SAUDARA PENGARANG
Belanjawan 2025 yang dibentangkan baru-baru ini menekankan usaha-usaha penting ke arah pembangunan ekonomi secara inklusif dan berdaya tahan serta komitmen memperkukuh sistem pentadbiran lebih cekap.
Menerusi tumpuan kepada tanggungjawab fiskal, pengurusan hutang dan penyasaran subsidi, belanjawan ini memberi fokus terhadap kesejahteraan rakyat dan reformasi institusi kerajaan. Namun, apa yang menarik adalah untuk meneliti ke semua langkah ini dari perspektif Syariah dan Undang-Undang.
Penyasaran subsidi dan tanggungjawab sosial
Salah satu isu yang dibangkitkan dalam Belanjawan 2025 ialah penyasaran subsidi secara bersasar. Subsidi untuk elektrik, diesel dan petrol akan disesuaikan supaya lebih memberi manfaat kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan.
Ini bermakna subsidi hanya akan disalurkan kepada 85% rakyat yang berada dalam kategori berpendapatan rendah dan sederhana manakala golongan berpendapatan tinggi akan menanggung kos tanpa subsidi.
Dari perspektif syariah, langkah ini selari dengan prinsip keadilan dan ihsan (al-'adl wal ihsan). Dalam Islam, keadilan menuntut agar bantuan diberikan berdasarkan keperluan dan bukan kelebihan. Oleh itu, subsidi bersasar ini adalah satu langkah tepat untuk memastikan tiada pembaziran sumber negara dan golongan yang memerlukan mendapat hak sewajarnya.
Bagaimanapun, pelaksanaan penyasaran subsidi ini perlu dipantau rapi agar tidak menjejaskan golongan yang berpendapatan rendah. Sistem pengagihan subsidi juga perlu telus dan menekankan kebajikan rakyat, selaras dengan semangat maqasid Syariah yang berusaha untuk memelihara kesejahteraan umat.
Oleh itu, penting bagi kerajaan untuk mengadakan mekanisme pemantauan berkesan, seperti menggunakan teknologi digital untuk memastikan subsidi hanya disalurkan kepada mereka yang benar-benar layak.
Sistem verifikasi yang telus dan tidak membebankan adalah kunci dalam menjayakan usaha ini, supaya ketirisan dapat dikurangkan dan kebajikan rakyat lebih terjamin.
Selain itu, kerajaan juga perlu bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat untuk memastikan penyasaran subsidi mencapai sasarannya. Menerusi penglibatan komuniti, penyasaran subsidi dapat dilakukan dengan lebih tepat dan efektif.
Pendekatan yang bersifat lebih holistik ini akan memastikan bahawa bantuan tidak hanya bersifat sementara, tetapi juga menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup dan pengurangan kadar kemiskinan secara menyeluruh.
Reformasi perundangan dan penguatkuasaan antirasuah
Dalam usaha memperkukuh ketelusan dan integriti pentadbiran, Belanjawan 2025 turut memberikan perhatian terhadap reformasi perundangan dan inisiatif antirasuah. Peruntukan untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta cadangan untuk memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat dan RUU Perolehan Kerajaan menunjukkan komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan tatakelola dan ketelusan perkhidmatan awam.
Langkah-langkah ini diambil untuk memastikan bahawa pentadbiran awam tidak terjebak dengan elemen rasuah yang boleh merosakkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.
Dari perspektif undang-undang Syariah, usaha untuk mengekang rasuah adalah wajib kerana rasuah merupakan perbuatan yang diharamkan dan boleh merosakkan sistem keadilan. Prinsip amanah dan akauntabiliti dalam Islam sangat dititikberatkan dan inisiatif kerajaan ini adalah langkah penting untuk memastikan sumber negara digunakan dengan cara yang betul dan tidak disalahgunakan oleh pihak tertentu.
Islam menekankan bahawa amanah yang diberikan oleh rakyat kepada pemimpin mesti dipelihara dengan penuh tanggungjawab dan sebarang bentuk penyelewengan dianggap sebagai pengkhianatan terhadap kepercayaan tersebut.
Selain itu, Belanjawan 2025 juga menekankan reformasi perundangan yang melibatkan lebih 3,000 undang-undang lapuk termasuk Akta Kontrak 1950. Reformasi ini bertujuan untuk memastikan undang-undang sedia ada kekal relevan dengan keperluan semasa dan sesuai dengan konteks sosio-ekonomi negara yang semakin berkembang.
Dari perspektif undang-undang Syariah, reformasi ini adalah perlu bagi memenuhi prinsip maslahah (kemaslahatan) dan mencegah mafsadah (kemudaratan) kepada masyarakat. Pengemaskinian undang-undang ini juga akan membantu meningkatkan daya saing negara dalam menarik pelaburan asing dan mempermudah urusan perniagaan yang akhirnya memberi manfaat kepada ekonomi negara.
Untuk memastikan reformasi ini berjaya, kerajaan juga perlu melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pakar undang-undang, ahli akademik dan masyarakat sivil. Pendekatan inklusif ini akan memastikan bahawa undang-undang yang diperkenalkan bukan sahaja relevan tetapi juga diterima oleh masyarakat.
Kejayaan reformasi perundangan ini juga akan memberi kesan positif terhadap peningkatan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara yang mana ini merupakan elemen penting dalam memastikan keharmonian dan kestabilan sosial.
Pengurusan hutang dan fiskal berhemat
Kerajaan turut menekankan tentang pengurusan fiskal dan hutang yang lebih berhemat dengan unjuran defisit fiskal pada kadar 3.8% pada tahun 2025. Dalam Islam, pengurusan kewangan yang berhemah adalah amat penting untuk memastikan sumber kewangan negara tidak dibazirkan dan hutang tidak membebankan generasi akan datang.
Prinsip pengurusan kewangan dalam Islam juga menuntut agar negara mengelakkan amalan boros (tabzir) dan menunaikan tanggungjawab kewangan dengan bijaksana.
Kerajaan juga mengambil langkah menggabungkan entiti kerajaan dengan fungsi yang hampir sama bagi memastikan keberkesanan pentadbiran dan mengelakkan pembaziran sumber. Dari perspektif Syariah, inisiatif ini bertepatan dengan prinsip efisien dan amanah di mana setiap sumber yang dimiliki harus digunakan dengan sebaik-baiknya bagi mencapai kebaikan umum (maslahah 'ammah).
Langkah ini juga menunjukkan komitmen kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu seterusnya memastikan bahawa dana awam digunakan secara berkesan untuk manfaat rakyat. Dalam konteks ini, perancangan kewangan yang strategik dan teliti adalah sangat penting.
Kerajaan perlu memastikan bahawa setiap perbelanjaan mempunyai justifikasi yang jelas dan memberikan impak yang positif kepada rakyat. Sebagai contoh, pengurangan kadar defisit fiskal adalah satu langkah yang penting bagi memastikan kestabilan kewangan negara seterusnya meningkatkan keyakinan pelabur dan menjadikan ekonomi negara lebih kompetitif.
Langkah-langkah ini adalah sejajar dengan prinsip Syariah yang menekankan keadilan ekonomi dan keseimbangan dalam penggunaan sumber.
Pembangunan industri halal dan waqaf
Belanjawan 2025 juga memberi perhatian terhadap pembangunan industri halal dan tanah waqaf. Langkah ini adalah sangat penting dalam memastikan ekonomi Islam berkembang secara holistik dan memberikan impak yang positif kepada masyarakat.
Pembangunan industri halal bukan sahaja akan memberi manfaat dari segi ekonomi tetapi juga akan memastikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan mematuhi piawaian Syariah yang menjadi keperluan bagi umat Islam.
Selain itu, peruntukan untuk pembangunan tanah waqaf juga adalah satu langkah sangat dialu-alukan. Dalam konteks syariah, waqaf merupakan satu bentuk derma kekal yang memberi manfaat kepada masyarakat dalam jangka masa panjang.
Oleh itu, usaha kerajaan untuk memanfaatkan tanah waqaf bagi tujuan pembangunan adalah langkah yang baik dalam memastikan aset waqaf dimanfaatkan secara optimum dan dapat membantu membangunkan ekonomi umat Islam di negara ini.
Pembangunan tanah waqaf boleh dilihat sebagai satu cara untuk memperkukuhkan ekonomi masyarakat Islam, terutama dalam sektor perumahan, pendidikan dan kesihatan. Menerusi pengurusan waqaf yang cekap dan berkesan, banyak masalah sosial dapat diselesaikan termasuk menyediakan perumahan mampu milik dan kemudahan kesihatan yang berkualiti.
Oleh itu, usaha untuk memperkasakan institusi waqaf perlu diberi keutamaan agar ia dapat berfungsi sebagai alat untuk pembangunan sosio-ekonomi yang berterusan.
Peranan kerjasama awam-swasta dalam pembangunan
Belanjawan 2025 turut menekankan pentingnya kerjasama awam-swasta dalam pembangunan negara. Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang diperkenalkan bertujuan meningkatkan pelaburan swasta sehingga RM78 bilion dan menjana 900,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2030. Inisiatif ini amat selaras dengan konsep mudharabah dalam sistem kewangan Islam di mana kerjasama antara dua pihak yang saling melengkapi akan membawa manfaat bersama dan mengurangkan risiko.
Namun, bagi memastikan kerjasama ini benar-benar berkesan dan berlandaskan prinsip Syariah, perlulah ada perjanjian yang jelas mengenai hak dan tanggungjawab kedua-dua pihak serta pembahagian keuntungan dan risiko yang adil. Ini penting bagi memastikan bahawa setiap pihak tidak dipinggirkan dan kerjasama yang dijalankan adalah berlandaskan keadilan dan kejujuran.
Dalam konteks ini, adalah penting bagi kerajaan untuk memastikan bahawa pelaburan swasta yang dijalankan tidak hanya memberi manfaat kepada segelintir pihak sahaja tetapi turut memberi impak positif kepada masyarakat secara keseluruhan.
Kerjasama ini juga harus menekankan aspek pembangunan modal insan di mana pekerja tempatan diberi latihan dan kemahiran yang diperlukan untuk bersaing dalam industri. Ini selaras dengan prinsip Syariah yang menekankan pentingnya pembangunan insan dan keupayaan diri.
Menerusi kewujudan peluang latihan dan kemahiran yang mencukupi, golongan belia terutamanya dapat memanfaatkan peluang pekerjaan yang terhasil daripada kerjasama awam-swasta ini seterusnya meningkatkan taraf hidup mereka.
Memastikan kesejahteraan untuk semua
Belanjawan 2025 jelas menunjukkan usaha kerajaan untuk membawa perubahan dan penambahbaikan yang komprehensif sama ada dari segi ekonomi, sosial mahupun reformasi institusi. Dari perspektif Syariah dan Undang-Undang banyak langkah yang diperkenalkan selaras dengan prinsip keadilan, amanah dan kebajikan rakyat.
Namun begitu, untuk memastikan kejayaan pelaksanaan belanjawan ini, ia memerlukan komitmen dan usaha berterusan daripada semua pihak termasuk kerajaan, sektor swasta dan rakyat secara keseluruhannya.
Keadilan sosial dan kesejahteraan yang diimpikan hanya dapat dicapai jika semua pihak memainkan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab dan berpegang kepada nilai-nilai murni yang diajarkan dalam Islam.
Menerusi semangat reformasi dan komitmen untuk memperkukuh sistem pentadbiran serta memastikan sumber negara diagihkan secara adil, Belanjawan 2025 bukan sahaja berpotensi membawa negara ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan tetapi juga meletakkan asas yang kukuh untuk kesejahteraan generasi akan datang.
Langkah-langkah seperti penyasaran subsidi yang lebih tepat, reformasi perundangan, pembangunan industri halal dan kerjasama awam-swasta adalah antara elemen penting yang dapat membantu mencapai matlamat ini.
Akhir sekali, rakyat perlu diberi pemahaman yang jelas mengenai dasar-dasar yang diperkenalkan dalam belanjawan ini supaya mereka dapat memahami dan menyokong pelaksanaannya. Pendidikan dan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pengurusan kewangan yang berhemah, antirasuah dan pembangunan ekonomi yang inklusif adalah aspek penting dalam memastikan kejayaan belanjawan ini.
Menerusi kerjasama yang baik antara semua pihak dan komitmen yang kukuh, kita dapat merealisasikan visi kesejahteraan untuk semua selaras dengan prinsip-prinsip Syariah yang menekankan keadilan, kebajikan dan pembangunan berterusan.
PENULIS SITI AISYAH, Pensyarah Kanan Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, dan MUHAMMAD ILHAMUDDIN Pensyarah, Fakulti Undang-Undang, Governan dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Islam Melaka. Boleh dihubungi melalui e-mel
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.