fb fb fb fb fb

Kelemahan penguasaan Matematik, ancaman kepada masa depan negara

Foto hiasan

SAUDARA PENGARANG

Kelemahan penguasaan Matematik dalam kalangan pelajar Malaysia terus menjadi isu besar yang menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan negara. Terutamanya dalam era Revolusi Industri 4.0, kemahiran dalam teknologi dan inovasi menjadi kunci utama kepada kejayaan global. Statistik terkini menunjukkan peningkatan bilangan pelajar yang gagal dalam subjek Matematik, mencetuskan persoalan mengenai kesiapsiagaan Malaysia untuk bersaing dalam dunia yang semakin bergantung kepada kemahiran teknikal.

Menurut laporan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), hampir 25 peratus pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2023 gagal dalam subjek Matematik, dengan lebih separuh lagi hanya mencapai tahap minimum. Keadaan ini lebih membimbangkan dalam kalangan pelajar sekolah rendah yang menunjukkan kelemahan asas dalam operasi Matematik seperti sifir serta asas pengiraan.

Masalah ini bukan sahaja memberi kesan kepada prestasi pelajar di peringkat sekolah menengah, tetapi juga mengurangkan minat mereka terhadap subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui isu penguasaan Matematik sebagai satu cabaran besar. Beliau menekankan bahawa pendidikan Matematik yang berkualiti adalah asas kepada pemikiran kritikal dan inovasi yang amat diperlukan dalam menghadapi cabaran masa depan.

“Matematik adalah asas kepada pemikiran kritikal dan inovasi. Kelemahan dalam penguasaan subjek ini menjejaskan bukan sahaja individu, tetapi juga keseluruhan ekonomi negara. Oleh itu, kerajaan akan melaksanakan pelan khas untuk mengukuhkan pengajaran dan pembelajaran Matematik di semua peringkat pendidikan,” kata Perdana Menteri dalam ucapannya.

Sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan, sebanyak RM2.5 bilion diperuntukkan dalam Belanjawan 2024 untuk memperkukuh pendidikan STEM, dengan fokus khusus pada latihan guru Matematik dan peningkatan infrastruktur teknologi di sekolah.

“Kita tidak boleh ketinggalan dalam persaingan global. Kita perlu melahirkan lebih ramai pelajar yang cemerlang dalam STEM dan ini hanya boleh dicapai dengan asas Matematik yang kukuh,” katanya dalam pembentangan Belanjawan Oktober 2024.

Kelemahan penguasaan Matematik bukan sahaja memberi kesan kepada prestasi pelajar, tetapi juga kepada produktiviti negara secara keseluruhan. Tenaga kerja masa depan yang kurang mahir dalam Matematik akan menghadapi cabaran besar dalam industri yang memerlukan kemahiran analitik dan pemikiran logik, termasuk dalam bidang teknologi maklumat, kejuruteraan, dan kewangan.

Jika masalah ini tidak ditangani, Malaysia berisiko kehilangan peluang besar dalam sektor teknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), sains data, dan automasi yang mana semuanya memerlukan kemahiran matematik yang tinggi.

Sebagai langkah untuk mengatasi isu ini, kerajaan merancang untuk memperkenalkan program pembelajaran matematik digital di seribu sekolah rendah dan menengah. Program ini akan memberi penekanan kepada penggunaan aplikasi interaktif dan teknologi terkini untuk meningkatkan minat pelajar terhadap subjek matematik dan membantu mereka memahami konsep dengan lebih mendalam.

Justeru, penting bagi semua pihak terutama pihak kerajaan, guru, ibu bapa dan masyarakat untuk berganding bahu menangani masalah ini. Matematik bukan hanya sekadar subjek akademik, tetapi merupakan kunci kepada masa depan negara yang lebih kompetitif dan maju.

PENULIS NORHAYATI ABDUL HAMID, Pensyarah Jabatan Perdagangan, Politeknik Seberang Perai dan DR ROSMAMALMI MAT NAWI, Pensyarah Kanan Jabatan Keselamatan Maklumat dan Teknologi Web, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

ROSLINA BINTI DIN