fb fb fb fb fb

OIC perlu tegas tangani isu Palestin

Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman pada Sidang Kemuncak Tergempar OIC kali ke-8 di Riyadh pada 11 November 2023/Foto AFP

SAUDARA PENGARANG

Konflik Palestin-Israel yang berlarutan sejak 7 Oktober lalu menyaksikan peningkatan jumlah korban dan individu yang cedera. Terbaharu, jumlah rakyat Palestin yang syahid sudah melebihi 11,000 orang dan angka ini akan terus meningkat dengan serangan semberono rejim Zionis Israel ke atas Semenanjung Gaza yang terus dipertingkatkan.

Gesaan agar gencatan senjata segera dilaksanakan seolah-olah tidak diendahkan oleh rejim Israel melalui Presidennya, Netanyahu yang menegaskan bahawa Israel tidak akan sesekali tunduk dengan gesaan untuk melakukan gencatan senjata malah akan terus mempertingkatkan serangan ke atas kawasan itu dengan alasan menghapuskan pejuang-pejuang Hamas.

Apa yang menyedihkan lagi, beberapa negara sekutu Israel terus mendokong tindakan Israel yang menyasarkan orang awam termasuk petugas-petugas kesihatan. Dalam siri serangan terbaru, rejim Zionis menyasarkan beberapa kawasan seperti hospital, sekolah dan masjid yang turut menjadi tempat perlindungan orang awam.

Bagi pihak Majlis Keselamatan PBB, mesyuarat tergempar kali ke-6 untuk membincangkan krisis yang berlaku juga dilihat tidak membuahkan hasil apabila berlaku penolakan dari beberapa negara pro-Israel yang menentang cadangan resolusi dikemukakan. Sebelum itu, empat draf resolusi telah ditolak oleh Majlis Keselamatan PBB yang dalam masa sama menyaksikan jumlah korban di pihak Palestin terus meningkat saban hari.

Dunia Islam pula masih ternanti-nanti apakah tindakan segera yang dapat dibuat oleh kesatuan utamanya melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Kedudukan OIC sebagai organisasi antarabangsa penting bagi 57 negara Islam dan kedua terbesar selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekali lagi dilihat tidak memainkan peranan yang signifikan di tengah-tengah konflik yang tercetus.

Krisis telah berlarutan lebih sebulan dan angka korban juga terus meningkat, namun OIC masih belum mengambil langkah proaktif sebagai pembela perjuangan Palestin. OIC sekali lagi dilihat gagal menunjukkan taring dalam sidang kemuncak di Riyadh pada 11 November 2023 apabila sesi persidangan yang berlangsung gagal menatijahkan sebarang bentuk tindakan tuntas dan tegas bagi menangani konflik.

Perkembangan itu dilihat dan dianggap tidak serius dalam mempertahankan kedaulatan Palestin sebagai negara sah.

Malaysia menerusi YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kali ke-8 di Riyadh, Arab Saudi. Semasa sidang kemuncak itu, YAB Perdana Menteri menyatakan pendirian tegas Malaysia mengenai usaha segera untuk menamatkan tindakan pembunuhan beramai-ramai Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza, dengan krisis kemanusiaan masih berlarutan, serta keperluan utama bagi negara anggota OIC dan seluruh masyarakat antarabangsa untuk membantu menangani nasib dan penderitaan rakyat Palestin.

Melihat kepada kepincangan OIC bagi menangani krisis yang berlaku, Malaysia menerusi ucapan tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat perlu memainkan peranan penting bagi mengetuai proses rundingan dan kerjasama pelbagai pihak bagi menyelesaikan konflik yang tercetus.

Hubungan baik antara Malaysia dengan beberapa negara anggota OIC sepatutnya dijadikan peluang untuk sama-sama menggerakkan kempen menangani konflik. Bagi negara-negara Arab khususnya yang mempunyai hubungan normalisasi dengan Israel perlu segera bertindak memutuskan hubungan dan memanggil kembali duta negara masing-masing.

Hubungan normalisasi Arab-Israel yang terjalin sebelum ini jelas menunjukkan bahawa tiada sebarang kebaikan yang diperoleh rakyat Palestin sebaliknya kekejaman Zionis pula semakin meningkat.

Mesir yang dahulunya menjadi peneraju utama gerakan konfrontasi Arab -Israel sejak 1948 perlu memainkan peranan sewajarnya dengan membuka kembali pintu-pintu sempadan bagi memudahkan bantuan disalurkan kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

Negara-negara Islam khususnya dalam kalangan Liga Arab perlulah menyedari agenda sebenar disebalik percaturan blok Barat ke atas Timur Tengah. Mereka sepatutnya tidak menjadi lidah Yahudi dan mengikut telunjuk dan tekanan Israel, US dan Kesatuan Eropah.

Peluang untuk menyekat sebarang bentuk kontrak kepada syarikat Israel atau syarikat yang menyokong Israel perlu dilaksanakan segera bagi menghukum kekejaman yang tidak berperikemanusiaan ke atas penduduk Palestin.

Sebagai alternatif, negara-negara keanggotaan OIC perlu mewujudkan perancangan khusus bagi mengukuhkan ekonomi sesama negara Islam sebagai persediaan di atas sebarang bentuk tindakan balas negara Barat dari aspek ekonomi disebabkan pendirian tegas terhadap Israel.

Negara-negara OIC yang merupakan pengeluar minyak utama seperti Arab Saudi, UAE, Kuwait, Bahrain, Qatar dan lain-lain seharusnya didesak supaya menggunakan softpower yang mereka ada iaitu dengan berhenti menyalurkan minyak kepada negara haram Israel dan negara-negara sekutu mereka sebagai tanda protes terhadap penganiayaan berterusan kepada warga Palestin oleh rejim Israel.

Tidak cukup sekadar itu, negara-negara OIC perlu bertindak menghalang sebarang penerbangan yang dilakukan oleh syarikat penerbangan Israel dari terbang ke negara mereka.

Ketetapan juga harus dibuat oleh semua negara OIC untuk mengutuk Israel di parlimen negara masing-masing sebagai langkah solidariti berterusan bersama Palestin. Langkah ini juga merupakan advokasi berterusan kepada rakyat di setiap negara OIC supaya pemimpin negara-negara Islam tidak dilihat lemah dan lesu dalam menanggapi isu kemanusiaan ini.

OIC juga perlu lebih proaktif dalam usaha menyeret Israel ke mahkamah keadilan antarabangsa untuk dijatuhkan hukuman di atas tindakan genosid dan pencabulan hak asasi manusia yang telah dan sedang dilakukan mereka.

Melalui sidang kemuncak tergempar OIC ini, mereka dilihat telah menghantar Sekretariat Agung OIC dan Liga Arab untuk memerhati dan mengambil tindakan susulan terhadap pelaksanaan siasatan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan oleh pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) serta telah menubuhkan dua unit pemantauan undang-undang khusus untuk menyalurkan segala informasi dan dokumen jenayah yang telah dilakukan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober.

Kita tidak mahu OIC hanya bertindak dengan cara tunggu dan lihat seperti yang sering dimomokkan bahawa mereka hanya mampu berkata “Oh, I see” sahaja tanpa tindakan secara tegas.

Oleh
Profesor Dr. Mohd Roslan Mohd Nor
Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Mohamad Fikri Mohd Bakri
Penyelidik Pasca Siswazah
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM

MAT YUNUS BIN SABRI