SAUDARA PENGARANG
Tun Arshad Ayub, semasa hayatnya merupakan seorang yang percaya kepada peluang kedua dalam kehidupan dan nilai membalas budi, seperti kata pepatah Melayu. Legasi Tun Arshad, melalui Yayasan Arshad Ayub (Yayasan) yang ditubuhkan pada Mach 2008, telah memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan di Malaysia. Yayasan, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, berusaha untuk memberi impak yang ketara dalam kehidupan orang ramai melalui misinya.
Salah satu misi Yayasan adalah untuk memperkukuhkan pembangunan modal insan negara melalui beberapa inisiatif termasuklah memberi biasiswa kepada pelajar yang kurang berkemampuan. Yayasan merealisasikan hasrat Tun dengan memberi bantuan kewangan dan biasiswa kepada pelajar yang layak dan memerlukan bantuan, tanpa mengira bangsa, kepercayaan atau agama, untuk membolehkan mereka mencapai kecemerlangan dalam pendidikan atau kemahiran di peringkat pengajian tinggi atau mana-mana peringkat dalam negara.
Yayasan menyediakan pembiayaan yuran, buku teks dan keperluan akademik lain. Biasiswa dari Yayasan ini memberi peluang terutamanya kepada pelajar sekolah yang layak namun tidak mampu untuk melanjutkan ke pengajian tinggi.
Ini adalah cara untuk Tun Arshad menyatakan rasa terima kasih atas peluang dan nikmat yang diberikan kepadanya sepanjang perjalanan hidupnya. Usaha gigih beliau telah membuka jalan kepada penubuhan budaya kesarjanaan yang menekankan peluang sama rata untuk semua. Legasi itu kekal hingga ke hari ini.
Hasrat Tun Arshad yang terpuji bagi menyediakan pelajar yang kurang bernasib baik dalam akses kepada pendidikan berkualiti tercapai apabila Yayasan menganugerahkan dua biasiswa kepada penerima yang layak daripada kumpulan berpendapatan B40, berdasarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022. Inisiatif itu merupakan usaha meneruskan legasi Tun Arshad; misi sepanjang hayatnya adalah untuk memberi bantuan kewangan kepada pelajar tidak berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Biasiswa tersebut telah disampaikan kepada Farah Nadia binti Yusof dan Nurul Farhana binti Norizal oleh Tan Sri Dato’ Mohd Ibrahim Mohd Zain, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan, dalam satu majlis secara dalam talian. Anugerah tersebut menyerlahkan komitmen Yayasan untuk meningkatkan taraf sosioekonomi golongan kurang bernasib baik. Legasi Tun Arshad melalui Yayasan membolehkan ramai minda muda mencapai impian mereka melalui pendidikan.
"Matlamat kami adalah untuk mewujudkan laluan bagi individu berbakat ini untuk mengakses pendidikan tanpa dibebani oleh batasan kewangan," kata Tan Sri Ibrahim.
Tun Arshad Ayub, Tokoh pendidikan, pengarah pertama ITM Tun Arshad meninggal dunia pada 14 Jun 2022
Biasiswa Yayasan Arshad Ayub dianugerahkan kepada Farah Nadia binti Yusof, pelajar dari Pokok Sena, sebuah kampung kecil di Kedah dan Nurul Farhana binti Norizal dari Cheras, Kuala Lumpur. Farah mendapat 11A dalam SPM 2022. Berasal daripada keluarga pesawah, Farah sentiasa mengimpikan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan. Bagaimanapun, kekangan kewangan kelihatan tidak dapat diatasi. Menerusi biasiswa itu, pintu peluang terbuka luas untuk Farah Nadia, membolehkan beliau mendaftar dalam program FIA-ACCA yang terkenal di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Tapah, satu lagi kesinambungan legasi Tun Arshad yang menubuhkan Program Perakaunan di UiTM, dahulunya ITM, pada awal tahun 70-an.
Seorang lagi penerima biasiswa, Nurul Farhana binti Norizal mendapat 9A dan 1B+ untuk SPM 2022, dari Cheras dan bekas pelajar Sekolah SAM Sungai Merab Luar. Ibunya, Puan Suhaila Roslan, yang bekerja di sebuah restoran, mendengar tentang Yayasan Arshad Ayub daripada pelanggan restoran, lalu meminta anak perempuannya menghubungi Yayasan untuk bantuan. Farhana kini mengikuti program Bahasa Arab untuk Komunikasi Antarabangsa di Pusat Pengajian Asasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kampus Gambang. Farhana berminat untuk mengukir kerjaya dalam bidang diplomatik.
Biasiswa Yayasan Tun Arshad Ayub tidak terhad kepada satu bidang pengajian sahaja, malah merangkumi pelbagai disiplin, bagi memastikan pelajar dari semua lapisan masyarakat mendapat akses kepada pendidikan berkualiti. Biasiswa dalam pelbagai bidang, mencerminkan kepercayaan Tun Arshad terhadap kepentingan pendidikan bagi mengubah kehidupan dan membentuk masa depan lebih cerah untuk Malaysia.
"Warisan Tun Arshad Ayub adalah peringatan bahawa pendidikan bukan hanya pelaburan peribadi tetapi pelaburan kemasyarakatan. Dengan memberikan biasiswa kepada pelajar yang datang dari latar belakang ekonomi mencabar, Yayasan sedang melabur untuk masa depan negara kita. Pelajar-pelajar ini diharapkan akan menjadi pemimpin dan menyumbang kepada kemajuan Malaysia," tambah Tan Sri Ibrahim.
Farah Nadia Yusof dan Nurul Farhana Norizal antara Penerima Biasiswa Yayasan Arshad Ayub
Allahyarham Tun Arshad adalah seorang pemimpin yang berwawasan dan ahli pendidikan, dengan mendedikasikan hayatnya untuk memecahkan batu penghalang bagi pelajar yang kurang bernasib baik untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi kerana kekangan kewangan.
Legasi Tun Arshad itu diteruskan menerusi Yayasan bagi menghormati komitmennya terhadap pendidikan. Ia direalisasikan menerusi kerjasama dengan pelbagai institusi tempatan yang akan mengenal pasti dan menyokong pelajar cemerlang dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah.
Oleh
Asma Razak
Penulis bebas