SAUDARA PENGARANG
Kerjasama antara universiti dan industri merupakan komponen penting dalam memastikan hasil penyelidikan memberikan impak yang tinggi, terutamanya dalam bidang teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI).
AI kini menjadi pemacu utama inovasi global, dan penggabungan kepakaran akademik serta sokongan industri sangat penting untuk memaksimumkan potensi teknologi ini.
Kerajaan Malaysia menyedari kepentingan ini dan telah memperuntukkan RM50 juta kepada universiti penyelidikan pada tahun 2025, satu peningkatan ketara berbanding peruntukan RM20 juta pada tahun sebelumnya. Langkah ini bertujuan memperkukuh pendidikan dan penyelidikan AI di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam pembentangan Belanjawan 2025, menekankan bahawa kerjasama antara universiti dan industri perlu diperkukuhkan bagi memastikan hasil penyelidikan bukan sahaja bersifat inovatif tetapi juga relevan dan bermanfaat kepada masyarakat. Ini kerana sokongan kewangan sahaja tidak mencukupi dalam menjayakan sinergi ini.
Universiti penyelidikan di Malaysia telah diberi mandat untuk memfokuskan AI dalam bidang strategik masing-masing, yang bersesuaian dengan keperluan industri dan komuniti setempat. Sebagai contoh, Universiti Malaya (UM) telah menumpukan kepada penggunaan AI dalam sektor perubatan, khususnya dalam menangani masalah penyakit barah.
Teknologi AI memainkan peranan penting dalam diagnosis awal, rawatan diperibadikan, dan mempercepatkan penemuan ubat baharu. Kerjasama antara UM dan syarikat farmaseutikal serta perubatan akan mempercepatkan pembangunan penyelesaian inovatif yang dapat meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan.
Sementara itu, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menubuhkan Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia melalui kerjasama dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA). Pusat ini memfokuskan kepada penyelidikan AI dalam pengkomputeran kuantum bagi menghadapi ancaman keselamatan siber yang semakin kompleks.
Kolaborasi antara universiti dan industri keselamatan siber ini penting untuk melindungi data kritikal negara. Usaha UPM memperlihatkan impak besar penyelidikan akademik terhadap keselamatan digital negara dalam era teknologi yang berkembang pesat. Universiti Sains Malaysia (USM) pula menumpukan kepada teknologi semikonduktor, selari dengan kedudukan Malaysia sebagai hab semikonduktor dunia.
Kerjasama USM dengan syarikat besar seperti Intel dan Infineon membuktikan bahawa AI dapat meningkatkan kecekapan pengeluaran dan inovasi dalam cip pemprosesan, membolehkan Malaysia terus bersaing di peringkat global. Hal ini menegaskan kepentingan hubungan erat antara akademik dan industri teknologi tinggi dalam memacu inovasi yang relevan dengan ekonomi negara.
Selain itu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerajui penyelidikan AI dalam bidang alih bahasa, khususnya untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Menerusi perkembangan AI, proses alih bahasa dapat dipercepatkan, membolehkan pelbagai pengetahuan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu dengan lebih mudah. Sinergi ini memperkukuhkan kedudukan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa, terutamanya dalam bidang ilmu pengetahuan dan teknologi.
Bagi memastikan kejayaan sinergi ini, beberapa langkah proaktif perlu diambil. Antaranya adalah meningkatkan kolaborasi penyelidikan antara universiti dan industri agar lebih fokus kepada cabaran kritikal dalam bidang masing-masing.
Program latihan industri dan penempatan pelajar dalam syarikat-syarikat teknologi tinggi juga perlu diperluaskan agar kedua-dua pihak mendapat manfaat.
Penubuhan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama, seperti yang dilaksanakan oleh UPM dan NACSA, mempercepatkan inovasi dan memastikan penyelidikan relevan dengan keperluan industri.
Selain itu, insentif kewangan dan geran penyelidikan perlu dipertingkatkan oleh kerajaan untuk menggalakkan lebih banyak syarikat teknologi menyertai projek bersama universiti.
Setiap projek penyelidikan juga perlu dinilai berdasarkan impaknya kepada masyarakat, bukan semata-mata keuntungan kewangan.
Dengan sinergi yang semakin kukuh antara universiti dan industri, Malaysia berada pada landasan yang betul untuk menjadi peneraju global dalam teknologi AI, memacu inovasi serta memberi manfaat kepada masyarakat dan ekonomi negara.
PENULIS DR. NUUR ALIFAH ROSLAN, Pensyarah Kanan, Jabatan Multimedia, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia (UPM). Penulis boleh dihubungi melalui e-mel:
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan atau pendirian rasmi RTM.