SAUDARA PENGARANG
Malaysia kini sedang mengalami perkembangan pesat dalam landskap ekonomi digital.
Usahawan dalam talian, samada ada syarikat besar mahu pun perniagaan kecil dan sederhana (PKS), kini semakin cenderung memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) sebagai alat strategik untuk memacu pertumbuhan dan memaksimumkan potensi perniagaan mereka.
Laporan terkini Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) menunjukkan peningkatan penggunaan AI di kalangan PKS, dengan lebih daripada 55 peratus PKS tempatan yang menjalankan perniagaan dalam talian menggunakan alat berasaskan AI untuk tujuan pemasaran, pengurusan inventori, analisis data pelanggan, dan perkhidmatan pelanggan melalui chatbot.
Trend ini jelas menunjukkan peningkatan kesedaran di kalangan usahawan tempatan tentang potensi AI dalam mengurus dan memperluas capaian perniagaan mereka dengan lebih efisien.
Di antara aplikasi AI yang semakin popular ialah algoritma cadangan produk, yang mampu menawarkan cadangan berdasarkan sejarah pembelian atau minat pelanggan.
Strategi ini meningkatkan peluang jualan sambil memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih diperibadikan, membantu usahawan menawarkan perkhidmatan yang setanding dengan peruncit besar tanpa memerlukan infrastruktur yang kompleks.
Selain itu, penggunaan AI dalam perkhidmatan pelanggan semakin diterima ramai usahawan. Chatbot yang beroperasi secara automatik sepanjang masa membolehkan pelanggan menerima respons serta-merta, sekali gus meningkatkan tahap kepuasan pelanggan.
Sistem chatbot membantu mengurangkan beban usahawan daripada membalas mesej pelanggan secara manual, menjadikan pengalaman membeli-belah lebih lancar dan mesra.
Namun, meskipun AI menawarkan banyak manfaat, terdapat beberapa cabaran yang perlu dihadapi oleh usahawan kecil.
Kos permulaan untuk mendapatkan dan melatih alat AI masih tinggi bagi sesetengah perniagaan, manakala penggunaan data pelanggan pula memerlukan perhatian rapi untuk mematuhi peraturan privasi yang semakin ketat.
Justeru, pemahaman dan kepatuhan terhadap peraturan privasi data menjadi semakin kritikal bagi melindungi kepercayaan pelanggan.
Untuk mengatasi cabaran ini, MDEC dan agensi-agensi berkaitan sedang giat menyediakan latihan serta bimbingan kepada usahawan dalam usaha meningkatkan kemahiran digital mereka.
Inisiatif seperti subsidi untuk aplikasi digital dan kursus teknologi turut diperkenalkan untuk menyokong penggunaan AI secara berkesan di kalangan PKS.
Pada masa hadapan, AI dijangka menjadi komponen utama dalam perniagaan dalam talian, membantu usahawan kecil bersaing di peringkat global dengan teknologi setaraf syarikat multinasional.
Perkembangan ini bukan sahaja mempercepat transformasi digital di Malaysia, malah turut memacu pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh.
Malaysia berpotensi untuk menjadi hab utama ekonomi digital di rantau Asia Tenggara.
PENULIS WAN NOR ASNIZA ARSHAD, pensyarah di Jabatan Perdagangan Politeknik Seberang Perai Pulau Pinang.
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan atau pendirian rasmi RTM.