fb fb fb fb fb

PRK Sg. Bakap: Siapa pilihan pengundi antara pendidik dan penerus legasi?

Calon PH Dr Joohari Ariffin (kanan) bersama calon PN Abidin Ismail ketika hadir bertemu para peniaga di Pasar Malam Taman Puteri Gunung sempena kempen PRK Sungai Bakap/Foto Bernama.

SAUDARA PENGARANG

Tinggal sehari lagi pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap akan membuat pilihan pemimpin yang akan mewakili mereka bagi kawasan N.20 Sungai Bakap iaitu esok, Sabtu 6 Julai 2024.

Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini memperlihatkan pertarungan satu lawan satu, menampilkan calon daripada Pakatan Harapan (PH) Cikgu Joohari dan Perikatan Nasional (PN) Abang Abidin.

Pada PRU Negeri sebelum ini, DUN Sungai Bakap telah dimenangi oleh calon Perikatan Nasional iaitu Almarhum YB Abang Zam dimana kemenagan beliau keatas calon Pakatan Harapan iaitu Puan Nur Hidayah, gagal mempertahan kerusi tradisi bagi Parti Keadilan Rakyat / Pakatan Harapan. Namun, kematian YB Abang Zam telah membenarkan pilihan raya kecil diadakan.

Pertembungan yang kini menjadi elclásico dalam kancah politik dinihari sudah pasti menjadi perhatian bagi seluruh rakyat Malaysia secara amnya. Buat sementara Sungai Bakap menjadi tumpuan bagi jentera parti dari seluruh negara. Sudah pasti pelbagai bentuk kempen dan cara untuk meraih undi bagi calon masing-masing.

Sepanjang lebih seminggu tempoh kempen dilaksanakan pelbagai isu dan polemik muncul daripada kedua-dua parti, masing-masing menampilkan kreativiti yang pelbagai dalam usaha menambat hati pengundi bagi memilih mereka sebagai ahli yang berhormat bagi kawasan mereka. Kedua-dua calon mempunyai kekuatan masing-masing untuk ‘dijual’ kepada para pengundi mereka.

Cikgu Joohari sebagai sosok seorang guru, seorang pendidik dan mempunyai latar yang baik agamanya cukup memberi dilema kepada calon daripada PN iaitu Abang Abidin yang mana sudah berhadapan dengan pelbagai isu usai daripada pengumuman beliau sebagai calon PN.

Dalam cubaan menampilkan calon ‘profesional’ PN telah menyatakan beberapa keraguan profil calon yang dipersoalkan banyak orang dan sudah pasti menjadi objek serangan daripada PH.

Pemerhatian di media sosial juga memperlihatkan kedua-dua calon memanfaatkan sebaiknya ruang dalam meraih undi anak muda dan cubaan memberikan imej yang baik kepada awam dengan pelbagai idea penyampaian, suntingan video pendek berkenaan aktiviti kempen harian seperti ziarah, bersalaman, berjumpa dan menyertai aktivit masyarakat setempat.

Kedua-dua mereka dilihat setara dalam media sosial namun terdapat sedikit kelebihan kepada Cikgu Joohari kerana mesej perpaduan yang dibawa menjadikan ianya lebih diikuti oleh mereka yang terdiri daripada pelbagai latar masyarakat walaupun Abang Abidin mempunyai lebih ramai pengikut di media sosial.

Dalam kempen harian, berdasarkan pemerhatian imej Cikgu Joohari dilihat lebih diterima masyarakat memandangkan sosok beliau sebagai seorang guru dilihat lebih mudah menelusur kepada mereka di bawah.

Beliau sangat mudah bergaul, tambahan pula hampir setiap hari beliau akan berjumpa dengan anak muridnya sendiri, rata-rata mereka bangga dengan pencalonan beliau.

Abang Abidin pula dilihat bermula sukar kerana beliau dilihat sebagai pengganti kepada almarhum Abang Zam, dan itulah yang "diimejkan" kepada Abang Abidin sebagai penerus legasi Abang Zam dengan membawa nama ‘abang’ yang dilihat lebih mesra dan santai.

Namun pembawakan tersebut memberi sedikit dampak negatif apabila ada yang membandingkan karakter antara Abang Abidin dan Abang Zam. Sudah pasti ini adalah cabaran yang perlu dihadapi oleh calon daripada PN ini.

Serangan peribadi pada kali ini kita boleh lihat agak kurang berbanding PRK lain. Hal ini kerana masing-masing punya kekuatan tersendiri. Sekiranya calon PH hendak diserang berkenaan latar pendidiakn dan agama agak sukar kerana Cikgu Joohari memiliki gelaran Doktor Falsafah namun panggilan cikgu yang kelihatan lebih sinonim dengan diri beliau.

Latar keagamaan beliau juga baik kerana beliau merupakan anak kepada imam disebuah masjid di Sungai Bakap. Anak beliau juga merupakan seorang da’ie yang begitu dikenali dan sering muncul dikaca televisyen.

Begitu juga Abang Abidin, tidak banyak serangan peribadi boleh dibuat kepada beliau. Hanya isu yang hangat, itu pun pada awal kempen; berkenaan kelayakan yang dilihat tidak tepat namun telah pun dijawab.

Beliau yang menyandang kerja Abang Zam dilihat punya kelebihan kerana sering bersama Almarhum Abang Zam dalam kempen PRU Negeri sebelum ini dan telah berkhidmat sepanjang tempoh sebelumnya.

Pelbagai faktor dan aspek mampu dilihat untuk dijadikan penanda aras dalam memilih Ahli Yang Berhormat bagi DUN Sungai Bakap kali ini. Sudah pasti yang hendak dipilih adalah mereka yang mampu menyuarakan isu setempat dan menyelesaikan isu dihadapi.

Adakah pemimpin berjiwa pendidik atau pemimpin penerus legasi menjadi pilihan? Justeru pengundi Sungai Bakap mempunyai tanggungjawab menentukan pemimpin kalian, esok (Sabtu, 6 Julai 2024). Pilih pemimpin mengikut kekuatan dan kapasiti bukan mengikut emosi, maka selamat mengundi.

PENULIS H.AHMAD, Pengarah Stategik Akademi Pendidikan Demokrasi & Kewarganegaraan Malaysia (APDK).

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM

MAT YUNUS BIN SABRI