fb fb fb fb fb

Pelarian di Yaman merayu, merintih & menangis minta bantuan

Foto Serantau Muslim

SAUDARA PENGARANG

Situasi kesihatan di Yaman kian kritikal apabila hampir 17.4 juta rakyat di negara itu memerlukan bantuan perubatan berikutan krisis perang saudara yang berlarutan sejak akhir 2014.

Di Marib sahaja terdapat 196 kem menempatkan lebih dua juta pelarian yang tinggal di wilayah itu. Mereka tidak mempunyai ruang dan peluang untuk mendapatkan akses perubatan yang mencukupi.

Hospital di Marib tidak mampu menampung keperluan penduduk asal Marib, maka jauh sekali ruang dan peluang para pelarian untuk mendapatkan rawatan kesihatan.

Mereka terpaksa bergantung harap kepada sumbangan perubatan daripada masyarakat antarabangsa yang prihatin termasuklah rakyat Malaysia.

Menerusi Misi Kemanusiaan Untukmu Yaman, Serantau Muslim telah melaksanakan program Mobile Clinic atau klinik bergerak di kem pelarian Yaman untuk tempoh beberapa hari selain menyumbang bekalan perubatan bernilai RM37,000.

Buat makluman, Mobile Clinic ini hanya akan beroperasi apabila mendapat sumbangan daripada badan bukan kerajaan dan para penyumbang dermawan.

Mobile Clinic ini adalah satu keperluan mendesak, kerana pelarian-pelarian yang ada tidak mempunyai peluang dan cara lain untuk mereka bertemu doktor, mendapatkan rawatan dan menerima ubat diperlukan.

Disebabkan itu, ramai dari kalangan pelarian khususnya kanak-kanak dan orang tua menghidap pelbagai penyakit kronik. Tiada pilihan, pelarian Yaman ini terpaksa redha dan pasrah menerima takdir kematian kerana mereka tidak mampu membuat apa-apa disebabkan kekangan kewangan dan ketiadaan fasiliti kesihatan serta perubatan.


Foto Serantau Muslim

Semasa kami mengadakan program Mobile Clinic di sebuah kem pelarian Yaman di Marib, kami telah diserbu pelarian yang ingin mendapatkan rawatan.

Angka kehadiran pelarian melebihi keperluan perubatan yang kami mampu berikan. Ramai yang menangis, merintih, dan merayu agar mereka diberi peluang untuk mendapatkan rawatan.

Mereka sanggup menunggu di tengah-tengah panas demi mendapatkan rawatan kesihatan. Amat menyedihkan apabila ada pelarian tidak terpilih untuk mendapatkan rawatan kerana kami terpaksa mengehadkan bilangan disebabkan jumlah pelarian yang ingin mendapatkan rawata terlalu ramai.

Namun, kami cuba sedaya upaya dengan kekangan yang ada untuk memberi peluang kepada semua yang hadir untuk bertemu dengan doktor dan menerima ubat.

Bukan sahaja orang-orang tua, malah anak-anak kecil dan bayi berebut-rebut mahu mendapatkan rawatan.

Inilah realiti yang sedang berlaku di dalam negara Yaman yang ramai tidak tahu. Mereka terdesak untuk meneruskan kehidupan, mereka menjadi pelarian dalam negara mereka sendiri.

Justeru, Malaysia harus turut membantu atas dasar tanggungjawab kemanusiaan. Malah agama kita, Islam mengajar untuk memberi tanpa menghakimi atau prejudis. Sedekah itu pengubat tekanan jiwa, melapangkan hati dan menghapuskan kegelisahan diri.

Kita memberi bukan kerana kita kaya tetapi Allah telah memilih kita untuk menyahut seruan-Nya sebagaimana ayat berikut:

Surah Al Baqarah Ayat 262
"Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut-nyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati."

Terima kasih atas sokongan anda, jom kita bantu Yaman.

Oleh
Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki
Ahli Misi Kemanusiaan Untukmu Yaman
Duta Rasmi Serantau Muslim
Pendakwah TV dan Radio

Media Baharu