SAUDARA PENGARANG
Kerap kali kita mendengar keluhan masyarakat sama ada jemaah setempat mahupun jemaah musafir berkaitan isu-isu asas institusi masjid. Antara yang kerap diperkatakan oleh masyarakat adalah berkaitan, tandas kotor atau tidak diselenggara dengan baik, pintu tandas rosak, ruang solat/karpet berpasir dan berbau, kipas berhabuk, siling bersawang, kain sarung dan telekung berbau hapak, persekitaran tidak diurus dengan baik termasuk pengurusan sampah, masjid tidak cakna hal-hal kebajikan jemaah sekitar, persoalan pengurusan kewangan dan banyak lagi.
Tidak kurang juga kajian-kajian berkaitan institusi masjid yang turut menyentuh perkara sama dengan beberapa isu-isu tambahan yang lebih memberi penekanan terhadap kualiti urus tadbir-hala tuju institusi masjid, kualiti program mahupun aktiviti anjuran institusi masjid dan kualiti atau kriteria pelantikan ahli jawatankuasa masjid. Ini tidak lagi menyentuh perkara yang tidak boleh dikompromi iaitu berkaitan imam tidak hadir bertugas atau terlewat hadir ke masjid.
Bagimanapun penulis mengambil sikap cermat dalam membahas permasalahan ini. Ini adalah kerana asas pengkategorian institusi masjid seperti masjid negeri, masjid daerah, masjid kariah (bandar) dan masjid kariah (kampung), turut memberi kesan kepada aspek tenaga kerja mahupun perjawatan termasuk hal pendanaan masjid.
Sebahagian institusi masjid mempunyai pegawai atau imam bergaji sepenuh masa dan sebahagiannya hanya menerima elaun sahaja. Selain itu terdapat institusi masjid yang mempunyai dana tetap daripada institusi agama negeri masing-masing di samping kutipan derma. Manakala sebahagian besar masjid hanya bergantung kepada kutipan derma melalui tabung dan lain-lain platform. Di samping faktor ini terdapat faktor-faktor lain yang mempengaruhi isu-isu dinyatakan di atas.
Diakui banyak faktor terlibat dalam hal ini. Bagaimanapun penulis lebih cenderung menekankan aspek kegagalan dan kurang keupayaan ahli jawatankuasa merangka satu pelan perancangan strategik institusi masjid sama ada jangka pendek, jangka sederhana mahupun jangka panjang.
Tidak kurang juga aspek kegagalan ahli jawatankuasa dan pegawai memastikan setiap perancangan dilaksana dan dipantau dari semasa ke semasa. Ini turut meliputi aspek kurang keupayaan dalam membangunkan visi dan misi institusi masjid berdasarkan realiti sebenar, keperluan institusi masjid, keperluan setempat dan persekitaran.
Dalam banyak hal permasalahan ini juga turut disebabkan oleh ketidakupayaan unit pengurusan masjid di pejabat agama daerah negeri membangunkan hal-hal dasar dan hala tuju pembangunan institusi masjid. Antaranya adalah daripada aspek merangka dan melaksana dasar-hala tuju pengurusan masjid-masjid bawah pentadbiran mereka, merangka perancangan, penyusunan keutamaan berdasarkan perbezaan realiti dan fokus sesebuah masjid termasuk isu pengawai unit pengurusan masjid kurang berpengalaman.
Walaupun perkara yang dinyatakan ini adalah bukan perkara baharu, tetapi pada hakikatnya seakan tidak ada tindakan diambil mahupun kesedaran yang tinggi dalam kalangan mereka yang dipertanggungjawabkan dalam memastikan setiap institusi masjid dapat dibangunkan secara lebih berstruktur dan punyai hala tuju jelas berdasarkan realiti dan keperluan semasa.
Di sebalik permasalahan, kegagalan serta faktor-faktor khusus seperti dinyatakan di atas yang memperlahankan perkembangan dan pembangunan sesebuah institusi masjid, masih terdapat institusi masjid yang bergerak dan membangun dengan sangat baik walaupun terhimpit dengan hal kekurangan dana dan berhadapan dengan pelbagai kekangan lain.
Antara contoh masjid yang boleh penulis kongsikan di sini adalah seperti Masjid Tengku Ampuan Afzan Bandar Satelit (MTAABS) di negeri Pahang, yang dikategorikan oleh pengurusan agama negeri sebagai Masjid Kariah.
Masjid Tengku Ampuan Afzan Bandar Satelit (MTAABS) ini baru berumur hampir lapan tahun. Walaupun dikategorikan sebagai masjid kariah tetapi telah mencapai pelbagai kejayaan dan pencapaian yang boleh dibanggakan serta dijadikan rujukan. Sepanjang 7 tahun (2017-2024) telah menyaksikan pelbagai pembangunan dan pencapaian telah diraih oleh MTAABS. Antara pencapaiannya adalah seperti berikut:
- Anugerah Masjid 3 Bintang Program Masjid Gemilang Negeri Pahang (PMGP) 2019.
- Anugerah Masjid Urus Tadbir Terbaik Pahang PMGP 2019.
- Menjadi Masjid rujukan oleh beberapa masjid utama di Pahang seperti Masjid Temerluh Jaya terutama dalam hal Urus Tadbir Masjid.
- Pengiktirafan Tandas Masjid Bertaraf 5 Bintang (Amat Bersih) 2021 hingga 2024 oleh Majlis Daerah Rompin (MDR) dalam Penggredan Tandas Rumah Ibadah.
- Pengiktirafan sebagai Rakan Strategik Muadzam Shah 2021
- Pengiktirafan Projek MTAABS Prihatin(13 Inisiatif Kebajikan)
- Projek/Program Kolaborasi/Rakan Strategik bersama hampir 40 Organisasi di peringkat daerah, negeri mahupun nasional.
- Terpilih sebagai salah satu masjid bagi projek rintis “One Stop Center” oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
- Mendaftar Caruman KWSP Pegawai & Staf Masjid.
- Mendfatar Caruman Perkeso Pegawai & Staf Masjid.
- Mewujudkan Skim Kesihatan Pekerja: Klinik Panel Kesihatan Pegawai & Staf Masjid
- Mewujudkan Skim Perjawatan Pekerja.
- Pembangunan Projek Kelestarian Ekonomi: Pulut & Co.
- Berjaya membangun Perancangan Strategik Masjid 2023-2027
Berdasarkan ke semua pembangunan dan pencapaian yang dinyatakan sudah pasti ia memerlukan suatu perancangan teliti. Setelah dikaji dan diteliti maka tidak hairanlah walaupun dalam masa singkat Masjid Tengku Ampuan Afzan Bandar Satelit (MTAABS) mampu mencapai ke tahap ini.
Malah MTTAABS ini boleh dikatagerorikan institusi yang mengamalkan pengurusan institusi berciri korporat. Faktor utama yang menyumbang kepada beberapa pencapaian ini adalah keupayaan pengurusan MTAABS menetapkan hala tuju yang jelas dalam merangka dan membangun insitusi masjid sama ada jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.
Selain itu pengurusan MTAABS juga turut mengambil kira faktor lokaliti masjid, urus tadbir institusi serta pengurusan kewangan yang baik serta berlandaskan Visi dan Misi yang jelas.
Semua ini berpaksi kepada Pelan Pembangunan 5 Tahun yang telah dibangunkan oleh pengurusaan MTAABS. Pelan tersebut adalah Pelan Perancangan Strategik MTAABS 2018-2022 (Pelan Pertama) dan Pelan Perancangan Strategik MTAABS 2023-2027 (Pelan Kedua).
Jika diteliti secara mendalam terhadap pelan semasa iaitu Pelan Perancangan Strategik MTAABS 2023-2027 (Pelan Kedua), pengurusan MTAABS telah menetapkan; (1) Lima Matlamat Strategik, (2) Lapan Objektif Strategik, (3) 21 Inisiatif Strategik dan (4) Empat Nilai Teras Strategik.
Ke semua ini akan terarah kepada mengukuhkan MTAABS sebagai Pusat Sehenti Masyarakat iaitu pusat; (1) Ibadah, (2) Ilmu, (3) Kebajikan, (4) Pendidikan, (5) Ekonomi, (6) Kesukarelawanan dan (7) Pusat Rehat & Rawat.
Semua perancangan ini juga pada dasarkan untuk mencapai Visi MTAABS yang telah ditetapkan oleh pengurusanya iaitu “Menjadi Sebuah Institusi Ibadah, Perkembangan Ilmu & Pemerkasaan Sosio Budaya Yang Holistik Dalam Mengisi Proses Pemberdayaan Ummah”
Satu perkara, juga boleh dibanggakan adalah kemampuan pengurusan MTAABS membangun dan melaksanakan pengurusan risiko yang sangat baik dalam menghadapi penularan wabak COVID-19. Ketika itu kerajaan Malaysia telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) berkuat kuasa mulai 18 Mac 2020 di seluruh negara.
Keadaan ini secara langsung telah memberi kesan besar kepada keseluruhan pengoperasian institusi MTAABS, sumber kewangan, aktiviti-aktiviti serta perancangan jangka pendek dan jangka panjang MTAABS. Bagaimanapun dengan tindakan pantas dan kepekaan kepada keadaan semasa maka pihak pengurusan MTAABS telah merangka strategi dan perancangan khusus bagi menghadapi ketidaktentuan situasi.
Beberapa fokus telah dilaksanakan dalam menghadapi ketidaktentuan situasi penularan wabak COVID-19. Antara fokus utama tindakan yang telah diambil oleh pengurusan MTAABS adalah Pengurusan Pentadbiran Institusi Menghadapi Wabak COVID-19 merangkumi, Penubuhan Jawatankuasa Kerja Pengurusan Menghadapai Wabak COVID-19, Perubahan Fokus Perancangan Strategik MTAABS 2021, Pengurusan Pegawai & Pekerja Am, Pengurusan Kewangan-terutama hal penggajian tujuh orang staf, Pengurusan Sebaran Maklumat dan Pengurusan Disinfeksi Bangunan Masjid.
Turut dilaksanakan Pengurusan Bantuan Prihatin, merangkumi bantuan prihatin ahli kariah, jemaah & komuniti Muadzam Shah dan pegawai serta pekerja MTAABS. Fokus lain termasuk Pengurusan Pengisian MTAABS, Pengurusan Pembukaan Semula MTAABS, Pengurusan Solat Jumaat dan Solat Fardu Berjemaah, dan Pembinaan Jaringan Kerjasama Jawatankuasa Penduduk – Badan Berautoriti Tempatan.
Berdasarkan penelitian seperti dinyatakan dan contoh di atas, jelas bahawa sesebuah institusi masjid itu akan dapat dibangunkan dengan baik melalui faktor utama iaitu keupayaan pengurusan institusi masjid untuk menetapkan hala tuju jelas.
Ini meliputi perkara seperti membangunkan visi, misi, moto, serta pelan perancangan strategik yang menyeluruh dengan mengambil kira realiti, keperluan persekitaran serta sentiasa peka dan bersedia dengan sebarang risiko yang mendatang.
Oleh yang demikian adalah merupakan suatu yang mustahak bagi setiap institusi pengurusan masjid di negeri dan daerah bagi memastikan perkara berkaitan perancangan hala tuju dapat diberi keutamaaan oleh pengurusan insititusi masjid berbanding hanya memikirkan tentang penganjuran aktiviti, program atau kuliah semata-mata tanpa mengetahui keperluan utama.
Sudah tentu perkara ini bukan suatu perkara yang mudah tetapi suatu tindakan yang tepat harus diambil segera oleh badan-badan berwajib berkaitan pengurusan institusi masjid sebagai contoh Unit Pengurusan dan Pembangunan Masjid Negeri dan Daerah.
PENULIS DR. KHAIRULNIZAM MAT KARIM merupakan Timbalan Dekan (Akademik & Penyelidikan) Kolej Pendidikan Berterusan (CCEd), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). Beliau boleh dihubungi melalui e-mel
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.