menilai sesuatu mesej atau maklumat dengan cermat kerana dibimbangi akan membawa pengaruh yang buruk kepada masyarakat. Tambahan pula dalam konteks dunia globalisasi yang mana media komunikasi lebih didominasi oleh pihak Barat yang mempunyai pelbagai prejudis terhadap orang lain.
Dalam hubungan ini, Islam memperingatkan umatnya supaya berhati-hati berdepan dengan penularan maklumat palsu.
Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Hujurat ayat 6: Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik yang membawa berita maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada satu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu”.
Penggunaan teknologi digital harus disesuaikan dengan amalan dan etika komunikasi serta mampu untuk melahirkan masyarakat Islam yang bertamadun tinggi dan madani.
Dalam erti kata yang lain,kandungan maklumat media boleh membantu menyasarkan pembentukan minda umat Islam yang prihatin dan menghayati falsafah perjuangan Islam sebenar dan berupaya mencipta anjakan pradigma baharu terhadap pemikiran dan tindak-tanduk umat Islam menghadapi semua bentuk cabaran mendatang dengan lebih menyakinkan.
Penggunaan teknologi media hari ini harus berimbang daripada aspek keperluan dunia dan akhirat, iaitu berupaya untuk membentuk keperibadian dan pemikiran umat Islam yang bijak menjalinkan komunikasi strategik berasaskan kepada pembangunan agama Islam itu sendiri, memburu kemajuan dan pemodenan sosiobudaya Islam tetapi tidak menyingkirkan atau memesongkan aspek-aspek akidah akibat lambakan maklumat dari budaya 'kuning' yang boleh mengancam umat Islam;
Media juga harus melaporkan dan memelihara etika pemberitaan kewartawanan berasakan kejujuran, adil dan tidak berat sebelah supaya masyarakat memperoleh berita yang sahih, diyakini dan dapat membantu sosiobudaya umat Islam di negara ini.
Dalam hal ini, media harus menggunakan peranan kebijaksanaannya untuk menapis semua kandungan bersifat jelik, menimbulkan kekeliruan ataupun mendatangkan kontroversi yang boleh mencetuskan permusuhan di antara individu.
Firman Allah dalam surah al-Nur, ayat 19: Bermaksud: “sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar dalam kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat.”
Para pengamal media memiliki suatu tanggungjawab besar untuk mengemas kini aspek perundangan media dengan memberi keutamaan kepada Islam sebagai agama rasmi di negara ini seperti tertera dalam perkara 3(1) dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pelaksanaan media Islam haruslah diberi nafas dengan konteks yang lebih holistik dan pragmatik. Dalam erti kata lain, media Islam tidak jumud menyiar dan menyebarkan maklumat kepada masyarakat dengan menggunakan strategi penyampaian maklumat berkesan dengan mengambil kira konteks kemajuan sosiobudaya yang dikecapi masyarakat negara kita hari ini.
Mekanisme pengawalseliaan kendiri dalam media yang termaktub dalam Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588) penting untuk menyuburkan rasa keprihatinan masyarakat terhadap lambakan kandungan media hari ini. Masyarakat harus bijak menilai kandungan media yang memberi manfaat kepada mereka atau sebaliknya.
Namun begitu pengalaman mekanisme ini harus didukungi dengan falsafah moral berasaskan kepada konsep Rukun Negara yang menyuburkan semangat kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negara ini.
Media yang gagal mempertaruhkan akauntabiliti dan peranannya dalam menyebar maklumat jujur kepada masyarakat akan dilabel sebagai "kepincangan media". Bentuk kepincangan media boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, termasuk:-
- Penindasan cerita penting, iaitu kepincangan media yang melibatkan sekatan berita penting yang mungkin menyusahkan atau merosakkan individu atau kumpulan tertentu. Ini boleh dilabelkan sebagai penindasan cerita yang mendedahkan kepincangan pengisahan cerita yang akhirnya menimbulkan anarki-anarki yang mengelirukan masyarakat;
- Manipulasi Maklumat yang merujuk kepada kepincangan media melibatkan manipulasi maklumat untuk melaporkan pelaporan berita yang berat sebelah atau mengelirukan masyarakat, termasuklah pelaporan maklumat terpilih, fakta yang diputarbelitkan atau rekaan cerita;
- Satu lagi penyakit mempertaruh rasuah untuk liputan berita yang menguntungkan organisasi media dengan berkompromi terhadap pelaporan bias, negatif atau bersifat fitnah yang akan merosakkan pemahaman dan persepsi masyarakat terhadap nilai pelaporan berita;
- Penggunaan media yang berniat mempamerkan propaganda jelik yang melibatkan organisasi media atau pihak-pihak tertentu menggunakan media bertujuan untuk memanipulasi pendapat umum atau mempromosikan ideologi negatif.
Kesan kepincangan peranan media terhadap masyarakat seperti ini sudah pasti akan menjelmakan kesan negatif kepada masyarakat, seperti menghakis kepercayaan terhadap kredibiliti media. Ini boleh membawa kepada kemerosotan kredibiliti kewartawanan.
Rasuah media sebegini akan merencatkan kefahaman dan kepercayaan masyarakat dengan penyebaran maklumat yang salah dan memesongkan pemahaman orang ramai tentang isu dan peristiwa penting, yang membawa kepada salah faham dan kepercayaan yang tidak betul.
Apabila peranan media korup, ia akan menjejaskan amalan demokrasi dengan memutarbelitkan wacana awam dan menghalang aliran maklumat yang tepat.
Lebih menyedihkan apabila kerosakan imej media dilihat boleh berlaku apabila amalan rasuah media berleluasa. Sebagai contoh, jika media dibayar untuk mempromosikan berita palsu atau dasar terpesong, ia boleh menjejaskan integriti pilihan raya dan proses demokrasi.
Sehubungan dengan ini, sistem pendidikan Islam di negara ini harus diperteguhkan dengan kombinasi kemajuan sains dan teknologi dan penekanan amalan masyarakat Islam memahami dan menghayati peranan serta tanggungjawab mereka kepada Allah, rasul dan ajaran Islam sebenar.
Pengamalan media dalam pendidikan Islam hari ini seharusnya menjadikan teknologi maklumat sebagai agen dakwah Islam yang efisyen dan berkesan untuk menghubung komunikasi sesama umat Islam di seluruh dunia.
Berdasarkan kepada konsep dan peranan yang dimainkan media Islam inilah, maka proses penyebaran maklumat dapat mengubah reaksi dan pemikiran umat Islam di negara ini yang lebih progresif.
Penerapan budaya ketamadunan Islam bersandarkan kepada teknologi media dan teknologi maklumat ini nanti akan menghimpun dan menyatupadukan umat Islam menghadapi pelbagai kemungkinan dan cabaran yang menguji kekuatan kita memelihara dan mempertahankan kesucian Islam.
Allah s.w.t dalam surah al-Ma’idah, ayat 2 mengingatkan manusia supaya sentiasa berbuat baik, sebagaimana yang dianjurkan dalam ayat tersebut yang bermaksud:
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong-menolong dalam perkara yang membawa dosa dan permusuhan.”
PENULIS, TS. DR. SYED AGIL ALSAGOFF merupakan Pensyarah Kanan Media dan Komunikasi Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.