fb fb fb fb fb

Melindungi dompet rakyat: Era baharu pembiayaan peribadi di Malaysia

Foto hiasan/RTM
Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Bank Negara Malaysia (BNM) pada 16 Disember 2024 mengeluarkan Draf Pendedahan Pembiayaan Peribadi (Personal Financing Exposure Draft) yang memperkenalkan keperluan baharu untuk memansuhkan caj faedah/keuntungan dikira menggunakan kadar rata dengan kaedah Peraturan 78 (Rule 78) bagi produk pembiayaan peribadi.

Peraturan baharu ini akan terpakai untuk produk-produk pembiayaan peribadi yang di tawarkan secara langsung oleh institusi kewangan atau bersama dengan entiti lain, atau melalui perantara institusi kewangan kepada individu untuk tujuan peribadi, domestik atau isi rumah.

Ia juga akan dilaksanakan keatas mana-mana pembelian yang menggunakan kaedah “Beli Sekarang, Bayar Kemudian” (Buy Now Pay Later – BNPL). Perkhidmatan “Beli Sekarang, Bayar Kemudian” termasuklah Atome, Grab PayLater, Shopee SPayLater, AEON Credit Service Malaysia dan Lazada PayLater.

Menerusi Draf Pendedahan Pembiayaan Peribadi tersebut, BNM ingin mendapatkan respon awam mengenai keperluan baharu untuk memansuhkan penawaran pembiayaan peribadi dengan caj faedah/keuntungan dikira menggunakan kadar rata dengan kaedah Peraturan 78.

Dokumen dasar ini bertujuan untuk menggalakkan amalan pembiayaan peribadi yang berhemat dan bertanggungjawab oleh institusi kewangan atau perantara yang menyediakan pembiayaan peribadi. Inisiatif oleh pengawal selia industri kewangan ini juga bertujuan mendidik masyarakat supaya menjadi peminjam pembiayaan peribadi yang bertanggungjawab.

Sebelum Draf Pendedahan Pembiayaan Peribadi ini dikeluarkan, caj yang dikenakan oleh pembiaya peribadi di Malaysia kurang dikawal, terutamanya dalam kalangan koperasi dan institusi kewangan bukan bank. Kebanyakan mereka, termasuk perbankan komersial, menggunakan kadar faedah rata.

Akibatnya, peminjam membayar faedah atau kadar keuntungan ke atas jumlah pinjaman atau pembiayaan asal sepanjang tempoh, mengakibatkan pembayaran jumlah faedah atau jumlah keuntungan lebih tinggi. Sebagai perbandingan, kadar faedah atau kadar keuntugan dikenakan oleh perbankan komersial adalah 6% hingga15% setahun manakala koperasi dan institusi bukan bank mengenakan kadar rata 10% hingga 18% setahun.

Dalam pengiraan jumlah faedah atau jumlah keuntungan yang perlu dibayar, penyedia pembiayaan peribadi menggunakan kaedah Peraturan 78. Melalui kaedah ini, semua institusi penyedia pembiayaan akan menetapkan pembayaran yang dibuat oleh penerima pembiayaan adalah untuk jumlah faedah atau keuntungan untuk penyedia pembiayaan peribadi.

Apabila selesai pembayaran keatas faedah atau keuntungan, barulah pembayaran seterusnya adalah keatas jumlah pembiyaan. Ini akan menguntungkan penyedia pembiayaan peribadi terutama apabila peminjam membuat penyelesaian awal.

Tambahan pula, peminjam sering kali tidak menyedari kos sebenar pembiayaan disebabkan oleh kerumitan pengiraan kadar rata. Selain itu, yuran tambahan kadangkala dicampurkan dengan kadar faedah, yang meningkatkan kos tanpa perincian yang jelas.

Koperasi dan pembiaya bukan bank biasanya mengenakan yuran pemprosesan yang lebih tinggi berbanding bank, antara 2% hingga 5% daripada jumlah pinjaman, sementara yuran tersembunyi seperti yuran dokumentasi atau keahlian juga biasa, terutamanya dalam kalangan koperasi.

Caj duti setem sebanyak 0.5% daripada jumlah pembiayaan akan dikenakan kepada peminjam, bersama dengan caj-caj lain seperti caj untuk dokumen perjanjian undang-undang, pengurusan akaun, dan pembayaran.

Banyak pemberi pinjaman juga menggabungkan polisi insurans mandatori dengan pinjaman peribadi, di mana premium sama ada ditolak terlebih dahulu atau ditambah pada jumlah pinjaman, meningkatkan hutang keseluruhan peminjam. Peminjam sering kali tidak menyedari pecahan kos insurans ini, yang menyebabkan kekurangan kejelasan mengenai apa yang sebenarnya mereka bayar.

Sesetengah pemberi pinjaman mengenakan yuran pembayaran lewat yang tidak seimbang, yang boleh meningkatkan beban kewangan peminjam dengan ketara. Penalti yang dikenakan adalah berbeza-beza samada caj tetap antara RM50 – RM200 bagi setiap pembayaran yang lewat, caj harian atau bulanan dengan kadar 1% - 2% dari jumlah tertunggak.

Peminjam yang ingin membayar balik pinjaman mereka lebih awal sering menghadapi yuran penyelesaian yang tinggi (1%–5% daripada jumlah tertunggak). Dalam sesetengah kes, pemberi pinjaman tidak memberi rebat faedah/kadar keuntungan yang belum diperoleh, walaupun untuk pinjaman kadar rata, menjadikan pembayaran balik awal merugikan dari segi kewangan.

Draf pendedahan ini memperkenalkan langkah kawal selia untuk mengehadkan kadar faedah, menyeragamkan yuran, meningkatkan ketelusan dan melindungi pengguna daripada amalan tidak adil. Ia membawa pemberi pinjaman dan koperasi bukan bank di bawah rangka kerja kawal selia yang lebih konsisten, memastikan amalan yang lebih adil di seluruh industri.

AHMAD YANI ISMAIL
Ahmad Yani Ismail
Pensyarah
Jabatan Ekonomi dan Kewangan
Universiti Islam Selangor

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI