SAUDARA PENGARANG
Literasi digital merangkumi kemampuan individu untuk mengakses, memahami dan menggunakan teknologi digital secara efektif dalam kehidupan seharian. Warga emas di Malaysia merujuk kepada individu yang berumur 60 tahun ke atas, selaras dengan takrifan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dalam Rangka Kerja Tindakan Antarabangsa mengenai Penuaan. Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), warga emas di Malaysia kini menjangkau 3.9 juta orang.
Bagi warga emas, literasi digital melibatkan kemahiran menggunakan peranti mudah alih, internet, serta aplikasi digital dalam kehidupan seharian. Dengan trend global yang menunjukkan peningkatan populasi warga emas serta peralihan pantas kepada dunia digital, isu ini menjadi semakin kritikal. Golongan ini perlu sokongan berterusan untuk memahami aplikasi mudah alih dan internet bagi memudahkan kehidupan harian mereka, selain mengelakkan diri daripada risiko seperti penipuan siber dan keterasingan digital.
Urusan harian seperti perbankan, pembelian serta perkhidmatan kesihatan kini banyak beralih ke platform digital. Namun, majoriti warga emas masih tidak celik teknologi, menjadikan proses penyesuaian ini sukar. Dengan jangka hayat purata warga emas yang dianggarkan berbaki antara 15 hingga 20 tahun (DOSM), sudah tiba masanya kerajaan merangka strategi bagi menyediakan golongan ini untuk menghadapi era digital. Langkah ini penting agar warga emas tidak terpinggir dalam masyarakat moden yang semakin bergantung pada teknologi.
Golongan warga emas menghadapi pelbagai cabaran unik yang merencatkan literasi digital mereka, seperti kurang keyakinan dalam menggunakan teknologi, batasan fizikal dan mental serta kesukaran memahami aplikasi mudah alih dan peranti pintar. Ramai warga emas berasa sukar untuk mengakses maklumat asas seperti tetapan keselamatan atau membezakan berita sahih daripada berita palsu. Hal ini menyebabkan mereka berisiko tinggi terdedah kepada penipuan siber yang semakin meningkat.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kes penipuan dalam talian yang menyasarkan warga emas telah meningkat dengan kes-kes seperti panggilan palsu atau mesej ganjaran palsu yang meminta maklumat peribadi mereka. Kurangnya literasi digital juga menghalang akses warga emas kepada perkhidmatan penting yang kini banyak tersedia dalam talian.
Perbankan internet dan perkhidmatan kesihatan jarak jauh adalah contoh perkhidmatan digital yang memberi kemudahan kepada ramai pengguna muda, tetapi warga emas yang tidak mahir teknologi sering berasa sukar untuk menggunakannya. Situasi ini menyebabkan mereka terpaksa bergantung kepada ahli keluarga atau memilih untuk menggunakan kaunter fizikal, yang kadangkala lebih sukar bagi mereka.
Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai pihak perlu bekerjasama dalam menangani isu literasi digital ini. Program sokongan seperti yang dijalankan oleh MCMC, termasuk latihan asas dalam penggunaan peranti dan taklimat keselamatan siber boleh membantu warga emas memahami teknologi dan menggunakannya secara selamat. Usaha ini masih pada tahap minimum dan memerlukan perluasan agar sampai kepada lebih ramai warga emas.
Di samping itu, sokongan daripada keluarga juga penting. Anak-anak dan cucu boleh memainkan peranan besar dengan memberi bimbingan dalam menggunakan aplikasi digital bagi meningkatkan keyakinan warga emas untuk menavigasi dunia digital.
Dalam menghadapi era digital, sokongan menyeluruh kepada warga emas bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup mereka tetapi juga melindungi mereka daripada risiko keterasingan dan bahaya dalam talian. Dengan pendidikan dan latihan yang lebih meluas, warga emas dapat lebih bersedia untuk menjalani kehidupan moden, memperkasakan mereka dalam berinteraksi dengan masyarakat seiring kemajuan teknologi di Malaysia.
PENULIS WAN NOR ASNIZA ARSHAD, Pensyarah Jabatan Perdagangan, Politeknik Seberang Perai dan TS. DR SUZIYANTI MARJUDI, Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Perisian, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.