SAUDARA PENGARANG
Sumber manusia adalah aset bagi mana-mana organisasi, swasta mahupun kerajaan. Di mana wujudnya “manusia”, maka disitulah wujudnya keperluan ilmu mengurus dan membangunkan sumber manusia.
Justeru, dalam apa jua konteks organisasi, ilmu pengurusan dan pembangunan sumber manusia perlu dikuasai oleh semua ahlinya, bukan hanya terhad kepada pengamal bidang.
Bidang pembangunan sumber manusia yang pada asasnya terbentuk hasil daripada integrasi bidang ekonomi, psikologi, dan sistem, serta beralaskan prinsip amalan kerja beretika, mencerminkan komponen asas yang perlu wujud dalam pembentukan sesebuah organisasi.
Sesebuah organisasi boleh terbentuk dengan hanya adanya sekurang-kurangnya dua individu yang mempunyai matlamat sama untuk dicapai. Ia tidak memerlukan
bangunan dan teknologi canggih untuk dibentuk.
Namun, semua komponen di atas akan wujud secara automatik, tidak kira apa jua jenis organisasi termasuk sekolah, hospital, syarikat swasta dan sebagainya. Sebagai contoh, sekolah mempunyai sistem pentadbiran (sistem) sistematik bermula dengan pengetua sekolah, guru penolong kanan, guru panitia dan guru-guru.
Guru-guru di sekolah saling berinteraksi (contoh., mengajar, bertukar pandangan, menyediakan nota pengajaran) bagi mencapai matlamat sekolah. Pihak pentadbir sekolah seperti pengetua perlu memainkan peranan (contoh., mengamalkan sistem penilaian prestasi yang adil, komunikasi membina) bagi meningkatkan tahap kepuasan kerja (psikologi) para guru.
Selain itu, bagi sekolah, pelajar adalah klien. Justeru, guru-guru perlu mengambil kira keperluan pelajar dalam memastikan keberkesanan proses pengajaran (ekonomi). Elemen ekonomi bukanlah hanya terhad kepada elemen kewangan, malah elemen kemenjadian murid, juga boleh dianggap elemen ekonomi dalam konteks sekolah.
Bidang Sumber Manusia memfokus kepada empat amalan utama iaitu latihan dan pembangunan, pembangunan organisasi, pembangunan kerjaya, dan pembangunan masyarakat. Ke semua amalan ini adalah syarat bagi sesebuah organisasi untuk terus kekal beroperasi dengan efektif.
Syarikat swasta pada kebiasaannya mempunyai jabatan sumber manusia khusus yang berperanan merancang dan mengendalikan ke semua fungsian bidang pembangunan sumber manusia bermula dari hari pertama seseorang pekerja bekerja sehingga hari terakhir pekerja berkenaan bekerja di organisasi tersebut.
Bilangan pegawai sumber manusia dirancang mengikut keperluan khusus pekerja dalam syarikat. Disebabkan itulah, fungsi pengamal pembangunan sumber manusia di lihat sangat jelas dalam sektor swasta.
Namun, bagi sektor perkhidmatan awam berskala besar yang menawarkan perkhidmatan perlu dan kritikal serta berasaskan profesion khusus seperti perguruan dan kesihatan; secara umumnya adalah bawah teraju Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Dalam konteks perkhidmatan awam, pegawai di JPA berperanan sebagai pengamal pembangunan sumber manusia. Untuk memudahkan pelaksanaan polisi peraturan penjawat awam dan disesuaikan dengan konteks profesion, setiap kementerian seterusnya menubuhkan jabatan atau bahagian sumber manusia masing-masing (contoh., Bahagian Sumber Manusia, KPM dan Bahagian Sumber Manusia, KKM) di peringkat kementerian dan seterusnya di peringkat negeri.
Pada peringkat ini, masih terdapat pembahagian tugas yang ketara di antara pengamal sumber manusia dengan pengamal profesion. Namun, kerjasama erat antara pengamal sumber manusia dengan pengamal profesion akan meningkatkan keberkesanan perkhidmatan yang diberikan.
Namun, diperingkat organisasi asas perkhidmatan seperti sekolah dan hospital, fungsi pembangunan sumber manusia (contoh., penentuan keperluan guru dan doktor, pengurusan konflik dalaman, keperluan latihan, mengurus perubahan, pembelajaran di tempat kerja, penilaian prestasi) bukan lagi dilaksanakan pengamal sumber manusia, namun ianya dilaksanakan oleh pegawai dalam profesion berkenaan (contoh., guru dan doktor).
Dalam seting sebeginilah ilmu pembangunan sumber manusia sangat penting untuk dipelajari oleh pegawai profesion yang bukan pengamal bidang sumber manusia. Guru adalah pakar dalam mengajar murid-murid dan mereka adalah pakar dalam hal berkaitan tugas mereka secara individu.
Namun, sekiranya mereka memegang jawatan pengurusan di sekolah, seperti ketua panitia atau guru besar/pengetua, mereka bukan hanya perlu menguasai bidang pengajaran, malah ilmu pengurusan dan pembangunan sumber manusia bagi memastikan guru-guru sentiasa bermotivasi meneruskan kecemerlangan dalam semua aspek pengajaran.
Secara kesimpulannya, bidang pembangunan sumber manusia bukan hanya diperlukan oleh pengamal bidang, malah turut penting bagi mereka yang memegang jawatan pengurusan di mana-mana organisasi. Ilmu pengurusan sumber manusia dapat membantu meningkatkan keberkesanan pentadbiran dan pengurusan, dan seterusnya dapat meningkatkan prestasi organisasi secara keseluruhannya.
PENULIS DR. SITI NOORMI ALIAS, Pensyarah Kanan Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM. Boleh dihubungi melalui e-mel
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.