SAUDARA PENGARANG
Sekali lagi dunia hari ini dikejutkan dengan pelbagai berita sensasi yang mencetuskan penularan maklumat hasutan, fitnah dan kontroversi dalam media sosial. Peningkatan berterusan jumlah maklumat palsu di media sosial ini telah menjelmakan kebimbangan, ketakutan dan kegelisahan rakyat Malaysia berikutan penularan berita palsu kini semakin serius.
Apa yang boleh dipelajari daripada penularan maklumat dan keresahan orang ramai adalah mengenai tersebarnya berita-berita palsu yang memburukkan lagi keadaan. Boleh dikatakan kebanyakan berita mengenai situasi sebegini, terutamanya sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) baru-baru ini telah mencetuskan kontroversi dan tidak kurang juga mengundang kekeliruan orang ramai untuk mempercayai maklumat diperolehi.
Ini mengakibatkan kebanyakan pengundi tidak mahu mengundi atau enggan menunaikan tanggungjawab mereka memilih pemimpin di negeri-negeri terlibat; akhirnya mengakibatkan berlakunya kepincangan kesuburan demokrasi di negara ini.
Terbaharu, ratusan kes berita palsu tersebar di media sosial berkaitan dengan isu 3R (agama, raja dan kaum) telah dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan jenayah yang menyebabkan suasana panik dalam kalangan netizen.
Sudah pasti fenomena negatif dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab harus dibendung dengan penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas supaya perkara seumpama itu tidak berulang dan menganggu kesejahteraan masyarakat.
Terdahulu, kebanjiran berita-berita palsu mengenai kestabilan politik dan kesejahteraan masyarakat ini telah menimbulkan suasana panik mengundang isu kenaikan mendadak harga barangan harian, perkhidmatan malah ramai yang mengeluh kerana rakyat enggan berbelanja.
Hal ini disebabkan keraguan mereka terhadap isu ketidakstabilan politik negara yang digembar-gemburkan oleh pihak tidak bertanggungjawab di media massa.
Fenomena seumpama ini memberikan implikasi besar terhadap corak perlakuan individu atau masyarakat yang akan mengakibatkan keyakinan berita-berita palsu terhadap kerajaan di media sosial begitu ketara dan mempengaruhi pemikiran mereka dalam tempoh singkat.
Kemampuan kerajaan tangani isu
Dalam konteks yang lebih menyeluruh, penularan maklumat palsu menimbulkan kecelaruan dalam kalangan masyarakat disebabkan oleh lambakan ketidakpastian maklumat daripada pelbagai sumber yang diperolehi oleh masyarakat melalui banyak sumber media.
Kecelaruan maklumat ini lebih serius apabila maklumat-maklumat yang ditularkan di media-media sosial lebih bersifat sensasi dan menyaingi maklumat dari sumber berwibawa (iaitu sumber media yang diiktiraf oleh kerajaan).
Puncanya apabila pengguna lebih terdorong untuk mendapatkan berita dari laman-laman media sosial yang banyak memaparkan hal-hal sensasi sehinggakan menggelirukan pemikiran pengguna terutamanya berhubung penularan wabak atau bencana yang berlaku dalam atau luar negara.
Bayangkan sekiranya kandungan berita yang dihasilkan oleh penulis blog itu membuat pernyataan atau ulasan mengenai malapetaka tersebut dengan tidak tepat atau dikaitkan pula dengan fakta-fakta yang menggelirukan, sudah pasti pengguna akan mudah terpengaruh dengan diayah-diayah seperti ini.
Dalam hal ini, kerajaan harus mengambil inisiatif dengan mengumpulkan sumber-sumber maklumat daripada pelbagai agensi berkaitan termasuk pihak kementerian seperti Kementerian Komunikasi dan Digital, Kementerian Kesihatan dan sebagainya.
Pendek kata, hanya kerajaan,menerusi agensi pengumpulan dan penyebaran maklumat sepusat yang dikenal pasti akan menyalurkan sebarang maklumat tepat kepada masyarakat dari semasa ke semasa.
Ini penting kerana masyarakat menilai kewibawaan maklumat berdasarkan kepada fakta atau sumber boleh diyakini mereka, terutamanya apabila maklumat-maklumat tersebut disampaikan kepada mereka secara konsisten dari semasa ke semasa.
Pengawalseliaan kandungan terhadap penyaluran dan penyebaran maklumat daripada agensi kerajaan ini, harus dilakukan dengan tegas untuk memastikan maklumat tersebar itu tidak dimanipulasi atau disalah tafsir oleh pihak media.
Suatu sekretariat yang dilantik bertanggungjawab untuk menentu sahkan kesahihan maklumat yang diperolehi umum menerusi saluran media sosial harus memandu pengguna menggunakan satu portal yang menyajikan maklumat tepat, lengkap, pantas dan senang diakses oleh semua pengguna media.
Menerusi pendekatan ini juga, sekretariat tersebut boleh menyalurkan maklumat kepada pelbagai saluran media sosial seperti Facebook, Instragram, Tweeter dan tidak terhad kepada portal rasmi sahaja bagi memastikan penyaluran maklumat dapat dibuat secara berkesan, pantas dan memanfaatkan lebih banyak kelompok masyarakat.
Tidak hanya bergantung kepada tempoh masa lama, pengaliran berita semasa kepada pengguna seharusnya dilaksanakan dengan pantas dan konsisten tanpa membiarkan pengguna ternanti-nanti dan terdedah kepada rangkaian maklumat media alternatif yang boleh mengelirukan mereka.
Foto hiasan/RTM
Menilai keberkesanan maklumat
Dalam konteks komunikasi, penyebaran maklumat berasaskan sumber boleh dipercayai dan konsisten akan menghasilkan maklumat berwibawa dan diyakini oleh semua pengguna.
Sehubungan itu, suatu mekanisme yang membolehkan suatu bentuk penilaian ke atas penyaluran maklumat harus dibangunkan supaya pengaliran maklumat daripada satu sumber berwibawa yang dihasilkan oleh agensi kerajaan dapat dipantau keberkesanannya berdasarkan pengaruh dan populariti maklumat tersebut dalam kalangan pengguna.
Ia boleh dijadikan ukuran penilaian terhadap kemampuan dan kesediaan maklumat tersebut mempengaruhi pemikiran dan perlakuan pengguna dalam situasi-situasi kritikal.
Sememangnya bukan mudah untuk menyaingi kebanjiran maklumat-maklumat palsu dalam era media sosial pada masa kini. Namun, sekiranya satu pendekatan pendidikan etika media diterapkan kepada masyarakat, pengguna akan menilai kesahihan dan kewibawaan sesuatu maklumat itu berpunca daripada sumber yang telah ditentu sahkan oleh kerajaan atau agensi-agensi yang dipertanggungjawabkan.
Penyertaan pengguna dalam perkongsian maklumat daripada sumber berwibawa secara konsisten akan membantu keyakinan pengguna terhadap pengadaptasian maklumat yang mereka perolehi, terutamanya apabila mereka berdepan dengan ketidakpastian situasi bencana atau malapetaka yang berlaku hari ini atau pada masa akan datang.
Inilah tugas kritikal yang harus dipikul oleh agensi-agensi yang bertanggungjawab bagi menyalurkan maklumat tepat dan pantas kepada para pengguna untuk memberi gambaran sebenar isu-isu yang dihadapi oleh mereka pada setiap masa; semasa berlakunya situasi-situasi kritikal seumpama ini.
PENULIS, TS. DR. SYED AGIL ALSAGOFF merupakan Pensyarah Kanan Media dan Komunikasi Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.