fb fb fb fb fb

Peranan pemimpin mewujudkan rasa selamat secara psikologi, pacu produktiviti organisasi

Produktiviti di tempat kerja merupakan perkara yang menjadi fokus utama setiap majikan / Foto Hiasan

SAUDARA PENGARANG

Produktiviti di tempat kerja merupakan perkara yang menjadi fokus utama setiap majikan. Banyak kajian dilakukan untuk mengenal pasti perkara yang menyumbang kepada peningkatan produktiviti lebih-lebih lagi suasana kerja selepas COVID-19.

Antara faktor yang dikenal pasti adalah rasa selamat dari segi psikologi sewaktu bekerja dan ia dikenali sebagai ‘Psychological Safety’ atau Keselamatan Psikologi.

Rasa selamat dari segi psikologi ini sebenarnya perlu di wujudkan di semua tempat termasuklah di rumah, kawasan membeli belah, kawasan perumahan dan juga di tempat kerja.

Apa yang dimaksudkan dengan Keselamatan Psikologi di tempat kerja?
Ianya merupakan kepercayaan bahawa sebagai seorang pekerja, anda tidak akan dihukum, dimalukan atau dihina hanya kerana bercakap tentang idea yang berbeza dari ketua atau melontarkan soalan kepada pandangan yang diberikan oleh rakan sekerja yang lain. Ianya juga satu perasaan selamat dari rasa bimbang sekiranya melakukan kesilapan.

Dalam konteks kerja, berada dalam satu pasukan memerlukan setiap ahli faham bahawa mereka boleh mengeluarkan pendapat, tidak bersetuju dengan idea orang lain dan meluahkan rasa tersebut secara profesional, mereka juga sedar bahawa mereka tidak akan dimarahi atau diambil tindakan hanya kerana pandangan mereka yang berbeza. Di sinilah peranan besar yang perlu dilaksanakan oleh pemimpin sesebuah organisasi.

Selaku pemimpin, mereka perlu memahami apa makna keselamatan psikologi pekerja, bagaimana ianya memberikan impak yang positif kepada pekerja dan apakah kaedah terbaik untuk membugarkan suasana tersebut di dalam organisasi. Pemimpin boleh membina keselamatan psikologi dengan mewujudkan iklim serta minda dan tingkah laku yang betul dalam pasukan mereka.

Berdasarkan pengalaman beberapa organisasi seperti McKensy, pemimpin yang berupaya mewujudkan ekosistem selamat bukan sahaja bertindak sebagai pemangkin, mereka juga memperkasa dan melahirkan pemimpin lain dalam pasukan.

Pemimpin yang begini, walaupun mereka tidak mempunyai kuasa secara total tetapi mereka boleh menjadi pencetus dalam membantu memupuk suasana selamat secara psikologi di tempat kerja.

Pendekatan yang dilakukan adalah dengan menjadikan diri mereka sendiri selaku model untuk dijadikan contoh dan mengukuhkan tingkah laku yang mereka harapkan daripada seluruh pasukan dengan memberi pujian, pengiktirafan dan sebagainya (mengikut kreativiti pemimpin) untuk mengekalkan momentum yang wujud.

Pemimpin yang terlatih secara holistik dan memahami kepentingan rasa selamat di tempat kerja sedar bahawa iklim pasukan yang positif ialah pemacu keselamatan psikologi yang paling penting.

Terdapat tiga perkara boleh dilakukan bagi mewujudkan suasana ini, pertama, pemimpin menunjukkan tingkah laku yang menyokong percambahan idea, pemikiran kritis dan perbezaan pendapat yang konstruktif.

Kedua, pemimpin yang membuka ruang untuk berunding. Suasana ini perlu bagi meredakan rasa tidak puas hati ataupun meminimumkan konflik antara majikan dan pekerja atau pekerja dan pekerja serta yang ketiga memberikan cabaran kepada ahli pasukan mereka untuk melakukan yang terbaik.

Dapatan kajian berkaitan organisasi yang berjaya menunjukkan organisasi yang melabur dalam pembangunan kepimpinan berkemungkinan besar turut melaporkan mempunyai ekosistem kerja yang positif dan juga peningkatan dari segi produktiviti.

Daripada dapatan ini, jelas menunjukkan bahawa, pelaburan kepada latihan kepimpinan untuk mewujudkan ekosistem yang selamat secara holistik merupakan pelaburan penting yang perlu diambil secara serius oleh semua majikan.

Ini kerana, jika pekerja berasa selesa untuk meminta bantuan, berkongsi cadangan secara tidak rasmi, atau mencabar status quo tanpa rasa takut terhadap akibat sosial yang negatif, organisasi lebih cenderung untuk berinovasi dengan cepat, memberi ruang kepada kepelbagaian dalam konteks pelaksanaan kerja dan idea baharu serta dapat menyesuaikan diri dengan baik untuk perubahan.

Kesemua ciri yang disebutkan merupakan satu kemahiran yang hanya dapat berkembang apabila wujudnya keselamatan psikologi di tempat kerja.

Tidak dinafikan faktor lain seperti infrastruktur di tempat kerja, beban kerja yang bersesuaian, gaji yang bermaruah dan insentif yang bersesuaian juga berperanan dalam memberikan rangsangan kepada pekerja untuk menjadi lebih produktif.

Bagaimanapun impak yang mampu dihasilkan dari keselamatan psikologi yang dirasai oleh pekerja merupakan sesuatu yang tidak boleh dikesampingkan kerana ia mampu memberikan kesan berganda kepada produktiviti kerja.

Antara impak penting serta sangat diperlukan yang terhasil adalah; Pembentukan minda positif dan Tingkah laku yang betul. Kedua-dua ini merupakan tunjang kepada satu ekosistem kerja yang baik yang diperlukan oleh sesebuah organisasi namun begitu kebanyakan organisasi masih mencari formula yang tepat untuk mendapat pekerja yang begini.

Secara asanya terdapat, lima langkah yang boleh diambil untuk memupuk keselamatan psikologi di tempat kerja:

  • Wujudkan budaya komunikasi yang terbuka dan hormat-menghormati.
  • Bersikap telus untuk membina kepercayaan.
  • Tetapkan jangkaan yang jelas.
  • Tukar cara berfikir mengenai kegagalan dan kesilapan dengan menjadikan kedua-duanya sebagai peluang untuk pembelajaran dan perkembangan kerjaya.
  • Ambil pendekatan menyokong dan berunding antara kedua-dua pihak; majikan dan pekerja.

Justeru, rasa selamat dari segi psikologi perlu ada di setiap organisasi untuk setiap pekerja rasa setiap hasil kerja mereka dihargai seterusnya mereka mampu untuk memastikan hasil kerja yang kreatif, inovatif dan produktif, dan optimum untuk organisasi di mana mereka bekerja.

Suasana ini juga boleh diaplikasikan oleh setiap pemimpin dan dalam pelbagai keadaan seperti rumah dan negara dalam memastikan satu ekosistem yang kondusif untuk melahirkan individu yang lebih kreatif, inovatif dan produktif.

PENULIS PROFESOR DR. HASLINDA ABDULLAH merupakan Pengarah di Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), UPM dan boleh dihubungi menerusi 019-3762293 atau email ke Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahupun pendirian rasmi RTM.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN