fb fb fb fb fb

Kuasa pengguna mendepani ekonomi semasa

Foto hiasan/Bernama

SURAT PEMBACA

Isu kekurangan beras tempatan telah menjadi perdebatan hangat sehingga menimbulkan spekulasi negatif dalam kalangan pengguna. Kebimbangan terhadap  isu kenaikan harga barangan asas dan kekurangan bekalan sering memberi kesan langsung kepada kenaikan harga barangan lain yang turut menjejaskan emosi pengguna.  

Antara penyebab utama isu ini adalah berpunca daripada ketidaktentuan atau ketidakstabilan ekonomi dunia, kenaikan kos bahan import, peperangan, bencana alam dan kegagalan pemain industri mematuhi etika perniagaan sehingga meninggalkan kesan yang tidak sihat kepada kitaran stok (inventori) yang akhirnya terbeban kepada pengguna.

Namun, bagaimanakah kita sebagai pengguna perlu menghadapi caharan tersebut dan apakah kita harus menyerahkan sepenuhnya kepada tanggungjawab pihak berkuasa semata mata? Bagi golongan yang berkemampuan mungkin tidak begitu terkesan akan tetapi golongan rakyat marhaen tentunya merasai keperitan ini.

Kita perlu serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka mengikut lunas undang undang dengan segera. Antaranya melalui penguatkuasaan, kawalan penawaran dan permintaan, pemberian insentif skim khas kepada petani untuk meningkatkan pengeluaran hasil pertanian, menambah baik sistem rangkaian pembekalan dan peruncitan serta memantau harga barang kawalan. Pengguna perlu membantu melaporkan sebarang salah laku terhadap isu penawaran kepada pihak berkuasa.

Selain itu, kita sebagai pengguna harus memainkan peranan dengan pelbagai inisiatif. Antaranya kita perlu sentiasa peka dengan situasi politik, iklim dunia, perkembangan isu semasa termasuk bencana alam, gempa bumi, kemarau, banjir dan peperangan.

Ini semua memberi kesan terhadap bekalan import dan eksport negara terlibat sehingga menjejaskan rangkaian bekalan sumber di seluruh dunia termasuklah beras, minyak masak, bawang dan makanan asas lain.

Maka itulah kita perlu mewujudkan pelan kontingensi dalam pengurusan kewangan rumah tangga terutamanya dengan memberi keutamaan kepada perbelanjaan asas, membeli barangan dalam bentuk pukal dan ekonomikal.


Foto hiasan/Bernama

Pengguna perlulah mengawal bekalan stok keperluan asas dan tidak menunggu sehingga kehabisan bagi mengelakkan suasana pembelian panik. Mengawal pembaziran dan selalu bersyukur dengan nikmat Allah, rajin bersedekah lebih lebih lagi berkongsi rezeki dengan orang lain agar dikurniakan rezeki yang tidak disangka sangka.

Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Bandingan (derma) orang orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, setiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya. Dan Allah Maha luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi pengetahuanNya.” (Al Baqarah ayat 261).

Bagi tempoh jangka panjang, bidang pertanian moden perlu dipertingkatkan khususnya di kawasan perbandaran (urban farming) melalui kaedah hidroponik, penanaman berkelompok, mengoptimumkan tanah tanah terbiar dan menebus guna tanah agar tidak terlalu bergantung semata mata dengan bekalan di pasar awam selain dapat bertukar hasil tanaman dalam kalangan ahli kejiranan. Sekurang kurangnya perbelanjaan itu boleh digunakan untuk keperluan utama lain dan tidak terbeban dengan kenaikan harga dan kekurangan bekalan.

Kaedah pemakanan sihat perlu dipraktikkan secara konsisten bagi mengelak konsumsi secara berlebihan yang boleh memudaratkan kesihatan, selain menggalakkan makan sayur-sayuran, kerap besenam dan beribadah.

Pengguna boleh menunaikan hak mereka dengan membuat pilihan seperti mengurangkan membeli barangan terlalu mahal, menyediakan satu senarai semak barangan dan membuat tinjauan terlebih dahulu sebelum membuat pembelian.

Isu yang berlaku ini memberikan kita satu ikhtibar besar agar kita perlu sentiasa mensyukuri dan merasa cukup dengan nikmat Allah SWT.

Oleh yang demikian, jadilah pengguna matang dalam membuat pilihan supaya tidak dibebani kos sara hidup melampau. Gunakan kuasa anda sebagai pengguna bijak.  

SHAHRUL AMIR ABDUL RAHIM, KUALA LUMPUR

Media Baharu