fb fb fb fb fb

Kebebasan bersuara: Mendalami definisi fitnah

Ahli-ahli yang terlibat dalam projek SULAM SeeMeThru: FakeNah!/Foto UiTM

SAUDARA PENGARANG

Sebagai rakyat Malaysia, kita sememangnya dapat menikmati hak kebebasan bersuara, tanpa mengira pangkat, darjat, dan kaum. Asalkan kita rakyat Malaysia, berada dalam tanah Malaysia, maka kita diberi hak untuk menikmati kebebasan itu. Namun, malangnya, dalam menikmati hak kebebasan bersuara, ramai juga yang menyalahgunakannya. Asalnya dikatakan sebagai hak kebebasan bersuara, namun akhirnya ianya menjadi satu fitnah.

Fitnah yang tersebar kadangkala tidak mengenal siapa. Bahkan akan memberi satu kesan sangat buruk kepada seseorang. Fitnah lazimnya akan tersebar melalui mulut ke mulut. Namun pada zaman serba moden ini ianya juga akan tersebar melalui dalam talian di mana khabar angin yang kita tidak pasti betul atau salah mampu untuk menjatuhkan atau merosakkan reputasi seseorang.

Melindungi atau mengekalkan reputasi seseorang adalah perkara yang rumit dan sememangnya ia amat penting dalam dunia yang terbuka dengan penyebaran fitnah ini. Oleh itu, sebagai warga Malaysia yang maju dan moden, kita berhak untuk memahami apa itu fitnah dan kita juga perlu tahu cara untuk menghindari serta mempertahankan diri jika kita berhadapan dalam isu sebegini.

Fitnah secara konseptual dapat merujuk kepada tindakan yang membuat kenyataan palsu tentang individu serta merosakkan reputasinya. Harus kita cakna bahawa terdapat dua kategori firnat iaitu secara lisan dan penulisan. Namun begitu, untuk membuktikan sesuatu kes fitnah, terdapat beberapa kriteria yang perlu dipenuhi. Contohnya, kenyataan palsu tersebut mesti disampaikan kepada pihak ketiga dengan jelas dan difahami maka ianya boleh dianggap sebagai fitnah.

Oleh kerana pernyataan palsu dan khabar angin boleh tersebar dengan cepat di platform media sosial maka isu yang terkait dengan undang-undang fitnah; kini menghadapi cabaran besar dalam zaman digital. Sebagai contoh, teknologi yang memanipulasi video dan kandungan boleh meyakinkan dan menimbulkan kebimbangan dan dimanipulasi. Sekali gus, maklumat palsu dalam talian boleh memiliki kesan berkekalan terhadap reputasi, kerjaya dan kehidupan peribadi individu.

Kesan ini sering kali dirasai lebih kuat dalam era digital kerana akses dan perkongsian dalam talian yang mudah dan pantas. Justeru, prinsip kebenaran sangat penting dalam kes fitnah. Kenyataan yang betul tidak boleh dianggap sebagai fitnah. Selain itu, jika seseorang membuat kenyataan palsu yang merosakkan reputasi dan menyebabkan kecederaan atau kerosakan yang sebenar, itu juga secara terang-terangan dianggap sebagai fitnah.

Dalam sesetengah kes, individu yang mahu mempertahankan haknya sebagai orang yang difitnah perlu membuktikan kerosakan sebenar seperti kerugian kewangan, layanan yang tidak setimpal atau sewajarnya daripada orang sekililing, gangguan emosi yang membahayakan diri dan lain-lain lagi. Untuk menangani cabaran-cabaran ini, beberapa sistem undang-undang telah menyesuaikan diri dengan era digital dengan membangunkan peraturan baharu manakala yang lain masih bergelut untuk menemukan keseimbangan antara ucapan bebas dan perlindungan fitnah secara dalam talian.

Seiring dengan objektif Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM), iaitu  penglibatan pelajar dalam kursus pentaksiran untuk memenuhi keperluan masyarakat yang telah dikenal pasti, sekumpulan pelajar dari MC 244 - Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Pengiklanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam akan menganjurkan projek SULAM. Projek itu dikenali sebagai SeeMeThru: FakeNah!, mengetengahkan tema "Hak vs Reputasi" yang menyuarakan isu berkaitan fitnah di Pusat Reintegrasi Penghuni Mantin.

Program yang padat dengan input serta aktiviti kemasyarakatan bermanfaat itu bertujuan untuk memberikan pengetahuan lebih baik kepada orang dewasa mengenai undang-undang sedia ada untuk melindungi hak mereka daripada fitnah. Selain itu, projek SULAM – SeeMeThru: FakeNah ini juga bertujuan untuk menggalakkan etika dalam berkomunikasi dengan orang dewasa, termasuk kejujuran, integriti, dan keseimbangan dalam menyampaikan maklumat tepat.

Secara tuntasnya, kewujudan undang-undang firnah memainkan peranan yang amat penting dalam melindungi martabat dan integriti diri seseorang. Dengan menjamin perlindungan hak individu, undang-undang fitnah kekal relevan demi mengekalkan ketertiban masyarakat daripada penyebaran maklumat palsu.

Dalam era digital masa kini, pemahaman mendalam terhadap peraturan ini adalah amat penting untuk memastikan tindakan yang bijak dan kesedaran terhadap kelakuan yang betul dalam dunia maya yang penuh dengan cabaran dan kerumitan.

PENULIS HABIL HANAFI & DR MOHD YUSOF ZULKEFLI, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Shah Alam.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM

MAT YUNUS BIN SABRI