fb fb fb fb fb

EASTS 2023 merealisasikan bandar mesra pengangkutan

Antara peserta persidangan Antarabangsa Eastern Asia Society for Transportation Studies (EASTS 2023) ke-15/Foto Penganjur

SAUDARA PENGARANG

Baru-baru ini, Bandaraya Shah Alam dibanjiri lebih 750 penggiat bidang pengangkutan dari 35 buah negara (Jepun, Taiwan, Filipina, Korea Selatan, China, Thailand, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam, Laos, Cambodia, Myanmar, India, Bangladesh, Sri Lanka, Pakistan, Nepal, Mongolia, Iran, Jordan, Australia, New Zealand, Austria, Jerman, Sudan, Amerika Syarikat, Sweden, United Kingdom, Perancis, Brazil, Tanzania, Nigeria, Ethiopia, Afghanistan) termasuk lebih 100 peserta dari Malaysia.

Mereka bersama-sama bertekad mencari penyelesaian kepada masalah pengangkutan semasa dan memastikan sistem pengangkutan terus berkesan pada masa hadapan demi membantu mencapai sasaran Pembangunan Lestari (SDG).  

Ke arah itu, Pertubuhan Bukan Kerajaan, Persatuan Sains Pengangkutan Malaysia atau Transportation Science Society of Malaysia (TSSM) menganjurkan Persidangan Antarabangsa Eastern Asia Society for Transportation Studies (EASTS 2023) ke-15.

Buat kali pertama, EASTS 2023 telah dianjurkan di Malaysia; acara dwitahunan yang pernah dianjurkan di beberapa negara.

Bertempat di MBSA Convention Centre dari 4 hingga 7 September 2023; Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil peranan sebagai hos bersama, dan disokong Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jabatan Kerja Raya, Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) dan selain Malaysian Institute of Road Safety (MIROS).

Acara itu turut mendapat sokongan beberapa universiti tempatan termasuk Universiti Malaya, Universiti Teknologi MARA, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Tunku Abdul Rahman, Universiti Utara Malaysia Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Universiti Sains Malaysia selain Malaysia Airlines dan Firefly sebagai rakan penerbangan rasmi.

Menariknya, seramai 24 orang ahli akademik wanita daripada 32 orang jawatankuasa induk menjadi tulang belakang persidangan yang dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr.-Ing Masria Mustafa, Pensyarah Pengajian Kejuruteraan Awam, Kolej Kejuruteraan UiTM.


Majlis Perasmian EASTS ke-15 di Shah Alam pada 4 September 2023/Foto Penganjur

Acara itu turut memecah rekod penganjuran persidangan EASTS daripada segi jumlah peserta, lebih 750 peserta berbanding 671 semasa EASTS ke-12 di Vietnam. Bilangan kertas kerja, 574 berbanding 535 kertas kerja di EASTS ke -8 di Surabaya.

Tahun ini juga menyaksikan acara itu dipengerusikan oleh wanita sejak kali pertama dianjurkan pada tahun 1995 bawah payung Eastern Asia Society for Transportation Studies (EASTS) yang ditubuhkan pada November 1994 dan berpangkalan di Jepun.

Terdapat 574 kertas lisan dan poster telah dibentangkan, melibatkan 104 sesi pembentangan oral dan poster.

Persidangan EASTS 2023 yang mengangkat tema Ke Arah Mobiliti Mampan, Pintar dan Berdaya atau Towards Sustainable, Smart and Resilient Mobility telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.

Pada majlis itu menyaksikan lebih sepuluh individu menerima anugerah khas daripada beberapa agensi termasuk Japan International Transport and Tourism Institute (JTTRI), Overseas Coastal Area Development Institute of Japan (OCDI), Takeuchi Yoshio Special Award, Korean Transport Institute (KOTI) Special Award for Mobility Transformation dan Yasoshima Yoshinosuke Prize.

Pemberi ucaptama, Professor Dato' Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah dari USM telah mencabar penggiat pengangkutan yang hadir supaya memastikan usaha penyelidikan mereka tidak hanya tamat dengan penerbitan dan pembentangan kertas kerja sahaja.

Beliau mahu hasil penyelidikan itu diterjemahkan kepada hasil berimpak tinggi seperti polisi baharu sekali gus membawa perubahan kepada dasar dan keputusan, penyelesaian baharu (terutamanya kepada masalah lama yang tegar), pengetahuan baharu, motivasi baharu, “enabler” baharu, terutamanya yang berteraskan teknologi untuk membantu sistem pengangkutan supaya lebih efisien dan selamat.

Semoga persidangan EASTS 2023 ini dapat memberi motivasi kepada semua penggiat bidang pengangkutan juga pihak industri untuk memberi impak yang diperlukan oleh negara peserta, juga untuk kesejahteraan tamadun manusia pada masa kini dan akan datang.

Oleh
Prof. Madya Dr. -Ing Masria Mustafa
Pengajian Kejuruteraan Awam, Kolej Kejuruteraan UiTM

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu