SAUDARA PENGARANG
Penganjuran pesta konvokesyen sudah menjadi kelaziman kepada sesebuah universiti ketika berlangsungnya majlis konvokesyen yang menjadi satu pengiktirafan pihak universiti kepada kerja keras, dedikasi dan ketekunan mahasiswa menamatkan pengajian masing-masing.
Kebiasannya, pesta konvokesyen dianjurkan serentak dengan majlis akademik universiti yang bukan sahaja bermatlamat meraikan graduan dan memeriahkan majlis konvokesyen tetapi menjadi salah satu pengisian kepada pengunjung yang sebahagian besarnya merupakan ibu bapa atau ahli keluarga yang hadir untuk menyaksikan para graduan menaiki pentas menerima ijazah.
Setiap universiti pula mempunyai mekanisme tersendiri dan sentiasa melakukan yang terbaik supaya pesta konvokesyen itu meninggalkan satu memori manis kepada pengunjung. Kebiasaannya pesta akan diisi dengan pelbagai aktiviti sesuai dengan imej sesebuah universiti.
Bagi Universiti Utara Malaysia (UUM), Pesta Konvokesyen ke-37 yang diringkaskan sebagai PESKON37 diadakan bermula 8 hingga 16 November ini dengan jangkaan pengunjung mencecah 18,000 orang. Majlis konvokesyen ke-37 UUM itu melibatkan 6,742 graduan pada tahun ini.
Bagi menjayakan PESKON37, pihak pengurusan UUM telah melantik 168 orang mahasiswa untuk membentuk Sekretariat PESKON37 yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penganjuran pesta konvokesyen ini.
Pihak sekretariat diberi kepercayaan menganjurkan acara besar ini dan pengurusan universiti berfungsi sebagai pembimbing dan memberikan khidmat nasihat kepada anggota sekretariat dalam menjayakan PESKON37.
Di dalam konteks ini, berlaku satu proses pembelajaran dan pendedahan kepada mahasiswa terbabit sekaligus menambah pengalaman mereka untuk menjayakan satu acara penting kepada universiti.
Strategi dilaksanakan Sekretariat PESKON37 pula adalah membentuk 13 jabatan untuk menjalankan tugas seiring keperluan untuk memastikan pesta konvokesyen berjalan lancar. Majlis Tertinggi Sekretariat PESKON37 turut ditubuhkan bagi memantau aspek pengurusan dan pelaksanaan oleh jabatan-jabatan yang ditubuhkan itu.
Antara jabatan yang dibentuk adalah Jabatan Protokol Dan Pengacaraan, Jabatan Jemputan dan Hubungan Luar, Jabatan Media & Publisiti, Jabatan Aktiviti dan Persembahan, Jabatan Grafik & Pendokumentasian, Jabatan Teknikal dan Siar Raya dan sebagainya.
Setiap anggota jabatan bertugas mengikut portfolio masing-masing bagi menjayakan acara tahun ini termasuk mendapatkan penajaan syarikat korporat, institusi kewangan dan agensi-agensi kerajaan.
Berdasarkan rangka kerja sekretariat ini, ia sebenarnya memberi manfaat besar dan pengalaman berharga kepada 168 mahasiswa terlibat untuk PESKON37 kerana ia telah mendedahkan mereka kepada aspek pengurusan, mengasah bakat kepimpinan dan membina minda keusahawanan.
Tahun ini, tema “Alumni Gemilang” dipilih dengan matlamat utama menghargai alumni UUM yang telah mencipta nama di peringkat nasional dan antarabangsa. Pemilihan tema itu diharap dapat menjadi inspirasi kepada graduan serta mahasiswa UUM untuk mencontohi alumni-alumni yang telah berjaya di dalam kerjaya dan bidang masing-masing.
Hasil usaha itu, lahirlah pelbagai program untuk memeriahkan PESKON37 dan salah satu tarikan utama adalah Martial Performing Art Competition (MPAC) yang menjadi gelanggang peserta dari pelbagai institusi pengajian tinggi mempamerkan kemahiran seni membela diri mereka untuk merebut gelaran juara.
Dari segi program pula, pengunjung boleh mendapatkan pengalaman dan ilmu pengetahuan baharu dengan mengunjungi pameran, bengkel, forum dan aktiviti interaktif merangkumi bidang-bidang seperti Literasi Kewangan dan Teknologi, Sukan dan Rekreasi, serta Kerjaya dan Keusahawanan.
Menerusi kepelbagaian acara, program dan aktiviti, PESKON37 bukan sahaja meraikan graduan-graduan yang menerima ijazah tetapi dapat menjadi platform pembangunan bakat dan membina kemahiran mahasiswa UUM apabila alumni turut dilibatkan dalam acara pesta konvokesyen kali ini.
Dari segi keusahawanan pula, pesta di kampus utama Sintok disertai 33 peniaga mahasiswa, 8 peniaga trak makanan dan penganjur menyediakan 96 khemah jualan kepada peniaga luar untuk memasarkan produk-produk mereka kepada pengunjung PESKON37.
Selain itu, PESKON37 juga berperanan sebagai pemangkin aktiviti ekonomi setempat khususnya di daerah Sintok ini. Kehadiran ramai pengunjung luar dapat meningkatkan permintaan kepada perkhidmatan penginapan, penyediaan makanan dan perniagaan runcit.
Rumusannya, peluang diberikan kepada Sekretariat PESKON37 ini membolehkan mahasiswa membina kemahiran dari segi pengalaman merancang, mengurus dan melaksanakan acara pada skala besar yang turut merangkumi aspek kepimpinan, kerjasama pasukan, komunikasi dan pengurusan masa yang sangat berguna untuk kerjaya pada masa hadapan.
Mahasiswa terlibat mengetuai usaha penganjuran pesta konvokesyen ini dapat membentuk sikap kebertanggungjawaban untuk menjayakan sesuatu projek. Selain itu, ia turut meningkatkan aspek keterlibatan mahasiswa dan pembentukan komuniti kampus yang bermakna.
Penganjuran PESKON37 telah membuka peluang kepada pihak sekretariat untuk lebih kreatif dan berinovasi dalam merancang program-program sepanjang berlangsungnya pesta tersebut. Mereka juga berpeluang membina rangkaian dengan alumni dan pihak penaja yang terlibat secara langsung dalam menjayakan acara berkenaan dan aspek ini merupakan salah satu impak positif kepada mahasiswa terbabit.
Akhir sekali, kewujudan Sekretariat PESKON37 memberi imej positif kepada universiti kerana memperlihatkan keterbukaan institusi terhadap usaha memperkasa mahasiswanya. Ia menjadi salah satu strategi berkesan yang menggalakkan kepimpinan mahasiswa dan peluang pembelajaran secara praktikal apabila berjaya menganjurkan acara yang besar seperti pesta konvokesyen ini.
Justeru, orang ramai dipelawa untuk mengunjungi dan memeriahkan Pesta Konvokesyen ke-37 di kampus utama UUM di Sintok ini sehingga 16 November ini.
Oleh
Amirah Afiqah Sulaiman
Ketua Jabatan Media & Publisiti PESKON37
Universiti Utara Malaysia (UUM)
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.